APA ITU STRESS? Stress adalah istilah payung yang merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, anxiety, kemurungan dan hilang daya. Gejala stress ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya. Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mencapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu profesional dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya. Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stress yang dicipta dalam dirinya sendiri. Reaksi stress adalah unik kepada individu itu. Apa yang kita definisikan sebagai stress, bagaimana kita beraksi kepada stress dan bagaimana baiknya kita mengawal stress adalah bergantung kepada bagaimana individu itu menerima dirinya dan orang lain. Seperti juga penerimaan seseorang itu kepada kebahagiaan dalam kehidupan, ianya adalah begitu subjektif. Faktor persepsi adalah penting dan misteri. Kerap kali apa yang dianggap racun kepada seseorang itu adalah madu pada orang lain. Sesuatu rangsangan luaran yang identikal itu boleh menghasilkan pengamatan yang berbeza di antara dua individu yang berlainan dan seterusnya menghasilkan tindak balas yang berbeza. Sebab itu lah ada orang yang cepat merebut peluang kerana dia dapat melihat itu sebagai pembukaan kepada kejayaan, dan disebaliknya ada orang yang membiarkan peluang yang sama berlalu kerana ia melihatnya sebagai punca kepada kerugian atau kegagalan. Bagaimana kita mengamati kehidupan adalah ditentukan oleh cara kita menerima diri sendiri. Oleh itu sesuatu realiti itu bukan dijadikan untuk kita, tetapi dibentuk oleh kita sendiri. Bergantung kepada diri seseorang, ada orang yang bangkit dengan cabaran dalam kesukaran kehidupan, ada orang yang mengelak, ada yang terus hidup bergelumang dengan kesukaran dan ada yang terus hilang daya dengan manifestasi gangguan saraf, sistem kardiovaskular ataupun kecelaruan psikiatri. STRESS YANG MEMBANTU Stress sebagai reaksi akut, adalah reaksi yang mempertahankan atau melindungi diri. Ianya merangsang diri untuk bertindak. Hormon adrenalin dan rangkaian hormon-hormon lain merangsang tubuh untuk bersedia sama ada untuk melawan atau lari. Stress ini juga perlu untuk merangsang diri bertindak dan boleh memotivasikan dan menginspirasikan seseorang itu untuk mengerah segala sumber, dan potensi diri untuk kejayaan di luar keupayaan biasanya. Untuk mendapat kejayaan optima dalam kehidupan memerlukan penekanan pada diri. Rahsia kejayaan adalah membentuk imbangan supaya kita tidak terlampau menekan diri dan tidak terlampau leka. Tampa kesedaran ini tekanan kreatif boleh bertukar menjadi stress yang memudaratkan. Jadi reaksi stress itu tidak boleh dikatakan baik atau tidak, tetapi bergantung kepada cara kita bereaksi kepada stress dan pengendaliannya untuk menentukan sama ada ia menjadi dorongan yang kreatif atau musuh yang merosakkan diri. STRESS YANG MEMUDARATKAN Pendedahan yang berulang dan berterusan kepada stress boleh melemahkan seseorang kepada penyakit fizikal, emosi yang tidak stabil, kecelaruan mental dan kerohanian yang tidak tenteram. Ini menjadi lebih teruk jika dalam kehidupan tiada aktiviti riadah dan bersantai yang membentuk keseimbangan. Ketiadaan aktiviti ini akan membuat diri hilang kecekapan mengendalikan stress. Ini adalah kerana persepsi diri ke atas aspek-aspek kehidupan akan terjejas. Selain dari itu stress juga memudaratkan jika ia berpunca dari kelakuan yang tidak sesuai atau tidak praktikal. Pernahkah kita mengalami perasaan marah apabila terperangkap di tengah kesesakan jalan raya, atau marah kepada kerani yang pemungut bayaran bill kerana terpaksa menunggu lama. Ataupun, stress paling memudaratkan jika kita memilih untuk terus bergantung kepadanya tampa merelakan ia berlalu, walaupun punca stress itu telah bertahun-tahun berlalu. Di sini anxieti, kemarahan, perasaan bersalah dan ketakutan adalah manifestasi stress yang terus bermain di minda dan perasaan kita. Contoh stress seperti ini ialah perasaan keciwa dengan peristiwa-peristiwa lama atau perasaan hasad dengki dalam diri kita. Belajar bertenang, melepaskan dan merelakan adalah penting untuk keharmonian dalam diri, kebahagian dan kesihatan. CARA KITA BEREAKSI KEPADA PUNCA STRESS BIASANYA ADALAH LEBIH MEMUDARATKAN DARI PUNCA STRESS ITU. Harmoni dalam diri adalah penting untuk pemikiran yang kreatif, pengamatan yang jelas dan tepat, membuat keputusan yang baik, dan menyelesaikan masalah. Jika tiada harmoni dalam diri pengamatan juga akan gagal, kerana mata kita mematuhi aksi minda. Contohnya jika kita berada dalam keadaan murung maka kita akan mudah merasa hilang daya apabila berhadapan dengan cabaran. Apabila kita hilang daya maka bukit akan kelihatan setinggi gunung, dan kolam seluas dan sedalam lautan; kehilangan daya ini juga akan membuat kita gagal melihat kepada sumber atau potensi yang sebenarnya ada pada diri. "Kita sebenarnya tidak diganggu oleh sesuatu yang berlaku tetapi oleh pendapat kita tentang apa yang berlaku" Jadi untuk memulihkan harmoni dalam diri kita mestilah belajar mengenali dan membaiki pengamatan, sikap dan kepercayaan pada diri. Hidup dengan baik dalam diri dan kita dan kita akan belajar hidup dengan baik dengan dunia sekeliling kita. Keadaan kegelisahan yang berpanjangan menghasilkan paras hormonhormon adrenalin dan cortisol yang lebih tinggi. Terlampau banyak adrenalin membuatkan diri cepat marah, penat dan gelisah. Terlampau banyak cortisol akan menekan fungsi pertahanan badan dan memudahkan diri mendapat penyakit. Tampa rihat, rekreasi dan masa untuk pulih dari ketegangan akan menyebabkan stress bertindih di atas stress yang sebelumnya dan ini akan memudaratkan badan. Pertahan yang paling baik ialah imbangan. KEKUATAN DALAMAN:- KEBERANIAN "Orang bijak yang terperangkap dalam ribut tidak berdoa supaya diselamatkan dari bahaya, tetapi berdoa supaya disisihkan dari ketakutan. Sebenarnya ribut dalam diri yang membahayakan dirinya, dan bukan ribut diluar". Stress beganding erat dengan ketakutan.Takut kegagalan, takut dalam pengharapan, takut perubahan, takut keseorangan, takut imag diri yang tidak baik, takut kejayaan, takut akan tidak dapat melakukan sesuatu adalah di antara bermacam-macam jenis takut. Takut tidak dapat melakukan sesuatu ada kalanya menghalang seseorang itu memulakan sebarang usaha. Penawar paling baik kepada takut tidak dapat melakukan sesuatu ialah dengan terus melakukannya. Takut seperti juga stress ada positif dan ada negetifnya. Langkah pertama kepada pengawalan stress ialah keberanian, berani untuk menerima perasaan takut dan mengawal atau menakluki ketakutan itu. Bila berhadapan dengan ketakutan adalah lebih wajar mengambil kira hakikat/realiti dan bukan dogengan atau kebimbangan yang tidak realistik. PENERIMAAN Banyak orang telah mengalami stress tetapi terus dengan cara kehidupan yang sama dengan menggunakan penafian. Seseorang itu akan menggunaka mekanisma minda untuk mempertahankan diri dari sedar akan keadaannya yang sebenar.Antaranya ialah menidakkan atau merationalisasi perbuatannya itu mempunyai sebab-sebab yang boleh diterimanya. Contohnya seorang perokok itu menidakkan keadaan paru-parunya yang tidak sihat dan mengatakan merokok itu baginya melegakan stress. Mekanisma mempertahankan diri ini agak sesuai dalam mengendalikan diri semasa berhadapan dengan stress yang besar tetapi bukan cara yang baik untuk megatasi masalah atau stress yang berpanjangan. Pengawalan stress yang berjaya ialah dengan bersikap "Apa yang boleh dilakukan" dan tidak "Kalaulah………" Dengan penerimaan dan bertindak melegakan stress yang memudaratkan akan membantu diri kita hidup dalam keadaan sihat dan cergas. PERASAAN Adakalanya bukanlah sangat sesuatu yang berlaku yang mencetuskan stress tetapi perasaan yang terbangkit oleh peristiwa tersebut yang mendatangkan stress kepada seseorang. MENDENGAR DAN MEMERHATI KEADAAN BADAN Dengar dan memerhati diri dan bahasa badan.Kebanyakan masanya kita mengabaikan petanda-petanda awal akan keadaan diri yang tegang. Contohnya seseorang itu akan terus hisap rokok walaupun kerap batuk dan sesak nafas, terus mengambil lebih banyak kerja walaupun badan mengalami keletihan dan perasaan mudah terganggu. Ada kalanya stress lebih meningkat kerana kita megabaikan signalsignal awal yang dikeluarkan oleh tubuh kita. EXPRESSI Kawan yang paling bernilai adalah mereka yang boleh mendengar dengan baik. Memendam rasa dan kebimbangan akan menyuburkan lagi stress. Dengan melahirkan kebimbangan atau ketakutan adalah langkah pertama membolehkan diri berhadapan dengan stress, mengawalnya dan seterusnya melepaskan stress tersebut. Berhadapanlah dengan stress, dengan becakap, menulis, menyayikannya, ketawa, menangis dan lain-lain lagi. Cara ini membantu kerana dengan melahirkannya, akan menjelaskan dan meletakkannya sesuatu konflik kepada perpektif yang lebih objektif. Ekspresi menggalakan penyembuhan. Menulisnya boleh membuatkan yang subjektif lebih objektif, yang tak sedar di bawa kepada kesedaran dan yang tak terlahir kepada yang dilahirkan. Tulis tampa tapisan, bebas, berterusan dan tampa kritikan. Selepas itu simpan kertas itu ditempat yang selamat, dan analisanya secara objektif tampa terlalu beremosi, 1 jam, sehari atau seminggu selepas itu. Satu lagi cara ialah dengan menulis diari stress setiap hari. Dengan cara ini kita akan lebih peka akan pertalian pemikiran dan perasaan kita dan seterusnya dapat memperbaiki bentuk-bentuk pemikiran dan perasaan yang negatif. SAHABAT Perkongsian masalah dengan sahabat akan menggandakan keseronokkan dan mengurangkan penderitaan. Setiap kita mengalami kesukaran kehidupan yang membolehkan kita berkongsi cara-cara penyelesaian. Hujan tidak menimpa ke atas bumbung rumah kita seorang sahaja. Pengasingan dan kesunyian boleh menukar perpektif keatas masalah menyebabkan masalah itu dirasai lebih berat. SOKONGAN "Seseorang itu merasa sunyi kerana ia cenderung membina pagar dari membina jambatan". Sokongan dari keluarga, kawan-kawan, ahli komuniti, profesional dan pertubuhan kebajikan boleh meringankan stress yang terhasil dari krisis kehidupan yang besar. KUMPULAN PENGURUSAN STRESS Adakalanya menyertai kumpulan-kumpulan pengurusan stress yang profesional boleh membantu menguruskan diri dan mempelajari caracara menggunakan stress untuk kebaikan dan mengawalnya dari menekan diri sehingga kemudaratan. ADAKAH STRESS ITU SAYA PUNYA? Sikap dan penyakit orang lain mudah berjangkit. Manusia ada tabiat untuk mengalihkan stressnya kepada orang lain. Pernah anda merasa tertekan dengan kemarahan dan kelakuan negatif dari ketua, ibu-bapa atau pasangan anda?. Agak senang bereaksi kepada mood orang lain dan adakalanya tampa kita sedari kita telah menyerapi stress yang diluahkan oleh orang lain . Langkah terbaik ialah dengan menerima perasaan orang lain, dengar kepada masalahnya, beri simpati, nasihat atau maklumbalas, tetapi jangan mengizinkan orang lain menanamkan stressnya ke dalam diri kita. Kita perlu sedar tentang identiti diri sendiri. BERTINDAK Kita hanya mendapat imbuhan dalam hidup ini dengan bertindak. Pengalaman stress memerlukan reaksi. Dalam banyak hal reaksi ini ialah "lawan atau lari". Dengan lain perkataan kita mengatasi masalah dengan tektik lawan iat itu berkonfrontasi, bersikap asertif dan positif, atau dengan mengunakan taktik lari iaitu mengelak, relak dan tidak mengindahkannya. Selain dari lawan dan lari reaksi ketiga yang mungkin terjadi ialah terus kaku. Reaksi kaku yang biasa dimanifestasikan ialah panik, anxieti, keraguan, melenggahkan kerja, dan bersikap "kalau lah.....". Jadi bila berdepan dengan stress, dari terus berada dalam keadaan gelisah dan kebimbangan, adalah lebih baik mengarah diri untuk memikirkan "Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stress?" Dan kita akan sedar bahawa selepas 15 min melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, kita akan makin hampir dengan penyelesaian. Dengan melenggahkan penyelesaian beban stress akan terkumpul dan adakalanya menjadi kronik. LANGKAH DEMI LANGKAH Semasa mengalami stress perkara yang perlu dikerjakan akan dirasai begitu besar dan sukar. Jika kita memikirkan secara keseluruhannya maka kita mungkin sukar untuk memulakan usaha kita. Begitu juga dengan seorang yang bakal menjadi seorang jutawan, dia perlu belajar mengutip wang sen sebelum mengutip wang ringgit. Jadi rancangkan tugas dan tanggungjawab anda kepada bahagian-bahagian yang kecil dan lakukan serta bereskan satu persatu. Ingat, perjalanan yang jauh itu bermula dengan langkah yang pertama. Buatkan senarai mengikut kepentingan kerja dan buat satu persatu mengikut kadar yang kita mampu. Mungkin untuk setiap senarai kerja yang kita mampu bereskan kita boleh menghadiahkan diri kita dengan sesuatu yang kita idam-idamkan. Langkah ini adalah baik untuk terus menggalakkan usaha kerana ia akan mengukuhkan semangat kita untuk mengulangi kejayaan yang sama atau yang lebih baik. MENUKAR PERSPEKTIF Sesuatu masalah ada lebih dari satu penyelesaian. Cari pendapat baru, sudut baru, pemerhatian yang lebih teliti, mejauhkan diri dengan cara melihat masalah kita itu dari kedudukan orang lain adalah di antara permainan minda yang boleh membantu mengawal stress. Ketawa, relaks, senaman, meditasi,sembahyang, komunikasi, hiburan, persahabatan adalah cara-cara praktikal untuk mengurangkan stress. FILOSOFI KEHIDUPAN Stress begitu merbahaya apabila ia sampai keperingkat di mana kita hilang keupayaan melihat sesuatu dalam perpektif yang sebenarnya. Peribahasa Parsi, "Saya meratapi ketiadaan kasut, sehinggalah saya menemui seorang yang ketiadaan kaki". Sesungguhnya kita ada contoh dikalangan masyarakat kita sendiri iaitu "Tuah", Tokoh Maal Hijrah yang lalu. Menyelami penderitaan yang dipaparkan oleh orang yang lebih tidak bernasib baik, sepatutnya membolehkan diri kita berdepan dengan masalah peribadi yang kita alami. Selain dari membandingkan diri dengan orang yang lebih tidak bernasib baik, kita juga boleh membandingkan masalah sekarang dengan masalah-masalah lalu yang telah kita atasi dengan jayanya. Latihan ini membolehkan diri kita mengigati yang kita ada kekuatan dan kebolehan. PEMIKIRAN POSITIF Peribahasa Cina mengatakan "Lebih baik menyalakan lilin dari menyumpah akan kegelapan". Semasa mengalami stress ada kalanya minda kita seolah-olah diprogramkan supaya hanya melihat dan memikirkan perkara yang negatif sahaja. Rasa tidak terdaya, rasa di singkir, rasa tidak disayangi, rasa tiada harapan dan lain-lain. Dikala berfikiran negatif ada kalanya baik kita memikirkan: 1. Apakah kekuatan saya? Kenalpasti kemahiran, kebolehan dan bakat yang ada. Sedarkan diri kepada apa yang kita boleh buat. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan "TIADA atau TIDAK". 2. Tanya pada diri "Apakah pengajaran yang tersirat dalam stress ini?" Berhenti dari mencari kesalahan orang lain, dan buat perubahan yang perlu pada diri. Dengan hanya melihat kepada salah orang lain dan mencuba menukar sikap orang lain, kita hanya menambahkan stress kepada diri sendiri. 3. "Apakah peluang yang ada dalam stress ini" Berhenti dari terus memberi fokus kepada jalan mati atau sesuatu yang tidak dapat diubah. 4. "Apakah perkara positif dan perkara yang mesti dilakukan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih positif? REAKSI DALAMAN Adakalanya kita tidak dapat menghindarkan sesuatu yang tidak baik dari terjadi pada diri, walaubagaimanapun kita boleh memilih cara kita bereaksi kepadanya. Pilih reaksi merelakan dan meredakan jika sesuatu keadaan itu sudah pasti tidak dapat diubah lagi. KESYUKURAN Stress yang merbahaya boleh terhasil kerana kepercayaan kita - iaitu kepercayaan yang kehidupan ini penuh dengan beban dan masalah. Jika ini kepercayaan kita maka kita mudah lupa untuk bersyukur ke atas sesuatu yang baik yang ada pada diri kita. Hilang kesyukuran bermakna kekurang kekuatan dalam diri. Banyak masanya kita lupa erti kebolehan melihat, bernyawa, mendengar, membaca, berdiri, bercakap, merasa, dan lain-lain lagi. Mungkin jika kita sudah kehilangannya barulah kita dapat menghargai bertapa indah dan nikmatnya keupayaan-keupayaan tersebut. MENGELUARKAN PELUH Bersenam adalah cara yang sangat penting dalam melegakan stress yang terkumpul. Pernahkah kita fikirkan kenapa stress begitu mengancam di kehidupan zaman moden ini. Pada zaman dahulu kala, aktiviti memcari rezeki setiap hari adalah jauh lebih bahaya daripada kita yang hidup di alam serba moden ini. Walaupun begitu orang dahulu kala tidaklah mengalami kemudaratan yang dipanggil stress. Ini adalah kerana corak hidup orang dahulu banyak menggunakan tenaga fizikal mereka dan ini bukan sahaja mengunakan hormon-hormon yang dikeluarkan semasa dalam keadaan tertekan tetapi juga meningkatkan daya kardiovaskular mereka. Aktivit fizikal juga dalam kadar yang berat dan sederhana berat akan membuat badan kita mengeluarkan hormon endorfin, yang seakan sama dengan morfin. Oleh kerana ia dikeluarkan dari dalam badan dengan kadar yang terkawal dan bersesuaian maka ia banyak mendatangkan rasa kelegaan dan akan mengukuhkan semangat seseorang untuk meneruskan aktiviti fizikalnya itu. Setiap orang perlu meluangkan masa untuk melakukan sesuatu atau tampa melakukan sesuatu dengan bersendirian. Masa sebegini adalah teramat penting bagi seseorang itu mengrefleksi keatas pengalaman kehidupannya. Masa berseorangan ini adalah baik dalam mendatangkan kepekaan pada diri sendiri. Mungkin anda seorang ibu atau bapa yang begitu sibuk dengan tugas seharian dan hanya memikirkan masalah-masalah dan kehidupan orang lain. Masa sebegini amat baik jika dilalui dalam keadaan bermeditasi atau berelaksasi. KHIDMAT Selain dari bersendirian, khidmat kepada orang lain juga mendatangkan lebih makna dalam kehidupan. Ini amat penting jika seseorang itu begitu banyak masa terluang, kerana berada dalam keadaan bosan juga adalah merupakan satu bentuk stress. Gunakanlah masa sebaik-baiknya dan masa yang terluang paling baik jika dihabiskan ke jalan kebaikan kepada orang lain. Dalam melakukan kerja resmi juga kita sepatutnya memasukkan semangat dan keinginan untuk memberi khidmat dan bantuan yang sebaik-baiknya. Contoh yang paling senang ialah dengan menampilkan wajah dan senyuman yang mesra bila berhadapan dengan mereka yang memerlukan khidmat anda. Sesungguhnya banyak sumbangan yang boleh kita berikan tampa melibatkan sumber luar dan wang ringgit.Kelakuan yang cergas dan perilaku yang ceria akan dapat menukar perasaan ke arah yang lebih ceria juga. ABSTRAK Seorang manusia yang tidak mampu menjalankan kefungsiaannya sebagai seorang insan dalam menjalani kehidupan harian akibat daripada tekanan atau stress adalah disebabkan ketidaksempurnaan komponen jasad (fizikal), akal (mental) dan roh (spiritual) untuk berfungsi dengan baik. Maka, untuk mengembalikan kefungsiaan manusia agar dapat menjalani kehidupan harian dengan baik serta mampu mengurus stress, penulis melihat peri pentingnya pengecasan semula ketiga-tiga komponen tersebut. 1.0 IFTITAH Seringkali stress diungkapkan dalam sudut yang berbaur negatif berbanding dalam ruang lingkup yang positif. Stress dianggap sesuatu yang membebankan, menyusahkan malah menyesakkan emosi dan minda! Perlu difahami bahawa stress juga memberikan implikasi yang positif kepada individu. Ianya merupakan satu mekanisme yang boleh menggerakkan motivasi diri untuk mencapai sesuatu maksud dan tujuan. Stress perlu wujud dalam kehidupan manusia. Bayangkan jika tidak wujud stress, manusia mungkin akan berada ditakuk yang sama! Namun begitu, penulisan ini akan lebih banyak membicarakan mengenai distress ataupun stress yang memberikan implikasi yang negatif dan bagaimana menanganinya menurut perspektif Islam. Stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada ketidakupayaan beliau menangani masalah yang sedang dihadapi. Ketidakseimbangan antara faktor fizikal, mental dan emosi akibat tekanan yang dihadapi menyebabkan seseorang individu tidak dapat berkelakuan normal (abnormality behaviour) seperti kemurungan, lemah longlai, lesu, tidak bermotivasi malah boleh menyebabkan kematian sekiranya tekanan atau stress yang dialami ditahap yang kritikal. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, ianya akan memudaratkan individu tersebut baik dari aspek fizikal, mental, emosi mahupun keterlibatan sosial mereka. 2.0 PANDANGAN ISLAM MENGENAI STRESS “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (daripada kejahatan yang dikerjakan)” (Surah Al-Baqarah : 284) Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala tekanan dan dugaan dalam kehidupan seperti kesempitan hidup dan kecacatan anggota badan misalnya merupakan kurniaan Allah kepada manusia berdasarkan kemampuan manusia itu sendiri. Stress juga dikategorikan sebagai dugaan dan ujian hidup. Boleh jadi disebabkan kesempitan hidup mengundang stress dan tekanan yang negatif. Apatah lagi dengan mereka yang mengalami kecacatan anggota badan akibat kemalangan yang tidak dijangka. Namun hanya diri kita sendiri yang dapat menjadikan sama ada tekanan tersebut mendatangkan kesan yang baik atau sebaliknya. Benarlah apa yang dinyatakan di akhir surah ini ….”ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (daripada kejahatan yang dikerjakannya)” 3.0 PUNCA-PUNCA TEKANAN ATAU ‘STRESSOR’ Punca tekanan atau stressor adalah faktor yang menyebabkan tekanan wujud dalam diri seseorang. Punca kepada tekanan itu boleh berlaku disebabkan oleh peristiwa dalam kehidupan, pemikiran, dan keinginan diri yang belum tercapai. Punca-punca kepada terjadinya tekanan boleh dikategorikan kepada faktor biologi, psikologi, sosial, dan spiritual. Tekanan yang timbul oleh faktor fizikal berlaku tanpa sebab-sebab yang nyata. Tanda ini tidak dirasai oleh individu yang mengalami atau dilihat oleh orang lain. Tekanan ini timbul berpunca daripada segi fisiolgi seseorang individu. Apabila kepenatan dan keletihan seseorang individu tidak boleh mengawal emosinya. Kepenatan dan keletihan yang dialami menyebabkan daya tahan jiwa berkurangan. Ini akan mengakibatkan seseorang itu mengalami ketidakseimbangan emosi. Kadang kala berlaku perubahan-perubahan dalam tubuh badan individu itu dari semasa ke semasa. Tekanan punca psikologi pula timbul apabila perasaan tidak berpuas hati terhadap jangkaan-jangkaan yang telah dibuat berlawanan dengan realiti sebenar. Contohnya seorang pelajar merasakan dia boleh lulus dalam dengan cemerlang dalam satu peperiksaan tetapi sebaliknya telah berlaku. Pelajar itu tidak dapat menerima hakikat apa yang telah berlaku dalam hidupnya. Mereka akan merasa dunia ini tidak berguna, gelap gelita dan pelbagai perasaan yang lain. Ini akan menyebabkan mereka merasa tertekan. Tekanan yang berpunca dari sosial pula adalah berkaitan dengan kehilangan orang yang disayangi atau peristiwa-peristiwa tragik. Contohnya kematian, perceraian, perpisahan, kehilangan pekerjaan, dan kekecewaan. Mereka yang mengalami situasi ini akan merasai kesedihan yang amat sangat dan mendapat tekanan. Mereka berada dalam kesedihan yang tidak berkesudahan dan tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Tekanan yang berpunca dari spiritual adalah apabila seseorang individu melakukan perbuatan yang keluar daripada landasan agama atau norma masyarakat. Contohnya, apabila seorang remaja perempuan melakukan seks secara sukarela. Pada suatu masa, dia merasai pelbagai perasaan seperti mengutuk diri sendiri, takut kepada dosa, takut untuk berkahwin, dan malu kepada masyarakat. Perasaan itu selalu bermain di fikiran dan mengganggu emosinya. Dia akan mengalami gangguan sepanjang masa. 4.0 BAGAIMANA MENGURUS STRESS ? Persoalannya bagaimanakah cara atau kaedah yang sesuai untuk menangani tekanan atau stress ? Penulis berpendapat, stress boleh diurus dengan baik berdasarkan impak yang diterima oleh individu tersebut. Untuk lebih jelas lagi, penulis cuba memaparkan idea dan kaedah pengurusan stress melalui perspektif Islam berdasarkan tiga tujahan utama iaitu pengurusan stress melalui aspek fizikal, mental, dan kerohaniaan (spiritual). Kombinasi ketiga-tiga aspek ini sangat berkaitan dengan cara individu mengurus kehidupan harian mereka. Secara umumnya, pengurusan stress yang ingin penulis jelaskan di sini boleh diaplikasikan berdasarkan ilustrasi berikut: MODEL PENGURUSAN STRESS Penulis cuba melihat pengurusan stress ini berdasarkan kepada penjelasan Al-Quran tentang siapakah diri manusia yang sebenar. Al- Quran jelas menerangkan bahawa manusia itu terdiri daripada kombinasi elemen-elemen berikut; 1. Komponen Roh 2. Komponen Qulb 3. Komponen Nafs 4. Komponen Akal 5. Komponen Jasad Penulis berpendapat seseorang manusia yang tidak mampu menjalankan kefungsiaannya sebagai seorang manusia dalam menjalani kehidupan harian akibat daripada tekanan atau stress adalah disebabkan ketidaksempurnaan kelima-lima komponen ini berfungsi dengan baik. Maka, untuk mengembalikan kefungsiaan manusia agar dapat menjalani kehidupan harian dengan baik serta mampu mengurus stress dan tekanan, penulis melihat peri pentingnya pengecasan semula kelima-lima komponen tersebut. Namun begitu, penulis ingin mengambil pandangan Imam Al-Ghazali sebagai initipati kertas kerja ini. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa manusia itu terdiri daripada 3 komponen utama iaitu jasad, akal dan roh. 1. KOMPONEN ROH Setiap manusia punyai roh. Namun jasad dan sifat roh tidak mungkin dapat difahami oleh manusia itu sendiri. Roh yang ada pada manusia adalah milik Tuhan yang Esa. Roh menjana segala tingkah laku seorang manusia. Roh yang baik akan dijelmakan melalui tingkah laku yang baik. Begitu juga sebaliknya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud; “ Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya” (Asy Syams ayat 9 dan 10) Pada pendapat penulis, roh adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Namun roh sesuatu suatu benda yang hidup. Dalam erti kata yang lebih mudah untuk difahami, ia mencakupi soal kerohaniaan atau spiritual. Setiap manusia punyai fitrah untuk rasa bertuhan. Seorang mukmin percaya akan Allah yang Esa. Menyakini bahawa setiap yang berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah Taala. Sebagai contoh, setiap musibah yang berlaku sebenarnya punyai hikmah yang perlu dicari. Walaupun kita merasa tertekan dan stress dengan ujian dan dugaan yang datang menimpa-nimpa, seharusnya rasa lemah, tertekan dan tidak berkeupayaan haruslah disandarkan kepada Allah Taala sepenuhnya. Stress atau tekanan yang dihadapi boleh diurus dengan menyucikan roh atau dalam erti kata yang lain menguatkan aspek kerohaniaan dan spiritual, bukan hanya dengan melakukan ibadah yang bersifat ritual semata-mata seperti memelihara solat lima waktu, membayar zakat mahupun membaca dan menelaah Al-Quran. Imam Al-Ghazali berpendapat di antara kaedah-kaedah yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut; Menanam dan menyuburkan jiwa ini dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) seperti amanah, ikhlas serta jujur. Mengikis sifat-sifat yang negatif (mazmumah) seperti riak, ujub, sombong dan takbur. Menunaikan hak sesama insan baik hak suami, hak isteri, hak anakanak hak pemimpin dan hak masyarakat dan tidak menzalimi orang lain demi untuk kepentingan sendiri. Tidak memakan makanan yang haram dan syubhah baik diragui dari segi sumber atau bagaimana cara ianya dihidangkan. 2. KOMPONEN JASAD Al-wiqayatu khairun min al-‘ilaj yang kira-kira bermaksud “Mencegah lebih baik daripada merawat”. Islam sangat menganjurkan agar setiap penyakit yang dihadapi haruslah dicegah daripada diubati kerana mengubati hanya mengurangi kesakitan dalam jangka masa pendek dan kesakitan itu akan kembali dirasai setelah kehabisan Allah S.W.T berfirman yang bermaksud; “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNYA” (Al-Maidah ayat 88) Di dalam ayat ini, Allah Taala memerintahkan kepada hambaNYA agar memakan makanan yang halal dan baik. Makanan yang halal ialah makanan yang sumbernya merupakan sumber yang halal. Sebagai contoh, wang yang kita gunakan untuk membeli makanan merupakan wang yang halal yang dibayar kepada kita setimpal dengan pekerjaan lakukan. Kalau para pembaca masih ingat lagi dengan kisah Imam Syafiee semasa beliau dalam usaha menghafaz Al-Quran. Beliau dikatakan tidak dapat menghafal ayat Al-Quran pada suatu hari sedangkan hari-hari yang sebelumnya beliau sangat lancar menghafaz AL-Qura’n. Beliau sangat hairan dan akhirnya beliau cuba untuk mencari asbab mengapakah perkara ini berlaku. Akhirnya di dapati susu lembu yang diminum oleh beliau tidak halal kerana lembu tersebut telah meragut rumput dikawasan orang lain dan bukan dikawasan rumput kepunyaan penjaganya. Makanan yang halal sahaja tidak mencukupi malah makanan itu haruslah baik atau erti kata berkhasiat dan tidak memudaratkan kita. Makanan yang baik adalah makanan yang mempunyai kombinasi zatzat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan. Sebagai contoh, badan kita memerlukan zat karbohidrat untuk digunakan sebagai tenaga segera demi untuk melaksanakan aktiviti harian. Sekiranya badan kekurangan zat karbohidrat, badan akan menggunakan sumber protein dalam badan untuk ditukarkan kepada tenaga segera. Penggunaan protein yang tinggi sebagai menggantikan karbohidrat akan menyebabkan kepekatan asid amino yang tinggi dalam badan. Ianya boleh memberikan implikasi kepada otot kita di mana kita sering mengalami kekejangan otot. Makanan yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Penulis percaya bahawa segala perbuatan dan pemikiran kita juga dipengaruhi oleh makanan yang kita makan. Boleh jadi kita mudah kalah bila mendapat tekanan atau stress disebabkan kita mengabaikan soal dari sumber manakah makanan yang kita makanan dan adakah ianya baik untuk kesihatan kita Senaman yang konsisten dan bukan bersifat terpaksa atau memaksa antara alternatif yang terbaik mengurangi tekanan yang dialami. Senaman boleh meningkatkan daya tahan terhadap tekanan dengan meringankan bebanan ke atas diri. Ianya mampu mengalihkan elemen psikologi seperti tenaga marah, agresif dan perasaan risau lalu diterjemahkan melalui pergerakan fizikal yang lasak. Namun ramai yang terlepas pandang sebelum memulakan senaman harus dimulai dengan memanaskan badan atau warming up agar otot-otot badan tidak akan mengalami kekejangan selepas senaman. 3. KOMPONEN AKAL Fenomena kemiskinan ilmu dan kemahiran merupakan faktor terpenting kegagalan individu mempelbagaikan alternatif ke arah penyelesaian masalah. Bukankah ini akan mendatangkan tekanan ? Setiap manusia dikurniakan oleh Allah akal untuk membolehkan mereka berfikir, malah faktor inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Berfikir menggunakan akal adalah satu perbuatan dan ianya memerlukan sesuatu benda untuk difikirkan. Kalau tubuh badan manusia memerlukan makanan berkhasiat, akal juga memerlukan bahan-bahan yang berkhasiat dan bermanfaat untuk difikirkan. Ianya disebut sebagai bahan intelek (intellectual substances). Ianya diperolehi daripada bahan bacaan yang juga bersifat intelek dan menjana kreativiti. “ Katakan ia (Al-Quran) ialah petunjuk dan penyembuh bagi orangorang yang beriman ” (Al-Fusshilat 41:44) Dalam ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita Al-Quran merupakan sumber intellectual substances yang terbaik untuk dirujuk oleh manusia demi untuk mematangkan akal dan fikiran, waras dalam pertimbangan dan tepat membuat sebarang keputusan. Tekanan dan stress yang dialami boleh diurus apabila individu tersebut mempunyai pengetahuan dan maklumat yang luas. Individu tersebut tidak akan membuat sebarang tindakan yang boleh menzalimi dirinya sendiri atau orang-orang disekelilingnya. Ketiga-tiga komponen ini saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain dalam menghadapi distress. Penulis ingin memberikan satu contoh yang mudah untuk difahami oleh pembaca. KAJIAN KES Asmawi Ani (bukan nama sebenar) telah diberhentikan kerja dengan notis 24 jam kerana syarikat tempat dia bekerja telah diisytiharkan muflis. Asmawi telah berkeluarga dan mempunyai 2 orang anak yang masing-masing berusia 7 tahun dan 3 tahun. Telah hampir 3 bulan berlalu namun Asmawi masih tidak mendapat sebarang pekerjaan. Duit simpanan semakin susut dan keperluan dapur dan susu anak telah habis dan Asmawi tidak mempunyai wang yang cukup. Asmawi semakin buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Persoalannya, adakah model pengurusan stress melalui perspektif Islam dapat membantu Asmawi menjadi distress kepada uestress. Penulis menyakini, tekanan dan stress tidak dapat dihilangkan dalam sekelip mata namun kebijaksanaa individu mengurus distress supaya menjadi uestress dan mendatangkan faedah kepada mereka. Asmawi seharusnya menganggap kehilangan kerja yang dialami oleh beliau merupakan satu kejadian yang tidak dijangka. Seorang mukmin harus percaya bahawa ianya merupakan satu ujian dan dugaan daripada Allah Taala demi untuk menguji sama ada hambaNYA itu beriman atau tidak. “ Tiada musibah (bencana) yang menimpa seseorang muslim melainkan Allah menkafarahkan dosa (menghapuskan) sebahagian daripada dosanya kerana bencana itu, walaupun ia merupakan tusukan yang diterimanya daripada tikaman duri “ (Al-Bukhari) Ujian dan dugaan yang diberikan merupakan tanda kasih sayang Allah kepada hambaNYA dan setiap kesusahan tersebut pasti disusuli kemudahannya. “ Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (Surah Al-Insyirah ayat 5) Selain itu, kita harus sentiasa mengingati bahawa di sebalik kesukaran yang kita hadapi itu ada kesenangan dan kemudahan yang kita akan perolehi. Dalam Islam, apabila menerima tekanan, kita dilarang mengeluh. Ini adalah kerana, ia membayangkan betapa kita tidak tahan dengan ujian yang Allah berikan kepada kita. Jika orang yang sakit mengeluh sambil mengingati Allah, maka itu dikira tasbih. Islam juga melarang umatnya berputus asa. “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar : 53) Ayat ini menerangkan kepada kita agar tidak sesekali berputus asa apabila menerima ujuan atau tekanan. Kita perlu mencari alternatif yang terbaik dan melakukan sesuatu yang dihalalkan untuk dijadikan penyelesaian. Tingkah laku bilazim seperti minum arak, membunuh diri, menghisap dadah tidak akan berlaku sekiranya kita menghayati konsep-konsep dalam Islam dalam menghadapi tekanan. Maka, Asmawi harus menggunakan kekuatan Jasad (fizikal) dan Akal (mental) di samping kekuatan spiritual yang tinggi perlu diyakini. Melaksanakan dan menunaikan hak Allah dengan mengerjakan segala peraturan dan meninggalkan larangannya dan terus berusaha membaiki kehidupan dunia tanpa mengkesampingkan soal kehidupan ukhrawi. Dengan mengekalkan kesihatan fizikal, Asmawi seharusnya lebih berupaya untuk mencari pekerjaan lain. Faktor kesihatan fizikal penting kerana sekiranya beliau mengalami implikasi negatif terhadap kesihatan fizikal akibat tekanan dan stress yang dialami, barangkali beliau tidak mampu mencari pekerjaan yang sesuai. Tambahan pula, tekanan dan stress ini dapat diurus sekiranya beliau mempunyai strategi, pengetahuan dan maklumat terkini mengenai kekosongan kerja yang terdapat di mana-mana syarikat yang menawarkannya. Harus diingat bahawa akal boleh bertindak lebih rasional jika kunci membaca sebagai tambatan untuk mengaut pelbagai ilmu dan maklumat digunakan secara optimum. Bukankah Asmawi akan mampu menguruskan distress dan menukarkankannya kepada eustress? 5.0 KHULASAH Islam telah menganjurkan kepada umatnya cara yang terbaik untuk menguruskan tekanan dan stress. Islam sangat menekankan pengurusan rutin kehidupan yang baik dan inilah kunci utama dalam menangani distress. Komponen jasad, roh dan akal yang ada dalam diri manusia harus diurus dengan bijaksana agar manusia dapat melaksanakan kehidupan dengan lebih sempurna. Biar hati sentiasa bertuhan, jasad sentiasa tegar dan akal sentiasa berfikir dan merenung ciptaan Illahi ! “ Dan jika aku sakit, DIA lah yang menyembuhkannya “ (Surah As Syura ayat 80) “Aku sekali-kali tidak akan menganiayai hamba-hambaku…” (Surah Qaaf : 29)