“Kau tunggu!: Bapanya memberi isyarat dengan tangan. Perasaan Isabella menjadi semakin gempar dan kecut apabila mendengar arahan bapanya yang aneh. Tentu kedatangan gurunya dan Peter secara tiba-tiba itu ada hubungan dengan dirinya. Barangkali pertemuannya dengan orang-orang Islam telah sampai ke pengetahuan mereka. “Duduk!” Bapanya memberi arahan. Isabella pun duduk di sebuah kerusi yang agak jauh sedikit tetapi berhadapan dengan bapanya. Dia melihat urat-urat timbul di wajah bapanya. Air mukanya yang selalu lembut itu agak tegang, sekali-sekala dia menggigit-gigit bibirnya menahan perasaan. Ibu Isabella juga dipanggil masuk. Bapa Isabella pun membuka mulutnya. Mula-mula dia tujukan kepada ibu Isabella. Kemudian kepada Michael dan Peter. “Tahukah kamu akan keadaan anak ini sekarang? Betapa dia memalukan dan menghina kita. Kerana memikirkan hal itulah maka saya memanggil anda berdua ke mari.” Peter kelihatan terperanjat. Dia memandang Isabella dan berkata, “Oh, ada apa?” “Perkaranya amat serius,” ujar ketua paderi “sudah agak lama saya mendengar berita anak ini telah meninggalkan agama Kristian dan secara sembunyi-sembunyi memeluk agama Islam.” “Apa? Apa?” Helena, ibu Isabella, hampir memekik mendengar kata-kata suaminya. “Apa anda katakan ini? Jesus Kristus tidak akan mengizinkan. Tetapi Kenapa anda begitu meradang pagi ini sehingga tanpa sebab menuduh anakku masuk Islam?” “Apa yang aku katakan ini adalah benar.” jawab ketua paderi. “Kalau tidak hari ini, beberapa hari lagi kau akan mengetahuinya juga.” “Bapa yang suci,” sampuk Peter “kata-kata bapa agak aneh. Isabella seorang anak yang baik. Dia telah belajar teologi. Dia tidaklah begitu bodoh untuk menerima agama Islam yang terkutuk itu.” “Saya tidak tahu Kenapa anda berprasangka begitu.” ujar Helena seraya bangun mendekati Isabella yang sedang duduk dalam ketakutan di sudut bilik. Helena memegang bahunya dan berkata “Kau dengar apa yang dikatakan oleh bapamu?” Isabella diam dan tunduk. Waktu itu bapanya memberi isyarat kepada Michael supaya bertanya. “Anakku,” kata Michael “benarkah kau telah memberontak terhadap agama Kristian? Benarkah begitu? Kalau ada orang yang menuduh kau serupa itu, kau mesti membantahnya.” Isabella mengangkat muka memandang Michael. Kemudian segera tunduk kembali dan mendiamkan diri. Air matanya berlinang. “Nah, tengoklah,” kata Helena “bukankah telah aku katakan ada orang yang membuat dakwaan palsu terhadap anakku. Apa bantahan yang dapat dia buat? Airmatanya itulah saja yang dapat menjawab tuduhan dia memberontak terhadap agama Kristian. Tuduhan itu palsu.” “Cuba anda diam dulu. Biar Isabella menjawab sendiri.” ujar ketua paderi dengan perasaan gusar melihat ibu Isabella ikut campur. “Nah, anakku. Cuba ceritakan benar atau tidak laporan mengenai dirimu itu?” “Saya belum menerima Islam dan masih tetap menjadi penganut Kristian.” jawab Isabella. “Kalau kau belum lagi terima Islam apakah kau akan menerimanya nanti?” Michael segera bertanya. “Kenapa bapa tanya saya tentang hari depan?” Isabella memandang Michael dan menentang matanya. “Saya juga boleh bertanya serupa itu kepada bapa.” “Nah, kalau begitu cuba terangkan pendapatmu tentang agama Islam.” kata Michael membalas tenungan Isabella. Isabella tidak menjawab segera. Dia memandang muka bapanya yang masih tegang menggigit bibir. Dari muka bapanya dia beralih ke muka ibunya yang sudah kembali ke tempat duduknya. Mukanya membayangkan kesan-kesan kegelisahan. Kemudian melihat muka Peter. Paderi tua itu tenang tetapi ada tanda-tanda kegoncangan perasaan di dalam. “Saya tidak pernah menghina Islam.” katanya sambil melihat wajah Michael. “Kerana di dalam Kitab Suci Islam, Jesus diberi kemuliaan sebagai nabi yang suci dan orangorang Islam memuliakannya.” “Kalau begitu kamu cintakan Islam dan orang-orang Islam?” Michael mengajukan pertanyaan dengan cepat. “Bapa boleh mengatakan serupa itu ataupun dengan perkataan lain yang bapa suka.” jawab Isabella. “Bagaimanapun saya bukanlah orang yang tidak berbudi. Jikalau orang-orang Islam memuliakan Kristus kita maka saya pun memuliakan nabi dan kitab suci mereka.” “Jadi sudah jelas sekarang ini bahwa di dalam hati kamu, kamu telah menjadi seorang Islam, kalau tidak masakan kamu memuji Islam dan penganutnya begitu.” kata Peter cuba memerangkap Isabella. “Nah, beritahu kami apa fikiranmu terhadap agama ygn kamu anuti sekarang yakni agama Kristian?” Isabella dapat menangkap arah tuju pertanyaan paderi tua itu. “Saya beriman dengan Kitab Injil dan semua kitab yang diwahyukan tetapi saya tidak mahu terima segala cacat-cela yang telah dimasukkan ke dalam agama oleh penganut-penganut Kristian sekarang ini.” Mendengar jawaban itu, bapa Isabella lalu berkata ke arah Michael, Peter dan ibu Isabella. “Kita sekarang sudah tahu fikirannya. Sudah tidak ada lagi jalan untuk mengubatinya melainkan dengan mata pedang.” Ibu Isabella terperanjat mendengar keputusan suaminya yang nekad itu. Lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Peter segera membuat isyarat dengan tangannya. “Berilah saya masa. Saya pasti akan dapat mengubah fikirannya. Saya akan mengikis semua salah fahamnya, apatah lagi Isabella pun ada belajar ilmu ketuhanan.” “Baiklah! Anda boleh cuba dan kita akan lihat hasilnya. Kalau gagal saya akan fikirkan satu cara lain mengubatinya.” Setelah berkata begitu ketua paderi pun bangun dan mengajak Michael dan Peter mengikutinya. Mereka berangkat ke gereja besar kerana menghadiri satu perhimpunan penganut-penganut Kristian yang datang dari seluruh negara Sepanyol untuk menyaksikan tanda peninggalan nabi-nabi dan ketua paderi yang terdahulu yang merupakan tulang-tulang dan lain-lain. Pada hari itu orang-orang Kristian telah datang dari tempat-tempat spsayang jauh untuk ikut ambil bahagian di dalam upacara tersebut yang akan dirahmati oleh ketua paderi. Setelah ketua paderi, Michael dan Peter meninggalkan bilik, ibu Isabella yang masih kebingungan bangun mendekati anaknya sekali lagi. Dia memeluk leher Isabella sambil berkata “Benarkah apa yang dikatakan oleh bapamu itu, nak?” Isabella tidak menjawab. Dia memegang tangan ibu dan menepuk-nepuk dengan lembut sambil bangun melepaskan diri. “Saya mahu masuk ke bilik saya, mama.” katanya lalu terus berjalan menuju ke bilik sambil diperhatikan oleh ibunya dengan perasaan sedih bercampur hiba. Isabella mengunci pintu bilik. Dia merebahkan diri di atas katil dan mula memikirkan nasibnya. Dia yakin akan menerima hukuman daripada bapanya dan paderi-paderi lain. Hukuman dan seksaan yang kejam bukan sesuatu perkara asing bagi penganutpenganut agama Kristian yang murtad ataupun mengeluarkan sesuatu pendapat agama yang bertentangan dengan ketua-ketua agama. Dia akan menghadapi hukuman yang berat. Namun dia sedikit pun tidak gentar dengan segala macam kekejaman dan seksaan yang akan ditimpakan ke atasnya. Hatinya telah bulat dan tekadnya telah tetap, dia akan menghadapi semua percubaan itu dengan hati yang tabah dan tidak berganjak. Isabella kemudian mengambil kertas dan pena lalu menulis surat kepada Mirano, anak Michael, yang menjadi sahabat akrabnya. Saudaraku yang dikasihi. Tadi malam kira-kira jam sembilan. Aku telah menghadiri satu pertemuan para cendekiawan Islam. Umar Lahmi dan ahli-ahli agama juga ikut hadir. Bagaimana aku akan menerangkan kepadamu suasana pertemuan itu! Suatu pertemuan yang sungguh menakjubkan. Kehadiranku di situ sesungguhnya semakin menebalkan lagi keyakinanku terhadap Islam. Aku sangat berharap kau juga ikut bersama-sama aku pada waktu itu. Tetapi aku telah berjanji dengan ketua mereka, Ziad bin Umar, akan membawa kau bersama-sama untuk ikut serta dalam pertemuan yang akan diadakan malam esok atau malam lusa. Satu perkara penting telah terjadi ke atas diriku hari ini. Nampaknya. Aku akan dihadapkan ke inquisisi. Doakanlah agar aku tetap di jalan yang benar. Bapaku rupanya telah mendapat berita tentang diriku bahwa aku telah memeluk agama Islam. Dia telah memanggil bapamu dan Peter ke rumah kami. Berbagai macam pertanyaan telah diajukan kepadaku. Cuba kau bayangkan betapa tersepitnya keadaanku waktu itu. Tetapi aku telah memberikan jawaban yang tegas kepada mereka. Peter telah memberikan janji kepada bapaku bahwa dia akan membawa aku kembali kepada agama Kristian. Kalau keadaan yang serupa berlaku. Aku harap kau dan ketiga orang kawan kita yang lain akan ikut hadir sama. Perkara-perkara lain akan aku sampaikan secara lisan kepadamu nanti. Saudaramu, Isabella Setelah siap surat itu ditulis, Isabella memanggil pengasuhnya dan menyuruh mengembalikan sebuah buku kepada Mirano serta mengambil buku lain daripadanya. “Surat ini yang telah lama terletak di sini juga dibawa bersama-sama dan diberikan kepadanya.” Pengasuh pun segera melakukan apa yang disuruh. Dia pergi ke rumah Michael dan menyerahkan buku dan surat kepada Mirano. Mirano segera membaca surat tersebut lalu memberitahu pengasuh Isabella bahwa dia sendiri akan menghantar buku itu kepada Isabella nanti. Pada petang itu, Isabella dan keempat orang sahabatnya bertemu di taman tempat mereka pertama kali mendengar perbualan Umar Lahmi. Dia menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kejadian pagi tadi di rumahnya seraya meminta pendapat mereka. Sahabat-sahabatnya sangat ingin berjumpa Ziad bin Umar. Mereka juga mencadangkan agar Isabella memberitahu kejadian pagi itu kepadanya. Mereka membuat keputusan akan ke rumah Ziad bin Umar pada petang berikutnya. Setelah itu mereka pun bersiar-siar di taman itu sampai waktu perpisahan lalu pulang ke rumah masing-masing. BAB 9 Ujian Keimanan Pagi berikutnya, Isabella menerima surat dari Michael yang dibawa oleh seorang pesuruh. Surat itu berbunyi : Anakku Isabella. Harap kamu dapat datang segera ke tempatku kerana ada perkara yang penting yang akan kubincang denganmu. Tinggalkan dulu urusanmu yang lain. Aku menunggu kedatanganmu. Sepintas lalu, Isabella sudah dapat menanggapi maksud surat itu, tentu ada hubungan dengan peristiwa yang berlaku kelmarin pagi di rumahnya. Isabella lalu memberitahu ibunya. Dia pun segera bertolak ke rumah Michael. Di sana, selain daripada Michael dan Peter, ikut plua seorang rahib yang cukup terkenal, cukup popular dan mashyur di seluruh Sepanyol kerana kehidupan pertapaannya. Mirano di lain pihak telah memanggil kawan-kawannya supaya datang berkumpul di rumahnya untuk mendengar pemeriksaan ke atas Isabella. Setelah Isabella dipersilakan duduk di tempat yang disediakan khas untuknya, Michael pun memulai pertanyaan seperti berikut, “Kelmarin kamu telah menangkis pertanyaan-pertanyaan kami dengan jawaban yang bersifat kabur. Hari ini kami akan bercakap kepadamu secara berterus-terang. Nah, mahukah kamu menjawab soalan saya dengan jawaban yang benar?” “Saya tidaklah begitu pintar untuk menjawab semua pertanyaan bapa dan yang kedua saya fikir tidak ada perkara sehingga interogasi serupa ini dilakukan ke atas saya.” “Apakah kamu sudah menjadi seorang penganut Islam?” “Saya sudah menjawabnya kelmarin dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang hal itu.” “Baiklah,” kata Michael, “apakah kamu percaya dengan Ketuhanan Suci dan Jesus Kristus sebagai Tuhan dengan segala keperluan kewujudannya?” “Saya percaya kepada Tuhan sebagai Tuhan dan bukan manusia sebagai Tuhan.” jawab Isabella. “Jadi jelaslah bahwa kamu tidak percaya kepada Ketuhanan Tuhan Jesus Kristus. Jadi, apa lagi bukti yang ada kalau kau bukan seorang Muslim?” tanya Michael. “Maksud saya tidak ada bukti di mana-mana pun juga di dalam Injil bahwa Jesus itu Tuhan.” jawab Isabella. “Demi Tuhan!” kata Michael dengan nada yang agak meninggi. “Jangan memfitnahkan Injil Suci. Tidakkah kau baca di dalam Injil itu bahwa dia adalah ‘putera Tuhan’?” Isabella lalu mengambil Injil dan dipegangnya. “Nah, kalau begitu tolong jelaskan kepada saya makna ayat berikut.” Lalu dibukanya Kitab Jonah, bab 1 ayat 31-36 dan dibacanya: “Orang-orang Yahudi lalu mengangkat batu untuk melempari Kristus, yang berkata kepada mereka. Aku telah menunjukkan kepada kalian banyak perkara yang baik dari bapa, apakah kerana itu kalian merajami aku? Orang-orang Yahudi menjawab: Kami bukan merajami kamu kerana perbuatan-perbuatan baik tetapi kerana kecuranganmu sebagai manusia mengaku dirimu sebagai Tuhan. Kristus berkata: Tidakkah agamamu ada berkata bahwa kamu juga Tuhan? Waktu dipanggil Tuhan itu kepada mereka yang diberi wahyu maka orang yang telah dikirim Tuhan ke dunia sesudah dimuliakannya, maka betapa kalian berkata dia bercakap curang. Itulah sebabnya aku berkata aku ini ‘putera Tuhan’. Ini serupa dengan panggilan terhadap lain-lain nabi di dalam Kitab Taurat dan lainlainnya. Maka serupa itulah pula aku dipanggil ‘putera Tuhan’. Jadi,” kata Isabella, “saya ingin bertanya nabi yang manakah sebelum Jesus yang dipanggil Tuhan? Orang-orang Kristian percaya bahwa nabi-nabi yang terdahulu itu dipanggil Tuhan sebagai kiasan dan kerana kasih dan saya berkata dalam bentuk kiasan yang sama pula dan kerana kasihkan Jesus Kristus maka dia dipanggil Tuhan dan bukan kerana dia benar-benar Tuhan seperti yang didakwakan.” “Gadis terkutuk!” Michael sudah tidak dapat membendung kemarahan lagi. “Kamu sudah suka bercakap. Daripadaku kamu belajar, sekarang kamu berani bertanyakan erti ayat-ayat itu kepadaku seolah-olah aku terlalu bodoh dan kamu seorang terpelajar. Tetapi dengan ini nabi-nabi dulu tidak dapat jadi Tuhan dalam erti sebenarnya kerana mereka itu tidak suci, sedangkan Tuhan Jesus Kristus bersih dari dosa dan suci maka sebab itulah dia menjadi Tuhan.” “Kita tidak bercakap tentang dosa atau suci. Soalnya ialah Jesus Kristus menamakan dirinya Tuhan serupa dengan nabi-nabi lain yang menamakan diri mereka Tuhan. Jikalau Jesus Kristus benar-benar Tuhan maka kita pun juga mesti mengakui bahwa nabi-nabi lain itu pun Tuhan.” jawab Isabella. “Lagi pula dalam ayat itu Jesus Kristus menjawab tuduhan orang-orang Yahudi. Kalau benar dia putera Tuhan maka ia patut menerima tuduhan Yahudi itu.” “Oh betapa hebatnya! Kamu kini telah menjadi ilmuwan besar sehingga kamu mahu meremehkan kami.” kata Michael. “Sudah jelas kini kamu telah dipengaruhi. Jikalau Jesus Kristis itu bukan Tuhan tetapi manusia biasa bagaimana dia boleh melakukan penebusan dosa bagi dosa kita semua. Apakah ada manusia yang bebas dari dosa?” “Saya tidak begitu faham bagaimana bapa membuat peraturan ini bahwa tidak ada manusia yang suci meskipun dalam Injil Lukas bab 1 ayat 6 ada kisah tentang Zakaria dan isterinya. Dalam Injil itu mereka berdua ada disebutkan bahwa Zakaria dan isterinya Elizabet adalah benar di hadapan Tuhan dan hidup menurut segala perintah dan ketetapan Tuhan dengan tidak bercacat. Jadi, jelaslah bahwa Zakaria dan isterinya orang-orang suci jikalau tidak perkataan ”tidak bercacat” itu tentu tidak ada makna. Jadi, kesucian Kristus bukanlah satu perkara unik. Dia suci seperti sucinya orang lain juga. Tentang masalah penebusan dosa ini juga tidak terdapat bukti di dalam Injil, kerana tidak ada orang yang memikul beban dosa orang lain apatah lagi memikul beban dosa seluruh manusia lalu mati menderita di atas salib. Pada kenyataannya Jesus ada menyebut di dalam Injil bahwa keselamatan diperoleh berdasarkan amalan bukan dengan penebusan dosa, seperti yang tertulis di dalam Injil Matius bab 16 ayat 27: Anak manusia (Adam) akan datang dalam kemuliaan bapanya, diiringi malaikat-malaikatnya, pada waktu itu dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya. Dalam Injil Matius juga bab 19 ayat 16-20, Injil Markus bab10 ayat 17-27, Injil Lukas bab 18 ayat 18-27 ada kisah tentang seorang lelaki datang kepada Jesus dan bertanya: Guru, perbuatan baik apakah yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?” Jesus menjawab, “Apakah sebabnya engkau bertanya kepadaku tentang apa yang baik? Hanya satu yang baik. Tetapi jikalau engkau ingin masuk syurga turutlah segala perintah Tuhan.” Kata orang itu lagi, “Perintah yang mana?” Jesus menjawab “Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan mengucapkan saksi dusta, hormatilah ayahmu dan ibumu dan kasihlah sesama manusia seperti dirimu sendiri.” Maka terbukti sekarang daripada ayat-ayat itu bahwa jalan keselamatan hanyalah melalui amalan. Kristus tidak berkata begini sebagai jawaban kepada pertanyaan orang lelaki itu. “Kamu tidak payah lakukan apa-apa kerana aku akan melakukan penebusan dosa untukmu.” “Perempuan! Kau nampaknya seperti mahu mengajar aku,” kata Michael menahan kemarahan, “apakah kau tidak percayakan aku lagi. Aku ialah gurumu. Kamu mesti percaya semua kata-kataku. Kalau hanya dengan kebijaksanaanmu saja kamu tidak dapat memahami masalah-masalah agama yang sulit. Nah, perkara penebusan dosa akan kita bicarakan kemudian. Sekarang kita selesaikan masalah ketuhanan Jesus Kristus dulu. Orang-orang Islam juga percaya bahwa Kristus telah diangkat ke langit hidup-hidup. Apakah ini bukan bukti tentang ketuhanannya? Jesus telah memperlihatkan mukjizat-mukjizat yang agung. Dia menghidupkan orang mati, memberi celek kepada orang yang buta. Bukankah perkara-perkara ini membuktikan ketuhanannya? Perkara yang utama ialah kamu mesti lebih dulu menerima atau menolak ketuhanan Jesus kemudian baru kita bercakap perkara lain.” “Soal penebusan dosa tuan dulu yang memulakannya dan saya ikut membincangkan saja. Kalau Jesus Kristus boleh menjadi Tuhan kerana dibawa ke syurga hidup-hidup maka Elia juga patut menjadi Tuhan. Sebab menurut Injil dia juga dibawa hidup-hidup ke syurga.* Tentang Jesus menghidupkan orang mati dan memberi celek kepada orang yang buta, maka itu pun belum boleh dijadikan bukti yang dia adalah Tuhan sebab nabi-nabi lain juga ada memperlihatkan mukjizat mereka seperti yang sudah jelas disebutkan di dalam Injil. Kalau mukjizat serupa itu boleh menjadikan dia Tuhan, maka nabi-nabi lain juga Tuhan, tentunya.” kata Isabella. *lihat 11 Raja-Raja bab 2:1-8 ‘Elia Naik ke Syurga’ “Lihat! Betapa pandainya budak perempuan ini menipu.” kata Peter. “Hai perempuan bodoh! Mukjizat yang ditunjukkan oleh nabi-nabi lain itu bukanlah kekuasaan mereka sendiri tetapi kekuasaan yang diberikan Tuhan. Mukjizat Kristus adalah dari kekuasaannya sendiri, yang menunjukkan bahwa dia adalah Tuhan.” “Mukjizat bukan bukti kenabian apalagi mahu disebut sebagai ketuhanan,” jawab Isabella, “menurut agama Kristian bukan satu kemestian seseorang yang melakukan mukjizat itu nabi. Jadi, kalau nabi saja masih belum boleh dipanggil bagaimana pula dia mahu menjadi Tuhan. Jesus pernah berkata: “Saya dengan berterus-terang memberitahu kamu, barangsiapa beriman dengan saya, juga akan ikut membuat amalan seperti saya beramal, malah lebih hebat lagi*. Tentang dakwaan tuan bahwa mukjizat Kristus adalah kekuasaannya sendiri, sementara yang lain didapati dengan paksaan, ini juga dakwaan yang salah. Kitab Injil telah membuktikan bahwa tidak saja dalam melakukan mukjizat, dalam semua perkara yang lain pula pun Jesus tidak berdaya seperti nabi-nabi yang lain juga. Kerana apabila Jesus mahu melakukan mukjizat dia lebih dulu memohon bantuan daripada Tuhan. Dalam mukjizat roti dan ikan, dia menengadah ke langit dan mengucap berkat*, meminta pertolongan Tuhan dan ditempat lain pula dia berkata, “Jenis ini tidak dapat diusir kecuali dengan berdoa.” Jesus menyembuhkan orang tuli. Dia masukkan jarinya ke telinga orang itu lalu dia meludah dan meraba lidah orang itu kemudian menengadah ke langit Jesus menarik nafas. Jadi, dia berdoa juga kepada Tuhan*. Jadi dari Injil sendiri ada bukti bahwa Kristus serupa juga dengan orang lain, tidak ada kuasa untuk berbuat sesuatu. Kalau dia benar-benar Tuhan tentulah dia tidak terlalu lemah untuk berbuat sesuatu dan meminta bantuan daripa orang lain. Sebagai Tuhan maka dia bebas melakukan apa saja seperti Tuhan yang Maha Berkuasa.” * Injil Jonah, bab 14:12 *Injil Matius, bab 14:13-21; Markus 6:30-44; Lukas 9:10- 17; Yoh 6:1-13 * Injil Markus 9:29 *Injil Markus 7:31-35 Isabella lalu mengambil Injil dan membuka. “Jesus Kristus berkata: Kerana bapanya telah bersenyawa di dalam dirinya dan bapanya juga memberikan kepadanya kekuasaan untuk melakukan keadilan kerana dia dilahirkan sebagai manusia*. Malah nyawa Jesus Kristus juga bukan haknya sendiri tetapi diberikan oleh Tuhan dan Tuhan pula yang memberikan kekuasaan kepadanya untuk melakukan keadilan. Tanpa rahmat Tuhan, keadilan apapun tidak dapat dilakukan olehnya. Hujah saya, Jesus adalah manusia dan manusia tidak akan dapat berbuat sesuatu tanpa pertolongan Tuhan. Di tempat lain Jesus pernah berkata: Saya tidak dapat berbuat apa-apa sendirian, saya berbuat keadilan seperti yang saya dengar dan pengadilan saya adalah adil*. Selanjutnya dia berkata: Saya datang dari syurga bukan mahu berbuat menurut sesuka hati saya tetapi berbuat menurut arahan orang yang mengirim saya ke mari. Nah, itulah bukti-bukti bahwa Kristus seorang yang tidak berdaya seperti juga manusia yang lain dan bergantung kepada orang lain tidak boleh menjadi Tuhan, maka Jesus juga bukan Tuhan*.” *lihat Injil Jonah 5:26-27 * lihat Injil Jonah 5:30 *lihat Injil Jonah 16:38 Tidak saja Peter dan Michael yang terperanjat mendengar hujah-hujah Isabella yang lancar itu tetapi rahib yang seorang lagi pun seperti kelu lidahnya, tidak dapat mencelah sedikitpun. Hanya sesudah Isabella berhenti barulah mereka itu tersentak sedar dari pesona. Peter dengan cepat berkata sambil memandang kepada Michael. “Nah, anda lihat betapa keras sudah anak ini. Orang-orang Islam telah mengajarnya untuk petah berkata-kata. Apakah anda masih berharap dia akan kembali ke jalan yang lempang? Saya fikir tidak ada gunanya lagi kita berhujah dengannya kerana imannya sudah hilang dan dia sudah menjadi ingkar.” “Saya yakin dia telah berada di bawah kekuasaan syaitan.” jawab Michael. Dia lalu berpaling kepada Isabella. “Semua hujah yang kamu katakan itu telah ada jawaban yang jelas dan kamu telah pun membacanya di dalam pelajaran teologi. Ada juga jawaban yang kamu tidak akan faham sama sekali. Dan sekarang, saya tidak mahu menjawab semua pertanyaanmu itu sebaliknya saya mahu tahu apa pendapatmu yang sebenarnya mengenai agama Kristian supaya mudah kami membuat keputusan tentang dirimu. Kamu telah menerangkan dengan jelas tentang pendapatmu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Nah, ada apa-apa lagi yang akan kamu tambah.” “Saya tidak pernah menafikan Kitab Injil dan Jesus Kristus. Tetapi apa yang saya katakan ialah menurut ajaran Injil tidak ada bukti bahwa Jesus itu Tuhan dan tidak ada alasan yang munasabah tentang penebusan dosa. Semua itu hanyalah rekaan orang-orang Kristian saja.” jawab Isabella. “Jadi maksudmu semua penganut Kristian penipu dan semua penganut Kristian telah bersatu menentang Kitab Suci Injil?” Michael mengherdik. “Gadis terkutuk isi neraka! Kalau au tidak dapat memahaminya, terima saja keputusan yang telah dibuat oleh ketua-ketua agama. Bapamu yang menjadi ketua paderi mempunyai kuasa penuh untuk mengampunkan dosa, apakah dia juga menganggap semua ini salah? Apakah semua paus, rahib, alim ulama Kristian dan hamba abdi agama Kristian berjalan di jalan yang salah?” Isabella sedikitpun tidak terpengaruh dengan herdikan Michael, malah dia dengan tenang menjawab, “Seperti Kitab Injil yang tidak membuktikan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka serupa itulah pula agama Kristian dari orang-orang yang mengaku Kristian hari ini tidak wujud menurut Injil. Oleh sebab itu pendapat mereka tidak dapat saya terima sebagai bimbingan.” “Hebat sekali!” kata Michael. “Kami sekarang semuanya penganut-penganut Kristian yang palsu dan tidak wujud sedangkan kamu adalah penganut Kristian tulen dan sejati. Gadis malang! Ke manakah sudah pergi fikiranmu yang waras? Kamu telah membuang orangtuamu. Tunjukkan bukti bahwa kami ini bukan Kristian sejati?” “Tidak ada sebab bapa mesti naik darah.” ujar Isabella. “Perkara ini sudah cukup jelas. Andaikata bapa dapat membuktikan dari Injil bahwa penganut-penganut Kristian zaman moden ini benar-benar Kristian maka saya dengan seluruh jiwa raga akan menerima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan hujah apa pun jua terhadap mereka menurut Injil. Jadi, bapa buktikanlah menurut Kitab Injil bahwa orang-orang Kristian sekarang adalah Kristian tulen.” “Di seluruh dunia ada orang Kristian dan kamu berani mengatakan bahwa mereka itu bukan Kristian menurut Kitab Injil. Apakah ada bukti lain lagi? Bukankah ini sudah bukti yang cukup bahwa kami beriman Injil, berimankan ketuhanan Jesus dan penyalibannya?” kata Michael. “Tidakkah orang-orang Islam itu percaya Kitab Injil?” tanya Isabella. “Bolehkah bapa mengatakan bahwa mereka itu juga penganut Kristian? Tentang kepercayaan kepada ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka itu bukanlah hujah-hujah akan keagamaan Kristiannya. Sebaliknya ia membuktikan bahwa orang itu bukanlah penganut Kristian sama sekali kerana tidak ada garis-garis kepercayaan serupa itu di dalam Injil.” “Kau gadis tak berguna!” sampuk Peter. “Kenapa kamu menimbulkan keraguan kepada agama Kristian kami? Kalau kami ini bukan Kristian cuba kamu tunjukkan Kristian yang sebenarnya. Katakan saja di mana di dunia ini orang-orang Kristian sejati dan tulen itu ada.” “Bapa boleh marah sebanyak mana yang bapa suka,” kata Isabella, “tetapi yang benar itu tidak dapat bapa sembunyikan. Kalau bapa mahu buktinya dari saya maka saya dengan tulus ikhlas mengatakan bahwa orang-orang Kristian sekarang ini bukanlah penganut Kristus sama sekali dan tentang siapa yang boleh menjadi penganut Kristian tulen saya bersedia membuktikannya menurut Kitab Injil sendiri.” “Gadis terkutuk!” Michael menjerti. “Kenapa kau membebel-bebl saja? Kenapa tidak tunjukkan bukti-buktinya?” Isabella tersenyum kecil yang menyebabkan paderi-paderi itu menjadi bertambah jengkel dan sakit hati melihatnya. Dengan tenang dia mengambil Injil sambil berkata, “Cuba dengar baik-baik tentang tanda-tanda penganut Kristian yang sebenarnya.” Isabella lalu membaca Injil Markus pada bab 6 ayat 17 dan 18: “Dan di antara manusia yang beriman maka mukjizat-mukjizat ini akan berlaku: Mereka akan mengusir roh jahat dengan menyebut namaku, mereka akan bercakap dengan bahasa baru, mereka akan memegang ular, mereka tidak akan terkena bisa kalau meminum benda-benda yang boleh membawa maut, mereka akan meletakkan tangan ke atas orang sakit dan menyembuhkan penyakitnya.” Isabella kemudian membuka pula Injil Matius pada bab 16. “Ini tanda-tanda penganut Kristian yang beriman.” Dia lalu membaca ayat 16 hingga 20. “Pengikut-pengikut mendekati Jesus dan berkata: Kenapa kami tidak dapat mengusir roh-roh jahat itu? Dia menjawab kerana kecacatan dalam imanmu kerana terus terang aku katakan kalau padamu ada iman walaupun sebesar atom dan kamu menyuruh gunung itu pindah dari tempatnya, dia akan pindah dan tidak ada yang mustahil bagimu. Nah,” kata Isabella, “Daripada kedua-dua kutipan Injil ini, ada enam tanda Kristian yang sudah dipastikan: 1. Mengusir keluar roh jahat. 2. Bercakap dengan bahasa baru tanpa mempelajarinya. 3. Memegang ular yang berbisa. 4. Meminum racun tanpa memudaratkan diri. 5. Menyembuhkan penyakit dengan sentuhan tangan dan 6. Mengubah gunung dari tempatnya. Jadi, barangsiapa yang mengaju menjadi Kristian mestilah dapat membuktikan bahwa keenam-enam tanda ini ada di dalam dirinya. Sekarang, bapa adalah seorang Kristian, kita tolak sebelah dulu keenam-enam tanda itu dan sembuhkan seorang sakit dengan sentuhan tangan bapa, gunung tentu tak mungkin bapa pindahkan tetapi ini ada seketul batu. Cuba gerakkan saja kira-kira 10 atau 20 meter, maka kekristianan bapa telah dibuktikan oleh Injil.” “Memang benar semuanya itu ada disebutkan di dalam Injil tetapi tunjukkan pula tempat yang mengatakan sesiapa yang tidak melakukan mukjizat itu bukan Kristian? Selain daripada itu, tanda-tanda tersebut hanya khas kepada pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu saja bukan kepada semua orang.” “Kedua-dua keterangan bapa itu salah.” kata Isabella. “Dalam Injil sudah jelas dinyatakan bahwa setiap orang Kristian walaupun imannya sebesar atom, boleh dapat memindahan gunung kalau dikehendakinya, diikuti dengan sesiapa yang tidak ada iman walaupun sebesar atom tidak akan dapat memindahkan gunung. Dan juga salah mengatakan bahwa tanda-tanda ini hanya khas untuk pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu kerana di dalam Injil ada disebutkan dengan jelas bahwa mukjizat ini diberikan kepada semua orang yang beriman. Kalau tanda-tanda ini hanya dikhususkan kepada pengikut-pengikut Kristus saja, maka keimanan pun hanyalah kepada pengikut-pengikut itu saja yang bererti tidak ada Kristian tulen yang dilahirkan sesudah pengikut-pengikut itu.” “Kau gadis malang!” ujar Peter. “Itulah sebabnya telah kukatakan bahwa kamu tidak dapat memahami misteri dan inti erti Injil. Gadis bodoh! Mukjizat itu ada kaitannya dengan masalah-masalah rohani iaitu dengan sebutan penyakit ertinya penyakit rohani, racun bererti kufur yang dimaksudkan kepada orang-orang Kristian walaupun mereka diserang oleh orang-orang kafir, mereka tidak akan berganjak dari keimanannya dan begitulah seterusnya.” “Fikir dulu masak-masak sebelum bapa menjawab,” kata Isabella, “bapa kata saya bodoh tetapi topik itu mungkin tidak padan dengan bapa. Dengar kata Jesus Kristus seperti tertulis dalam Injil Jonah 14:12 ini. Barangsiapa beriman dengan aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Jadi, Kalau mukjizat itu ditafsirkan sebagai masalah rohaniah semata-mata maka kesimpulannya ialah Kristus tidak menghidupkan yang mati, juga tidak mencelekkan mata yang buta, juga tidak menyembuhkan yang sakit tetapi dia cuma menyembuhkan rohaniah yang mati, roh jahat dan mebina di dalamnya cahaya keimanan. Tetapi bapa-bapa tidak mahu mengaku interpretasi tentang Kristus serupa ini, jadi mengapa pula bapa-bapa reka tugas baru untuk orang lain? Kristus berkata ‘kerja yang aku lakukan’, jadi apa yang dilakukan olehnya dalam bentuk bagaimanapun juga, penganut-penganut Kristian mesti ikut melakukannya dan dalam bentuk yang sama pula, kalau tidak mereka itu tidak beriman.” “Memang susah mahu membuat gadis yang ingkar ini mengerti.” kata Peter. “Ubatnya bukan lagi dengan desakan tetapi seksaan yang sama yang dilakukan oleh inquisisi*.” Kemudian Peter berkata kepada Michael “Anda usir dia dari rumah ini dan beritahu bapanya yang suci bahwa dia sudah tidak dapat diubati lagi. Cara lain mesti dilakukan.” Dengan mengucapkan kata-kata itu, Michael dan Peter bangun dari kerusi lalu masuk ke dalam bilik sebelah untuk berbincang. Setelah bapanya dan Peter masuk ke bilik sebelah, Mirano pun segera menemui Isabella dan menasihatinya supaya meninggalkan rumah itu seberapa cepat yang boleh, kalau tidak dia pasti akan mendapat kesusahan besar. Sebelum Isabella keluar mereka lebih dulu berjanji akan berjumpa di Taman Cordova pada petang itu untuk memikirkan tindakan selanjutnya yang akan mereka lakukan. Setelah berteguhteguhan janji, Isabella pun segera keluar dari rumah Michael, lalu terus pulang ke rumahnya. Dalam masa dia menghayun langka, fikirannya melayang ke rumahnya. Apa gerangan yang akan menunggunya di sana? Bagaimanapun ketika dia sampai, ibunya menyambut dengan muka manis dan memaksanya makan sedikit. Setelah makan, Isabella meminta izin kepada ibunya untuk masuk ke dalam bilik. Fikirannya agak runsing sedikit, sehingga dia tidak dapat berfikir apa yang patut dilakukan pada waktu itu. Jadi, sementara menunggu hari petang, dia berlengah-lengah di tempat tidurnya. Dia melihat perpustakaannya yang penuh dengan berbagai-bagai buku dan barang-barang miliknya dengan perasaan sayu. Dia kemudian melayangkan pemandangan ke setiap sudut bilik itu. Fikiran berkelana jauh. Apakah dia akan ditakdirkan tinggal di situ lagi atau ada orang lain yang akan menempati dan menggunakan semua buku dan barang-barangnya? Kemudian bawahsedarnya berkata: Biarlah sesiapa pun membaca bukunya dan menggunakan barang-barang miliknya, tinggal di bilik itu, dia akan pergi mencari kebenaran yang kini sudah dapat dicapai puncanya. Allah akan membimbingnya. rasa syukur tidak terkira banyaknya kepada Dia yang telah menganugerahkan kepadanya nikmat kebenaran yang begitu besar dan tidak ada yang lebih besar daripada itu. Beribu-ribu buah rumah serupa itu boleh dikorbankan demi untuk memperoleh rahmat Islam. Sambil berkata-kata, Isabella lalu duduk bertelut di lantai. Kemudian, dia melakukan sujud syukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa.Petang pun menjelang tiba setelah ditunggu dengan penuh harapan oleh Isabella. Memang nasibnya baik, pada masa itu ibunya sedang sibuk membuat sesuatu urusan di dalam biliknya. Isabella pun keluar perlahan-lahan menuju ke rumah gurunya, Michael. Dia mendapati Mirano sudah siap menunggu. Mereka lalu berjalan bersama-sama menuju Taman Cordova. Di dalam perjalanan, Mirano dalam diam-diam memperhatikan perubahan pada diri sahabatnya. Wajahnya murung tidak seperti biasa. “Isabella,” ujar Mirano, “aku lihat anda di dalam kesusahan besar. Kenapa? Karena anda mahu berpisah dengan keluarga?” “Aku di dalam keadaan yang sulit setelah pulang dari rumah anda tadi.” jawab Isabella. “Waktu aku hendak keluar kalau tidak karena ibuku sibuk di biliknya. Aku tentu tidak dapat memenuhi janji kita ini. Tuhan saja yang mengetahui apa yang akan dilakukan olehnya. Tetapi sekarang dengan rahmat Allah. Aku tidak khuatir lagi. Aku sudah bersedia menghadapi apa jua percubaan demi kebenaran.” “Isabella,” kata Mirano, “aku sangat kagum dengan anda. Anda telah memberikan pukulan yang hebat waktu menjawab hujah-hujah bapaku dan Peter. Mereka semua tercengang-cengang, tidak dapat menjawab. Hairannya, hujah-hujah anda semuanya berdasarkan Kitab Injil.”Mereka sudah sampai di taman dan di sana sahabat mereka, Catherine dan Martha, sedang menunggu. “Dari jauh kami melihat anda berdua sangat asyik bercakap.” tegur Martha. “Bolehkah kami ikut tahu sama?” “Kami bercakap tentang perbahasan Isabella dengan bapaku dan Peter pagi tadi.” jawab Mirano. “Bapamu dan paderi tua itu seperti tidak dapat berhujah dengan Isabella.” kata Martha. “Rahib yang seorang lagi itu siapa agaknya? Dia diam saja.” “Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini.” kata Isabella. Pada waktu itu barulah mula terfikir olehnya tujuan rahib itu ikut serta mendengar perbahasan. Air mukanya pun berubah. “Kenapa muka kau pucat tiba-tiba?” tanya Mirano. “Oh, tidak ada apa-apa.” jawab Isabella cuba menyembunyikan kebimbangannya. “Apa yang kau mahu katakan tadi, Martha?” “Aku hairan,” ujar Martha yang tidak sedar akan perubahan pada wajah Isabella. “walaupun mereka itu telah terpukul begitu hebat, mereka masih tetap tidak mahu mengaku.” “Mereka mungkin tidak mengaku dengan lidah tetapi aku percaya hati kecil mereka membenarkannya.” jawab Mirano. “Sesudah kalian meninggalkan rumahku tadi. Aku mendengar bapaku berkata kepada Peter bahwa memang benar tidak ada bukti tentang ketuhanan Kristus di dalam Injil. Tetapi biar bagaimanapun kita terpaksa patuh kepada keputusan gereja, kata bapaku. Aku nampak Peter terpengaruh dengan ketegasan hujah-hujah anda karena dia berkata semua hujah-hujah anda itu cukup kuat.” “Dalam perbahasan pagi tadi, Islam terbukti agama yang benar, sementara agama Kristian tidak ada apa-apa kecuali kesesatan saja.” kata Martha seperti mengeluh.Setelah mereka duduk di suatu tempat yang agak terpencil dari orangramai, Mirano lalu bertanya kepada Isabella. “Apakah anda sudah membuat keputusan mahu meninggalkan bapa, mama, adikadik dan abang-abang dan kaum keluarga serta kehidupan selesa serba mewah? Dan apakah tindakan anda kalau bapa anda berkeras mahu menyerahkan anda kepada inquisisi?” Mendengar pertanyaan Mirano itu, Martha dan Catherine memandang muka Isabella sambil menunggu jawaban dengan hati yang berdebar-debar walaupun jawabannya itu telah mereka duga dari awal. Isabella memegang bahu Mirano sambil memandang muka Martha dan Catherine. Dia berkata dengan suara yang tetap dan perlahan, “Aku kini telah membebaskan diriku daripada semua fikiran yang bukan-bukan. Allah telah menganugerahkan kepadaku nikmat Islam dan Dia juga akan membimbing aku menjalani hari depanku serta tidak akan mensia-siakan niat yang baik. Aku menemui ketenangan yang luarbiasa daripada ayat-ayat Al-Quran yang maksudnya begini: Barangsiapa yang takut akan Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keselamatan dan akan memberikan kepadanya rezeki dari tempat yang sama sekali tidak disangkasangkanya.” Ketiga-tiga sahabatnya diam terpegun mendengar kata-katanya. Sejurus lamanya, apabila tidak ada yang berkata-kata, Mirano memecah kesepian dengan bertanya, “Anda berjanji akan membawa kami menemui Ziad bin Umar dan kawan-kawannya. Bila?” Isabella seperti tersentak. “Kalau kita mahu pergi ke sana, kita mesti pergi lebih awal sedikit. Jadi, lebih banyak ilmu yang kita dapat dan tidak akan terlalu lewat pulang ke rumah.” “Anda mahu memberitahu kepada Ziad tentang perbahasan anda pagi tadi?” tanya Mirano. “Ya. Kenapa pula tidak?” balas Isabella. “Nah, mari kita bertolak sekarang dan sampai di sana waktu solat isyak. Kita duduk kira-kira satu jam sebelum kita pulang.” Isabella dan sahabat-sahabatnya keluar dari Taman Cordova. Mereka mengambil jalan yang menuju ke masjid besar Cordova. Dalam perjalanan, Isabella memberitahu sahabat-sahabatnya bahwa walaupun pada batinnya dia sudah menjadi Islam tetapi dia belum lagi secar rasmi menganutinya. Dia akan memeluk agama itu melalui Ziad bin Umar. Dengan demikian, Allah akan lebih menguatkan lagi imannya, memberi dia keberanian dan seluruh jiwaraganya akan diserahkan kepada Allah. Semua sahabatsahabatnya sangat gembira dan mengucapkan tahniah di atas niatnya yang baik. Mereka lebih dulu singgah di rumah Umar Lahmi yang bersambung dengan tempat kediaman Ziad bin Umar. Kedatangan mereka telah diberitahu kepada Ziad oleh Umar Lahmi. Selesai solat isyak, maka berhimpunlah cerdikpandai, alim ulama, para pengikut , ahli Hadis, penyair, penulis, ahli akademik dan para cendekiawan. Setelah bertukar-tukar khabar, Umar Lahmi meminta kebenaran Ziad untuk menjemput anak-anak gadis yang sedang menunggu di rumahnya. Ziad dengan segera memberi persetujuan. Anak-anak gadis itu pun dibawa ke hadapannya. Mereka masuk dengan penuh hormat dan tertib. Masing-masing mengambil tempat duduk di atas hamparan agak jauh sedikit di hadapan Ziad bin Umar. Setelah bertanyakan khabar tentang keadaan mereka, Isabella pun menceritakan kisah perbincangan dengan bapanya, ketua paderi dan lain-lain paderi serta kisah perbahasan dengan gurunya, Michael dan Peter tentang masalah lain dan hujah-hujah yang dikeluarkan olehnya. Para hadirin menyambut keterangannya itu dengan perasaan gembira dan mereka mengucapkan tahniah di atas keberanian Isabella. Mereka turut mengagumi ilmunya yang luas. “Tuan yang dihormati,” kata Isabella kepada Ziad sesudah itu, “perkara ini sudah pun berlaku dan akibatnya akan kita lihat kemudian tetapi sekarang saya mohon tuan Islamkan saya secara rasmi supaya saya dapat ikut dalam persaudaraan Islam sedunia, yang mengimankan Allah yang Esa.” Mendengar permohonan Isabella itu, Ziad pun memanggil Isabella supaya dekat dengannya. Disuruh Isabella membaca kalimah syahadat yang memang sudah lancar dihafal oleh Isabella. Seluruh hadirin menadah tangan sambil berdoa dengan penuh keikhlasan agar Isabella diteguhkan iman dan menjadi hamba yang berbakti. “Anakku,” ujar Ziad setelah selesai doa diaminkan, “kini kamu telah rasmi menjadi umat Muhammad, penganut Islam. Maka sebagai wanita Islam, tutuplah kepalamu. Menurut ajaran Islam, wanita-wanitanya mesti selalu melindungi wajah dan mengerjakan solat lima kali sehari yang diwajibkan ke atasmu. Kamu tidak boleh meninggalkannya walaupun dalam keadaan yang bagaimana juga kerana ia adalah pintu kebahagian.” Kemudian Ziad memandang kepada sahabat-sahabat Isabella. “Jadi, inilah kawankawanmu?” “Ya, tuan.” jawab Isabella berpaling memandang sahabat-sahabatnya yang sedang duduk dan takjub dengan perhimpunan yang dirasakan amat berlainan dengan perhimpunan alim ulama agamanya. “Itu Mirano, anak guru saya, Michael. Yang satu lagi Martha dan Catherine. Hanana tidak datang.” “Apakah mereka masih ragu terhadap Islam?” tanya Ziad. “Mereka tidak sedikit pun meragui akan kebenaran Islam dan seperti saya, mereka telah mempercayainya. Bila dikehendaki Allah, mereka dengan rasmi akan menyatakan keislaman masing-masing. Mirano barangkali ada yang mahu ditanyakan dan semuga saudara Umar Lahmi dapat menolongnya. Dia akan datang ke mari selalu untuk belajar.” “Nampaknya sikap bapa saudara akan semakin keras terhadap saudara. Tidak menghairankan kalau satu masa nanti saudara diserahkan kepada inquisisi.” kata Umar Lahmi. “Michael dan Peter tentu telah melaporkan kepada bapa saudara. Bapa saudara tentu sudah bersikap antagonis sekarang ini. Apa yang telah saudara fikirkan tentang hal ini?” “Saya fikir pun begitu. Waktu perbahasan pagi tadi, ada seorang rahib tua yang ikut serta. Saya fikir dia dari panel inquisisi. Allah lebih mengetahui apa yang akan terjadi. Saya telah menyerahkan masalah saya kepada Allah. Namun kalau bapa saya terlalu menekan, ada kemungkinan saya pindah ke rumah tuan.” jawab Isabella. “Saudara boleh pindah ke mari bila-bila masa saja.” jawab Umar Lahmi. “Bagaimanapun saudara terpaksa melakukannya pada suatu hari nanti kerana orangorang Kristian itu agak kolot sikapnya, mereka akan menekan saudara dan tidak akan membiarkan bebas begitu saja apabila mereka mengetahui saudara telah memeluk Islam.” Isabella berkata kepada Ziad bin Umar, “Tuan yang mulia. Doakan saya agar Allah memberikan ketabahan dan kesabaran. Sekarang saya minta izin pulang dulu.” Ziad bin Umar dan semua hadirin mengucapkan selamat jalan kepada Isabella dan sahabat-sahabatnya sambil memanjatkan doa agar mereka sentiasa di dalam perlindungan Allah. Setelah meninggalkan rumah itu, Isabella dan sahabat-sahabatnya pulang ke rumah masing-masing sambil berteguh-teguh janji akan bertemu lagi. Apabila sampai di rumah, ibunya menunggu seperti biasa dan tidak banyak bertanya. Mereka lalu makan bersama-sama. Setelah selesai, Isabella meminta izin masuk ke biliknya. Isabella tidur di dalam biliknya yang terletak di salah satu sudut rumah. Lama sebelum fajar menyingsing, dia telah terbangun. Dia tidak keluar dari bilik. Waktu sedang berbaring-baring, kedengaran suara azan sayup-sayup dari menara masjid besar Cordova. Mendengar laungan Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! membuat hatinya menjadi terharu. Kebesaran dan kehebatan Allah, kekuasaanNya menyelinap masuk ke dalam hati, menimbulkan rasa takut sehingga tanpa disedari airmatanya meleleh jatuh. Dia lalu turun berlutut di lantai dan mencecahkan dahi ke lantai, bersujud kepada Maha Pencipta bumi dan langit. “Oh Allah. Berikanlah kepadaku kasihMu dan juga kepada orang-orang yang mendapat rahmatMu. Oh Allah. Limpahkanlah cahaya Islam dan tauhid ke dalam hatiku dan jadikanlah ketaatanku kepada RasulMu sebagai jalan hidupku. Oh Allah. Aku bersyukur kepadamu kerena telah menjadikan aku salah seorang pengikut Rahmat Dunia. Oh Allah. Cucurilah hidayat kepada ibubapaku, keluargaku dan semua orang-orang Kristian dan mereka yang sesat dari rahmat Islam. Berilah kami semua hidup dan mati dalam agama Islam. Oh Allah. Makbulkanlah doa hambamu yang tertekan ini kerana Engkau Maha Mengetahui dan Maha Melihat.” Setelah mengucapkan doa itu, Isabella merasa dadanya menjadi ringan seolah-olah suatu beban yang berat sudah terangkat dan hatinya menjadi terhibur. Dia menemukan suatu perasaan yang penuh dengan kesabaran, kegigihan dan rasa gembira yang amat sangat. Dia terlalu gembira kerana telah dapat memiliki kekayaan Islam dan dengan itu dia tidak lagi merasa takut kerana tauhid telah mengikis semua rasa takut yang ada dalam dirinya kecuali takutkan Allah saja. Ibu Isabella tidak begitu peramah pada pagi itu. Dia tidak bersarapan bersama-sama anaknya seperti biasa. Isabella sudah menduga bahwa perbahasan antaranya dengan Peter dan Michael telah pun sampai ke pengetahuan bapanya. Mereka tentu telah menyakinkan bapanya bahwa dia sudah murtad dan semua pintu untuk membujuknya kembali dalam pelukan agama Kristian telah tertutup rapat. Dalam keadaan gelisah, Isabella menunggu kepulangan bapanya dari gereja; menunggu hukuman yang akan dikenakan ke atasnya. BAB 10 Satu Komplotan Setelah keluar sebentar untuk sarapan, Isabella kembali semula ke biliknya. Ibunya tidak kelihatan dan menurut pembantu rumah, ibunya telah bersarapan awal dari biasa. Isabella tidak mengesyaki apa-apa cuma terasa sudah ada bibit-bibit kerenggangan sudah mula ada. Bagaimanapun tekadnya sudah bulat. Dia sanggup menghadapi apa saja demi untuk mempertahankan keislamannya. Dia tidak akan melepaskan lagi jalan kebenaran yang telah diperolehinya itu. Dalam masa dia berfikir, pintu biliknya diketuk orang. Ketika dibuka, pembantu rumah memberi sepucuk surat yang bersampul. “Ini dari pembantu rumah Nona Mirano,” katanya, “dia sedang menunggu di luar.” Isabella segera membuka surat. Dia merasa hairan melihat tulisan surat itu bukan tulisan Mirano. Tentu ada sesuatu perkara yang telah terjadi ke atas dirinya, fikir Isabella. Saudara Isabella. Aku mesti berjumpa dengan anda segera kerana ada perkara penting yang hendak kusampaikan. Harap anda datang pada waktu ini juga. Jangan lengah-lengahkan lagi, terlalu penting. Aku sedang menunggu di sebuah rumah lain. Datanglah bersamasama dengan pembantu rumahku ini. Saudaramu, Mirano Tanpa mengesyaki sesuatu, Isabella mengikuti pembantu itu. Mereka berjalan melewati Qasrul Syuhada lalu berjalan lurus menuju ke Rabat Ramani. Isabella merasa hairan kerana selama dia berkawan dengan Mirano, mereka belum pernah sampai ke tempat itu. Mirano pun tidak pernah menceritakan kepadanya tentang sesiapa di antara keluarga atau kenalannya yang tinggal di daerah tersebut. Tentu Mirano dalam kesusahan, fikirnya lagi. Tidak jauh dari Rabat Ramani, mereka membelok ke sebuah lorong dan pembantu rumah itu membawa dia masuk ke dalam sebuah rumah yang cukup besar. Sebaik saja Isabella masuk, pintu halaman ditutup. Begitu juga dengan pintu depan. Isabella dibawa ke sebuah bilik. Apabila pintu bilik ditutup, barulah Isabella sedar bahwa dia telah ditipu dan dijadikan tawanan. Kesedaran itu telah terlambat. Tiga orang rahib masuk ke dalam bilik menerusi pintu lain. Mereka menolak Isabella dengan menggesanya menuruni anak tangga yang membawa mereka ke bawah tanah. Isabella berpaling untuk berkata sesuatu kepada pembantu rumah Mirano tetapi pembantu itu sudah tiada lagi. Hilang sekelip mata. Perasaan Isabella menjadi gempar dan sedarlah dia sekarang bahwa dirinya telah berada di dalam cengkaman inquisisi. Kakinya agak berat mahu melangkah turun. Ketika itu juga, salah seorang rahib menumbuk belakangnya dengan kuat. Sebagai seorang gadis yang perwatakannya lemah-lembut, terasa pukulan itu seperti satu batu besar yang jatuh menimpa belakangnya. Dia hampir jatuh tersungkur ke depan. “Perempuan terkutuk!” sumpah rahib yang memukul tadi. “Jalan cepat! Tengok itu api Tuhan Jesus Kristus sudah tidak sabar lagi menunggu untuk membakarmu, perempuan sial! Kau telah menghina agama Kristian dan menyeret kehormatan bapamu, ketua paderi, masuk ke dalam lumpur.” Isabella yang malang tidak menjawab. Tubuhnya menggigil dan belakangnya terasa terlalu sakit. Dia melangkah turun ke dalam ruang di bawah tanah itu, yang kelihatan kelam dan suram. Dari samar-samar kelam, dia terpandang kerangka manusia berselerak di semua sudut. Ada tengkorak bergantungan di dinding. Salah seorang rahib menyalakan sebuah andang. Setelah itu, dia merapati Isabella. “Nah, di sinilah tempat tinggalmu supaya kamu tahu akibat permusuhan dengan Tuhan Jesus Kristus, perempuan malang!” Dia lalu menunjukkan kepada Isabella kerangka manusia. “Inilah wakil kami yang akan mendera dan menyiksa kamu di sini.” Isabella masih berdiam diri dan merasakan dirinya seperti sedang di dalam satu mimpi ngeri. Rahib-rahib lalu meninggalkan ruang lalu memasang kunci pada pintunya. Mereka beredar ke bilik lain untuk beribadat. Sejurus kemudian, barulah Isabella sedar bahwa dia dipenjarakan sebagai satu seksaan kerana sudah tidak beriman. Isabella tidak tahu apakah hari masih siang ataupun sudah malam kerana dia merasa sudah begitu lama sekali dikurung di ruang bawah tanah itu. Kemudia dia dibawa keluar untuk diberikan semangkuk kacang tanah yang sudah digoreng dan dikisar lumat dengan segelas air minum. Rahib-rahib masih menghina dan mencacinya. Setelah itu, Isabella dibawa ke sebuah bilik lain. Di dalamnya, Isabella melihat ada beberapa orang rahib sedang dalam keadaan yang amat khusyuk. Tujuan mereka membawa Isabella ke situ agar dapat menyedarkan Isabella tentang keluhuran agama Kristian apabila dia melihat kekhusyukan para rahib. Isabella memerhatikan dengan penuh minat. Seorang rahib terbaring tidur. Kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Seorang lagi memukul-mukul tubuhnya dengan cemeti. Agak ngeri juga dia melihatnya. Terlintas di dalam fikiran mungkin orang itu dianggap ada membuat kesalahan seperti yang dilakukannya tetapi kemudian dia mendapat tahu bahwa semua penyeksaan diri yang dilakukan oleh rahib-rahib ialah suatu cara untuk menundukkan diri sendiri dan penyeksaan diri serupa itu dilakukan atas kemauan rahib itu sendiri. Di dalam sebuah bilik besar yang lain, terdapat patung Mariam Perawan. Di sekelilingnya duduk rahib lelaki dan perempuan, tenggelam di dalam tafakkur. Ada rahib yang tidur menelungkup di atas lantai dan ada yang menangis teresak-esak di sudut-sudut di sekitar dinding bilik. Sebagai usaha untuk menaklukkan diri mereka, mereka berpuasa selama 20 atau 21 hari. Isabella telah mengetahui keadaan itu tetapi inilah pertama kali dia melihat sendiri. Seorang rahib tua berkata kepada Isabella, “Wahai gadis jahanam! Jikalau kau mahu mendapat keselamatan, amalkan cara hidup sederhana serupa itu dan kamu akan disenangi oleh Tuhan Jesus Kristus.” Isabella tertawa mendengarnya. “Kenapa Tuhan menyuruh hidup serupa itu? Tujuan agama ialah memberikan tugas kepada manusia untuk membuat kebajikan kepada sesama manusia bukan disuruh menggantung diri sendiri di sudut bilik seperti kelawar. Lagi pula menurut anda, Jesus sudah menebus dosa semua orang-orang Kristian maka perbuatan menyeksa diri serupa itu sudah tidak ada gunanya lagi.” Mendengar kata-kata Isabella, mata rahib itu menjadi merah kerana terlalu marah. Dia menumbuk dada Isabella dengan sekuat-kuatnya . Dia memekik, “Perempuan isi neraka! Kau sudah tidak boleh dipujuk lagi. Pergi duduk di tempatmu. Di sana nanti akan kami ajar!” Kembali Isabella ke ruang bawah tanah yang dipeuhi dengan tulang-tulang dan tengkorak manusia. Pada mulanya, perasaan Isabella terganggu sedikit dengan keadaan sekitar yang mengerikan. Lama kelamaan dia sedar akan kedudukannya dan mulai dapat menenangkan diri. Dia pasrah dengan apa yang akan dihadapinya di hari depan. Dikuasainya diri sendiri dan berdoa kepada Allah. Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu, sedikit bunyi saja dapat kedengaran dan Isabella akan memasang telinga. Ruang yang gelap gelita mulai mendapat sedikit cahaya apabila bilah-bilah sinar matahari menembusi masuk dari lubang-lubang kecil yang ada di dinding bilik. Isabella sedar malam sudah berlalu. Tidak lama kemudian, pintu dibuka orang dan seorang rahib membawanya naik ke sebuah bilik yang lebih besar. Dalam bilik itu terdapat patung dua belas orang Pengikut Kristus dan lain-lain patung para martir. Dua orang paderi duduk menghadap ke sebuah meja. Isabella disuruh duduk berdepan dengan paderi-paderi itu. Isabella tahu mereka adalah paderi-paderi termahsyhur di Sepanyol. Dia pernah melihat mereka di rumah bapanya. Mula-mula, paderi-paderi itu menyumpah-seranah Isabella dengan berbagai-bagai kutukan yang diucapkan dalam keadaan marah. Kemudian mereka menuduhnya murtad, memberi malu kepada bapanya, seorang paderi yang dihormati, mencemarkan agama Kristian dan sebagainya. Setelah itu, baru mereka berlembut dan berdakwah. “Sudahkah kau masuk Islam?” “Syukur kepada Allah yang telah memberikan kepada saya nikmat Islam.” jawab Isabella. “Sudah!” ujar salah seorang paderi. “Hentikan puji-pujian kepada Islam. Beritahu kami apakah kau mahu mati dengan kematian yang memalukan ataupun kau mahu kembali menjadi hamba Tuhan yang dirahmati?” “Setelah menjadi Islam tiap-tiap orang sudah menjadi hamba Tuhan yang dirahmati dan tidak ada orang yang lebih beruntung daripada mereka yang diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah saja agama yang diredhai Allah.” “Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami cuma mahu mendengar dua perkataan saja, apakah kau mahu mati atau mahu hidup di dalam agama Kristian? Jawab segera kerana nasibmu akan diputuskan pada hari ini juga.” “Betapa penderitaan dan seksaan yang telah dialami oleh martir-martir Kristian pada zaman permulaan dulu, tetapi mereka tidak membuang agamanya.” jawab Isabella. “Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam kandang harimau dan singa dan dipotong dua tetapi mereka tetap berpegang teguh pada kepercayaannya. Andaikata kerana keimanan seseorang itu mesti menghadapi kematian maka itu bermakna dia telah mendapat kerelaan Tuhan dan mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang sudah berada di jalan yang benar, tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga, dapat memesongkan pendirian saya. Kitab Suci Al-Quran telah mengajar saya bahwa sembahyang saya, pengorbanan saya, hidup dan mati saya semata-mata untuk Allah yang tiada sekutu bagiNya. Saya sudah bertekad untuk tetap mempertahankannya dan saya ternasuk orang-orang yang bertaqwa.” “Jadi bererti kau tidak mahu meninggalkan Islam dan kembali ke dalam kasih Tuhan Jesus Kristus.” kata salah seorang paderi itu. :Nasibmu akan diputuskan hari ini!” “Apa saja keputusan yang tuan buat, buatlah tanpa takut dan menurut kata hati tuan yang sebenarnya.” kata Isabella. “Paling banyak pun, tuan hanya boleh mengambil nyawa saya saja tetapi tuan tidak tahu bahwa saya sebagai hamba Allah, Allah hidup abadi.” “Bila kematian sudah berada di hadapanmu,” jawab salah seorang paderi, “barulah kau akan lupa semua ayat-ayat Quran dan Allah serta lain-lainnya. Kami baru boleh mengerti kalau Quran atau Muhammad boleh menyelamatkan kau dari kematian.” Isabella tersenyum kecil. “Masalah serupa itulah yang telah dikemukakan oleh orang-orang Yahudi kepada Jesus Kristus dulu iaitu kalau dia di jalan yang benar maka dia mesti turun dari salib itu dan menyelamatkan nyawanya. Kini, adakah Kristus di pihak yang salah menurut tuan kerana dia tidak dapat menyelamatkan nyawanya dari kematian ataupun tuan semua telah mengikut jejak langkah orang-orang Yahudi itu.” “Syaitan! Isi neraka! Otak iblis! Tak berguna! Sial!” Paderi itu melenting lalu bangun dan membeliakkan matanya kepada Isabella. “Kau panggil aku Yahudi! Kau diam! Tunggulah kematianmu!” “Memang baik begitu kalau tuan juga diam dan biarkan saya sendirian. Tuan boleh buat apa yang tuan suka.” kata Isabella. Paderi yang sedang marah memanggil rahib-rahib yang sedang berdiri mengawal Isabella. “Kurung perempuan ini di ruang bawah tanah itu. Jangan diberi dia makan atau minum. Bapanya telah mengarahkan supaya dia diserahkan kepada inquisisi dan nasibnya akan ditentukan esok.” Mendengar perintah itu, rahib-rahib pun menangkap Isabella dan menolaknya secara kasar. Sambil menyorong-nyorongnya ke hadapan, mereka memukul dan membawanya keluar dari bilik itu. Ketika di luar bilik, mereka lebih berleluasa memukul Isabella hingga dia jatuh tersepuk di atas lantai. Dia ditarik bangun dan didorong sehingga sampai ke ruang bawah tanah. Kemudian, Isabella ditolak masuk hingga jatuh ke lantai lalu pintu ruang itu pun dikunci. Sudah tiga hari Isabella di dalam kurungan dan tidak sekali pun dibawa keluar lagi. Isabella tetap cekalkan hati dan memberanikan diri. Walaupun pada waktu malam, ketika suasana menjadi hening sepi, tengkorak dan tulang-tulang kerangka manusia menjadikan suasana menakutkan, ketenangan hati yang diperolehnya membuat dia tidak merasa takut. Sayup-sayup sampai ke telinganya, suara ngauman para rahib sedang melakukan ibadat dan adakala kedengaran ucapan, esakan dan raungan rahib-rahib perempuan yang sedang menyeksakan diri mereka. ………….. Berita kehilangan Isabella telah diketahui oleh Mirano daripada pembantu rumah yang telah digunakan oleh komplotan paderi-paderi untuk menculik Isabella. Mirano segera menghubungi Martha, Hanana dan Catherine. Dari penyelidikan mereka, ternyata Isabella telah dikurung dan diseksa di bawah kolong sebuah rumah yang dijadikan sebagai sebuah biara yang letaknya tidak jauh dari Rabat Ramani. Keempat orang gadis itu pun membuat keputusan untuk memberitahu hal itu kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar. Pada suatu malam, secara sembunyi-sembunyi, mereka telah ikut hadir dalam satu perhimpunan di rumah Ziad bin Umar. Semua yang hadir terperanjat mendengar berita sedih itu, lebih-lebih lagi Umar Lahmi. Dia tidak memperlihatkan kegemparan hatinya kerana Ziad bin Umar sendiri menerima berita itu dengan tenang dan sabar. “Demi Allah,” kata satu suara di antara para hadirin, “jikalau kita terus bersikap toleran serupa ini, orang-orang Kristian itu akan menjadi penghalang besar kepada dakwah Islam. Isabella yang sudah menjadi saudara kita kini dalam tawanan mereka. Menjadi tanggungjawab tiap-tiap kita untuk membebaskannya walau betapapun juga korbannya.” Seorang hadirin berdiri dan bersuara dengan lantang sekali. “Dengan izin tuan, saya akan pergi membebaskannya sekarang juga. Malang sekali, saudara kita sedang menghadapi seksaan dan kita duduk berpeluk tubuh. Memang satu kezaliman!” Umar Lahmi memandang Ziad bin Umar sebelum dia berkata. “Saudara-saudara, kegemparan dan jerit-pekik tidak dapat menolong kita. Perkara ini sekarang ada di dalam tangan guru kita, Ziad bin Umar. Kita semua akan mengikut apa jua arahannya.” “Tuan Ziad,” kata hadirin, “kami menuruti apa saja perintah tuan.” “Arahan saya kepada tuan-tuan semua,” ujar Ziad bin Umar, “ialah jangan melakukan tindakan yang terburu-buru yang akan mengakibatkan kematian Isabella. Jika kita mahu, kita boleh mengirim sepasukan tentera tetapi adalah lebih manfaat kalau kita melakukan tindakan yang strategis. Andaikata Isabella di dalam kesukaran maka insya’Allah itu akan mempertebalkan imannya. Iman itu ialah nilai Islam yang hanya dapat dicapai melalui percubaan.” Umar Lahmi lalu memandang kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya. “Nah, bagaimana pula pendapat saudara-saudara sekalian? Sampai setakat mana saudara-saudara boleh menolong Isabella?” “Sekiranya kami dibenarkan menolong,” kata Mirano, “kami dengan mudah dapat melepaskan saudara kami itu dari kesukaran.” “Terima kasih banyak.” ujar Umar Lahmi. “Saudara-saudara, kami beri kebenaran untuk melakukan apa saja bagi membebaskan Isabella.” kata Ziad bin Umar. Setelah mendapat kebenaran dari Ziad bin Umar, keempat-empat anak gadis itu pun meminta diri. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat satu rancangan dan berteguh-teguhan janji akan merahsiakan rancangan itu. BAB 11 Isabella Dalam Kurungan Pada suatu hari, iaitu hari keempat Isabella di dalam tawanan para paderi, Mirano bersama-sama Martha, Hanana dan Catherine telah pergi menemui ketua paderi. Mereka memberitahu ketua paderi tentang keakraban persahabatan mereka selama ini. Mereka sangat menyesali dengan perbuatan Isabella yang telah menukar agama nenekmoyangnya. Andaikata mereka diberi kesempatan untuk membujuk Isabella, mereka yakin Isabella dapat menerima kembali agama Kristian. Walaupun ketua paderi, bapa Isabella, telah berputus asa dan sudah menyerahkan nasib anaknya itu kepada inquisisi sebagai satu-satunya jalan untuk memperkuat kedudukan jabatannya sebagai ketua paderi yang dihormati oleh penganut-penganut agama Kristian, dia terpengaruh juga dengan permohonan anak-anak gadis itu. Apatah lagi kesempatan seperti itu adalah kesempatan terakhir padanya untuk mendapat kembali anak yang sangat dikasihinya. Mirano dan sahabat-sahabatnya telah dapat menyakinkan ketua paderi bahwa mereka pasti dapat menarik kembali Isabella dalam pelukan agama Kristian dengan pujukan mereka karena mereka sudah berkawan sejak kecil. “Bapa suci! Isabella adalah belahan hati kami semua. Kami sanggup berbuat apa saja demi untuk membawa dia kembali ke pangkuan kita. Izinkanlah kami pergi ke biara untuk bercakap dan menasehatinya.” “Biarkan anak sial itu masuk neraka.” kata ketua paderi. “Dia sudah berkepala batu. Tuhan Jesus Kristus telah memutuskan hubungan dengannya. Aku khuatir kalian pula akan disesatkannya.” “Tapi tidak rugi kalau kami mencuba. Inilah usaha terakhir kami untuk kebaikan Isabella.” kata Mirano. “Kalau tidak berhasil juga, kami minta bapa suci seksa dia biar dia rasa. Biarkan ia menjadi teladan kepada orang lain.” Mendengar kata-kata Mirano yang menyakinkan itu, ketua paderi pun memberi kebenaran kepada mereka untuk menemui Isabella di biara tempat dia ditahan. “Dengan syarat kalian bercakap dengan Isabella di depan dua orang rahib supaya kalian tidak diselewengnya. Jangan dipengaruhi oleh kemurtadannya. Nah, kalian boleh pulang sekarang. Esok petang, bolehlah kalian pergi ke sana. Aku akan menulis surat kepada rahib yang mengawal di sana.” Setelah mendapat persetujuan ketua paderi, Mirano dan sahabat-sahabatnya pulang ke rumah dengan perasaan yang amat gembira. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat keputusan akan keluar dari rumah mereka besok petang dan terus minggat bersama-sama Isabella ke pihak orang-orang Islam. Mereka membuat persediaan dengan penuh berhati-hati agar tidak memberi tanda-tanda yang boleh menimbulkan kecurigaan kepada keluarga masing-masing. Sebelum bertolak ke biara, mereka telah memberitahu usaha mereka kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar dan meminta disediakan keperluan yang dibutuhkan dalam menjayakan usaha pembebasan Isabella. Seperti yang sudah dijanjikan, keempat-empat anak gadis itu telah keluar dari rumahnya tanpa membawa bekalan apa-apa. Bapa Mirano, Michael yang telah diberitahu oleh ketua paderi tentang tujuan anaknya, telah memberi nasehatnasehat yang perlu kepada anaknya agar dia berhati-hati dalam menghadapi Isabella. Dia sangat gembira di atas usaha anaknya kerana dia tahu benar hubungan Mirano dan Isabella yang kuat kerana telah terjalin ketika mereka masih kecil lagi. Dalam hatinya, melonjak rasa bangga kerana anaknya masih kuat berpegang pada agama Kristian dan tidak mudah terpengaruh seperti Isabella, anak ketua paderi, walaupun anaknya itu ikut mendengar perbahasan dengan orang-orang Islam. “Mudah-mudahan kamu semua dalam perlindungan Tuhan Jesus Kristus.” katanya sambil melepaskan anaknya pergi. “Pujuklah dia. Mudah-mudahan dia kembali kepada kita.” Mirano dan sahabat-sahabatnya telah bertemu di suatu tempat. Tepat pada waktu yang dijanjikan ketua paderi, mereka bertolak ke biara. Ketua paderi telah pun menulis kepada pengawas biara supaya membenarkan mereka dan memberikan segala macam kemudahan dan bantuan agar anak-anak gadis itu dapat mengubah pendirian Isabella dan dapat melihat kembali cahaya kebenaran semula. Apabila Mirano dan sahabat-sahabatnya tiba di biara, mereka telah diberi sambutan oleh rahib lelaki dan rahib perempuan dengan penuh hormat dan mesra. Mereka berfikir bahwa untuk membimbing Isabella kembali ke dalam agama Kristian, Jesus Kristus telah mengirim ibunya, Mariam Perawan, dengan menjelma ke dalam gadis-gadis ini dan pertolongan dari semua wali-wali ada bersama-sama mereka. Apabila sampai ke dalam rumah, mereka dibawa masuk ke bilik yang ditempatkan patung Mariam Perawan. Mereka lalu duduk menghadapinya dengan dikelilingi sekumpulan rahib lelaki dan rahib perempuan. Seorang rahib perempuan berkata kepda Mirano “Rahmat Tuhan Jesus Kristus kepada anda dan muga-muga Tuhan memberi kejayaan ke atas usaha anda. Anda tahu, syaitan telah memesongkan Isabella yang malang itu dari jalan yang benar. Betapa bagusnya dan terpelajarnya gadis itu! Mudah-mudahan Tuhan menghancurkan syaitan itu. Betapa alimnya orang yang telah disesatkan!” “Mudah-mudahan anda dilindungi oleh bayang-bayang Mariam Perawan. Dengan pertolongan penyelamat, anda tentu berjaya.” ujar seorang rahib perempuan lain. “Wajah anda yang cantik menjamin kejayaan itu. Andainya ada bantuan restu dari Tuhan Jesus Kristus maka usaha yang sukar ini akan dapat dijalankan dengan baik. Berita telah tersebar di seluruh Cordova dan semua orang-orang Kristian merasa terpukul.” “Demi Tuhan,” sampuk pula rahib perempuan yang ketiga, “baru tadi malam aku melihat gadis-gadis yang berwajah seperti anda di dalam mimpiku. Mereka duduk di atas pangkuan Mariam Perawan dan disebelahnya Tuhan Jesus Kristus sedang memberi isyarat bahwa kehormatan gereja akan dipulihkan melalui keempat orang gadis itu” Apabila rahib lelaki mendengarnya, mereka berteriak “Sudah pastilah orang-orang dalam mimpimu itu adalah gadis-gadis ini!” Ketua rahib yang menjadi pengawas biara mencelah “Isabella sedang dikurung di dalam ruang bawah tanah. Kaki dan tangannya dirantai. Gadis terkutuk itu terlalu keras hati, lagi kuat seksaan dikenakan ke atasnya lagi kuat dia mengagungagungkan Islam. Malah dalam keadaan serupa itu pula, dia cuba berdakwah kepada kami. Jadi, bila anda bercadang mahu menjumpainya?” “Cadangan kami ialah untuk berbicara dengannya dalam keadaan tenang.” jawab Mirano. “Kami akan menerangkan kepadanya tentang kebenaran agama Kristian tetapi dengan syarat satu atau dua orang rahib saja ikut serta. Kini matahari sudah hampir terbenam, bolehlah tuan bawanya ke mari supaya dapat kami membujuknya sembahyang dan beramal. Mungkin sesudah itu tidak perlu lagi kita membujuknya. Dengan berkat Mariam Perawan,” Mirano menunjuk ke arah patung Mariam Perawan, “hatinya akan terbuka untuk Tuhan yang disalib.” Ketua rahib menundukkan kepala tanda bersetuju. “Apa saja arahan anda kami akan mematuhi. Aku akan mengarahkan semua rahib agar tidak mengganggu anda sembahyang dan melakukan amalan dan menjauhkan diri mereka dari anda semua.” “Terima kasih.” kata Mirano. “Biarlah kami bertemu Isabella dulu di ruang bawah tanah itu. Setelah kami berbicara dengannya tentang hal-hal biasa seperti persahabatan kami, barulah bawa dia ke mari.” Sambil menunjuk kepada patung Mariam Perawan, Mirano menyambung “Cuba tengok, ibu Tuhan kita sudah siap menunggu untuk mengambil Isabella ke dalam pelukannya. Kita berharap Isabella juga tidak enggan menerima pelukan yang diberi.” “Baiklah.” kata ketua rahib. Dia pun mempelawa Mirano dan sahabat-sahabatnya mengikutinya turun ke ruang bawah tanah. Apabila pintu bilik dibuka, mereka semua diselubungi kegelapan. “Oh, gelap!” seru Hanana. “Nanti saya pasangkan andang.” ujar ketua rahib. “Berjalanlah perlahan ke depan tetapi awas jangan terlanggar tulang-tulang tengkorak yang berselerakan.” Ketua rahib lalu menyalakan andang. Mirano yang belum biasa dengan keadaan di dalam bilik itu belum lagi dapat melihat Isabella yang sedang duduk di satu sudut yang tidak tercapai cahaya andang. Mereka cuma dapat melihat tengkorak bergantungan dan tulang-tulang manusia di sanasini. Martha lebih dulu melihat kelibat Isabella. rasa ngeri yang menyelinap ke dalam diri terus hilang kerana kegembiraan. “Isabella!” serunya. Semua sahabat-sahabatnya seperti dikejutkan oleh seruan itu lalu memandang berkeliling. Mereka terlupa sebentar pada tulang dan tengkorak manusia. “Isabella!” Isabella terperanjat mendengar suara sahabat-sahabatnya. Dia lalu memanggung kepala. Nampaklah keempat sahabatnya yang sedang berdiri di dalam sinar andang. “ .” ujarnya. “Perempuan malang lagi terkutuk!” sumpah ketua rahib. “Baru kelmarin kau dipukul kerana menyebut kata-kata itu tetapi kau masih belum serik lagi dan masih belum berubah.” Semua sahabat-sahabat Isabella menyambut salam itu dengan ketawa berdekahdekah dan pura-pura tidak mendengar. Mereka mendekatinya. Hati mereka hancur luluh kerana kesedihan melihat keadaan Isabella. Mata mereka digenangi air. Kasihan, tangan dan kaki Isabella diikat dengan rantai. “Isabella, alangkah sedihnya keadaan anda di sini.” kata Mirano. “Belumkah lagi anda sedar betapa hukuman yang dikenakan ke atas anda kerana menolak kebenaran?” “Anda memang benar, saudara.” jawab Isabella tersenyum. “Kerana kebenaran orang sanggup ke tiang gantung.” “Kami datang ke mari,” kata Mirano “bukan untuk berbahas tentang kepercayaan anda.” Mirano lalu ketawa dan diikuti sahabat-sahabatnya sehingga kedua orang rahib yang ada juga ikut ketawa bersama-sama. “Isabella, berapa lama lagi anda mahu duduk dalam cengkaman syaitan serupa ini? Cuba lihat betapa orang-orang Kristian di seluruh Cordova terganggu oleh kemurtadan anda.” “Tidak ada jalan lain untuk berlindung dari syaitan melainkan dengan menerima Islam.” jawab Isabella. “Satu anggapan kosong bahwa dengan menjadi Kristian seseorang dapat melepaskan diri dari cengkaman syaitan. Anda telah baca Injil dan seharusnya sudah tahu bahwa pengikut-pengikut suci juga tidak dapat terlepas dari genggaman syaitan. Malah Jesus Kristus memanggil setengah daripada pengikutnya sebagai syaitan. Apabila pengikut-pengikut ini, yang menurut kata anda, dilatih langsung di bawah pengawasan Jesus Kristus tidak dapat melepaskan diri daripada cengkaman syaitan maka bagaimana orang-orang Kristian hari ini mahu menyelamatkan diri mereka dari syaitan? Tetapi Al-Quran mengatakan bahwa syaitan tidak boleh menyentuh hamba-hamba Allah yang taqwa.” “Nah, anda sudah memulai lagi perbincangan yang menyebabkan anda dikalahkan oleh paderi-paderi kita.” kata Mirano sambik ketawa. “Dan dengan rahmat Tuhan kita telah keluar dengan kejayaan. Jadi, lebih baik anda berhentikan perbahasan ini dan tengok kepada seksaan yang anda terima. Oh, Isabella! Ini hukuman Tuhan ke atas anda, sebagai anak ketua paderi Cordova, anda tidur di atas tilam duri dan kaki serta tangan anda dirantai, demi Tuhan. Kasihanilah diri anda.” “Jikalau kebenaran boleh dibuang kerana mengelak diri dari kesusahan, maka orangorang Kristian yang menjadi martir pada awal Kristian dulu tidaklah dapat merasa ujian kemartiran mereka. Jikalau kesusahan hanya datang melalui perkara-perkara yang batal maka kebanyakan orang Kristian yang menjadi kebanggaan gereja dapat digolongkan sebagai orang-orang yang berada di pihak yang salah. Pada hakikatnya, percakapan anda itu lebih banyak menyeksa aku melebihi daripada yang kurasai di atas tilam berduri ini dan kaki dan tanganku terbelenggu. Apakah anda datang untuk menambahkan lagi seksaan ke atas diriku?” Mirano lalu berpaling kepada rahib, ketua pengawas, sambil berbisik “Isabella tidak dapat ditundukkan dengan perbahasan. Satu-satunya cara ialah pada malam ini kita sertakan dia di dalam sembahyang dan pembaktian di depan patung Mariam Perawan. Tuan akan lihat, malam ini juga dia akan berubah dan hatinya akan berpaling lalu kembali kepada Kristus yang disalib.” “Sudah menjadi aturan seseorang yang hatinya terlalu keras akan kembali beriman apabila berhadapan dengan kenyataan. Lihat saja, betapa degilnya satu Paul, musuh Tuhan. Apa bentuk seksaan yang tidak diterima oleh orang-orang beriman di tangannya? Tetapi satu Paul itulah sekarang menjadi turus agama Kristian. Dialah yang paling banyak menerima rahmat dari Tuhan.” kata Mirano. “Anda benar.” ujar ketua rahib. “Mudah-mudahan Tuhan Kristus akan berbuat serupa pada Isabella dan kembali ke dalam golongannya.” “Baiklah, sekarang kita beredar dulu dari sini dan siapkan upacara sembahyang di bilik besar.” kata Mirano kepada ketua rahib. “Lepas tiga jam malam berlalu, tuan bawa Isabella ke bilik kami bersama seorang rahib perempuan untuk menjaganya.” sambung Mirano. “Baiklah. Isabella akan kami bawa kepada anda pada waktu yang ditetapkan.” Ketua rahib berjanji. “Oh ya,” ujar Mirano, “bolehkah tuan atau sesiapa saja menemani kami sepanjang malam ini?” “Dengan segala senang hati. Tapi,” kata ketua rahib “anda tahu kami semua sembahyang sepanjang malam dan memuja-mua Tuhan.” Mirano diam sejurus seperti sedang berfikir. “Kalau begitu, baiklah. Buat apa yang biasa tuan-tuan lakukan. Saya pun fikir tidak berapa perlu sangat. Cuma pada waktu pagi saja iaitu pada masa perbincangan itu, tuan mesti hadir sama seperti yang sudah kita aturkan.” “Ya, waktu pagi nanti tidak saja saya tetapi rahib-rahib lain pun akan ikut mendengar perbincangan anda.” kata ketua rahib. Martha menyampuk “Kalau dengan izin Jesus Kristus hasilnya akan tercapa pada malam nanti. Perlukah lagi perbincangan itu?” Ucapan Martha itu diberikan dengan semacam nada yang dapat ditangkap maksudnya oleh sahabat-sahabatnya saja. Setelah mereka meninggalkan ruang bawah tanah itu, ketua rahib mengunci pintunya. Mereka masuk ke bilik besar. Selesai makan malam dan membersihkan diri, empat sekawan itu berjalan-jalan di sekitar biara. Mereka bercakap-cakap dengan rahib lelaki dan rahib perempuan yang membuat persiapan-persiapan untuk beribadat di sepanjang malam itu. Kemudian, mereka kembali ke bilik. Tujuan mereka berbuat begitu adalah untuk mencari seroang rahib perempuan yang paling kuat pembaktiannya yakni yang paling warak. Mereka dapat bertemu rahib itu dan ketika itu dia sedang tenggelam dalam sembahyangnya. Malam berjalan dengan lambat tetapi waktu tiga jam yang dijanjikan semakin mendekat. Anak-anak gadis itu berbincang sesama sendiri dengan suara perlahan. Tepat pada waktunya, pintu bilik dibuka dan ketua rahib masuk. Keempat-empat gadis itu bangun berdiri sambil memberi hormat. “Isabella sedang diambil dari kurungan dan akan dibawa ke mari dengan segera.” kata ketua rahib. “Terima kasih.” jawab Mirano. “Bersama-sama dengannya ialah seorang rahib perempuan seperti yang diminta.” kata ketua rahib lagi. “Bolehkah tuan hantarkan kepada kami seorang rahib yang paling warak, seseorang yang tidak berhenti beribadat sepanjang malam?” tanya Mirano. “Adakah rahib serupa itu di sini?” Ketua rahib termenung seketika. “Semua rahib perempuan di sini warak orangnya. Mereka membuat berbagai-bagai amalan demi Tuhan Jesus. Tapi ..” katanya sambil berfikir “ada seorang yang bernama Arkia. Dia paling warak, pembakti, penerima wahyu suci dan telah melakukan berbagai macam mukjizat. Tentang keturunannya, cukuplah kalau dikatakan dia itu ialah Puteri Perancis. Dia telah meninggalkan kekayaan dan takhtanya demi untuk Mariam Perawan.” “Kalau begitu, cita-cita kami sudah berhasil.” kata Mirano. “Kami perlukan rahib perempuan seperti itu supaya dapat mempengaruhi Isabella dengan kekuatan batinnya. Apakah dia juga boleh melakukan mukjizat?” “Kebolehannya melakukan mukjizat terkenal di mana-mana.” jawab ketua rahib. “Apakah anda tidak pernah mendengar tentang dirinya? Anda dengar ini saja, dia boleh minum racun tetapi tak berkesan sedikit pun padanya. Pada suatu masa dulu, seekor ular yang berbisa masuk ke biara dan jatuh tergolek di kaki Arkia. Ini saya lihat dengan matakepala saya sendiri.” “Maha suci Tuhan.” ujar Mirano. “Kerja kita sudah berhasil. Sekarang tolong bawakan Isabella dan Arkia kemari.” BAB 12 Puteri Perancis Tidak lama kemudian, Isabella pun dibawa masuk ke dalam bilik di mana sahabatsahabatnya sedang menunggu. Keadaan tubuhnya amat lemah. Mirano dan sahabatsahabatnya terlalu hiba melihatnya. Kalau tidak khuatirkan tembelang mereka akan terbuka, pada waktu itu juga mereka mahu memeluknya dan menangis dengan sekuat-kuat hati. Mereka hanya menahan sebak di dada walaupun melahirkan raut wajah yang biasa seperti orang yang hanya datang sekadar mahu memujuk agar Isabella kembali kepada jalan yang benar. “Puteri Arkia akan datang sebentar lagi sesudah dia selesai mengerjakan ibadatnya.” kata rahib yang membawa Isabella. Dia kemudian meninggalkan bilik itu. Pada kesempatan itu, Mirano, Hanana, Martha dan Catherine segera membincangkan dengan Isabella tentang rancangan rahsia yang akan mereka lakukan bagi membebaskannya. Mereka meminta Isabella bekerjasama dengan berpura-pura kembali kepada agama Kristian agar rancangan itu berjaya. Isabella menempelak sahabat-sahabatnya. Dia dengan tegas menolak cadangan mereka. “Apa saja penderitaan demi agama Islam maka insyaAllah, ia akan menjadi sebagai penebusan dosa dan memperkuat lagi keimananku. Andaikata Allah mahu membebaskan aku daripada cengkaman tawanan ini, maka pasti Dia akan menunjukkan jalannya kepadaku.” kata Isabella dengan penuh taqwa. Setelah terjadi berbagai macam pertukaran pendapat, mereka akhirnya mencapai kata sepakat akan melakukan cara yang paling baik tanpa menyinggung keimanan Isabella yang sudah kukuh. Mereka lalu berdoa bersama-sama. Isabella membaca doa yang diajarkan oleh Umar Lahmi dari AlQuran, surat Al-Isra’ ayat 80: Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin.* *Wahai Tuhanku, masukkanlah daku secara yang baik lagi diredhai dan keluarkanlah daku secara yang baik dan diredhai. Mirano mula membaca salawat kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat mereka yang lain mengucapkan doa yang sesuai dengan keadaan pada waktu itu. Sebaik saja mereka selesai berdoa, pintu bilik terbuka dan melangkah masuk Arkia, Puteri Perancis. Mereka terpegun sejurus melihat perawakan wanita itu. Orangnya tinggi lampai dan walaupun dalam berpakaian rahib begitu pun masih dapat dilihat garisgaris kecantikannya yang asal. Hidungnya mancung seperti paruh elang dan pada raut muka tergambar keangkuhan bangsawan. Bibirnya yang tipis dan rapat membayangkan kekerasan hati. Mereka yang ada di dalam bilik bangun dan memberi hormat kepadanya. “Saya sangat dukacita bahwa Isabella telah melepaskan dirinya daripada pelukan Tuhan kita dan telah menyekutukan dirinya dengan orang-orang yang murtad. Saya hairan Kenapa syaitan boleh menguasainya. Baru tadi malam, saya melihat dalam mimpi saya seorang ulama Islam dibakar di dalam neraka dan gadis malang ini juga mahu mengikutinya? Kalau dia kembali memikul salib Tuhan dan tinggal dengan saya beberapa hari, saya akan memberi dia melihat Tuhan.” kata Arkia. “Memang benar,” ujar Mirano “sangat memalukan apabila seorang anak pemimpin kerohanian menjadi murtad. Itulah sebabnya pada hari ini kami membawanya kepada anda. Anda boleh mempengaruhinya dengan kekuatan ilmu batin anda dan membawa dia kembali ke kaki Tuhan. Dia tidak dapat kita kalahkan dengan hujahhujah tetapi kita dapat membawanya kembali ke agama asal dengan pengaruh kerohanian.” “Baiklah,” jawab Arkia “hari ini kita membawa balik Isabella kepada Mariam Perawan melalui sembahyang dan ibadat. Saya yakin menjelang pagi nanti, dia akan pulih. Saya dapat melihat Tuhan sedang menunggu Isabella dengan tangan terbuka dan Isabella pun sudah bersedia untuk masuk ke dalam pelukannya. Anda semua tidak usah khuatir. Tunggu saja sampai pagi.” Ketika itu, Isabella mahu menjawab kata-kata Arkia tetapi Martha dengan segera memberi isyarat supaya dia mendiamkan diri. Arkia menceritakan tentang beberapa mukjizat yang pernah dilakukannya. Sedang dia bercakap-cakap, pintu bilik dibuka orang. Di muka pintu, berdiri ketua rahib. “Apakah anda masih memerlukan beberapa orang rahib perempuan lagi?” tanya ketua rahib. “Kalau mahu, saya akan arahkan.” “Terima kasih banyak.” jawab Mirano. “Buat masa ini saya fikir belum perlu lagi. Tetapi saya berterima kasih kalau tuan dapat datang menjenguk kami sekali atau beberapa kali sepanjang malan ini dan memberi nasihat apa-apa yang perlu.” “Baiklah.” kata ketua rahib. “Saya akan datang setiap dua jam sekali.” Dia lalu menutup pintu bilik dan meninggalkan mereka. Ada kira-kira setengah jam lagi akan menjelang tengahmalam. Anak-anak gadis itu pun duduk untuk melakukan sembahyang bersama Arkia di depan patung Mariam Perawan. Mereka duduk dalam jarak beberapa meter antara satu dengan yang lain. Mirano duduk berhampiran dengan Isabella supaya dia dapat menyampaikan sesuatu yang penting dengan mudah tanpa diketahui orang lain. Setelah satu jam bersembahyang, Mirano lalu membisikkan kepada Isabella “Dengar baik-baik. Anda jangan sekali-kali mencelah apa saja yang aku cakapkan. Anda dengar saja dan terima seadanya.” Arkia dengan semangat kesalihan yang tinggi telah melakukan beberapa perkara yang aneh-aneh. Kadang-kala dia menghulurkan tangannya seolah-olah mahu mencapai sesuatu ke dalam pelukannya. Kadang-kala dia menangis dan ada masa dia meraung seperti orang kesakitan. Dia mengulang-ulangi perbuatannya berkalikali dan berkata “Ya, ya. Tuhan akan memberi hidayah kepadamu. Roh Kudus akan menolong kita.” Kira-kira jam satu malam, Mirano telah menjerit dengan sekuat hati dan kemudian pengsan. Isabella duduk tanpa bergerak di sampingnya. Arkia, Martha, Hanana dan Catherine menerpa ke Mirano. Mereka mahu menyedarkannya dengan memercikkan air ke muka. Arkia melarang sambil berkata bahwa Mirano telah melihat Tuhan dan sembahyang mereka pada malam itu mencapai kejayaan besar. “Jangan susah. Ini satu tuah kita bahwa Tuhan telah datang ke biara ini.” Arkia mendekati Isabella. “Nah, Isabella! Masih enggankah kau mengangkat salib Tuhan kita?” Isabella diam. Dia tidak menjawab dan hanya mendengar saja. Arkia semakin yakin bahwa Tuhan benar-benar telah turun di biara itu dan memandang Isabella dengan mata rahmatnya. Mirano masih terus dengan pengsannya waktu ketua rahib tiba. Ketua rahib amat terperanjat melihat keadaan Mirano lalu berteriak “Apa sudah terjadi?” Arkia terus menceritakan dengan penuh keyakinan bahwa Tuhan telah turun ke dalam diri Isabella, yang segera pula dibenarkan oleh ketua rahib itu yang memang sudah sangat percaya kepada kesalihan Arkia. Akhirnya, setelah dilakukan berbagaibagai usaha, Mirano pun mulai sedar. Ketua rahib segera bertanya “Mirano, bagaimana keadaanmu? Cuba beritahu kami sedikit khabar baik.” Mirano menunjukkan jarinya ke arah Arkia. “Ini semua adalah manifestasi kesalihan dan keberkatan dari perhatiannya yang warak menyebabkan saya melihat Tuhan.” kata Mirano bersungguh-sungguh. “Maha Suci Tuhan,” ujar Arkia “rahmat atas nama Kristus yang disalib.” “Bagus, bagus. Apa yang telah anda lihat?” tanya ketua rahib lagi seakan tidak sabar. “Saya sedang khusyuk bersembahyang apabila saya melihat suatu lembaga lelaki yang segak dan anggun menerpa saya. Kemudian, dia melihat dengan mata imannya pada Isabella sambil tersenyum.” Mirano bercerita. “Tahniah! Tahniah!” kata ketua rahib itu. “Saya sedang memerhatikan lembaga itu dengan penuh perhatian bila dia tiba-tiba berpaling kepada saya. Saya melihat ada suatu tanda di dahinya yang tertulis ‘Roh Kudus’ dengan huruf yang bercahaya-cahaya.” Isabella menahan ketawanya hingga membuat dia terbatuk-batuk. “Oh Tuhan! Maha Suci namamu.” kata Arkia. “Kemudian dia mengeluarkan sebiji botol kecil dan menuang beberapa titik isinya ke atas kepala Isabella.” sambung Mirano. “Sudah tentu itu titisan air keimanan, Isabella,” kata ketua rahib “nasibmu sudah kembali bersinar.” “Kemudian Roh Kudus memberitahu saya dua perkara …” Mirano tidak meneruskan ucapannya. Dia seperti tenggelam dalam fikiran secara tiba-tiba. “Apa dia, Mirano?” Ketua rahib tidak sabar sambil memanjangkan lehernya mendekati Mirano. “Apa dia dua perkara itu?” “Katanya,” ujar Mirano “ada sebuah gereja suci di daerah selatan Cordova yang sekarang sudah ditinggalkan orang. Di sana tulang-tulang Wali Suci yang disimpan untuk penziarah-penziarah yang mencari berkat. Saya mahu ke sana dan cuba lihat, Tuhan sedang menunggu kita dengan tangan terbuka untuk diberi hidayat.” Arkia terus berseru “Tuhan yang disalib! Namamu penuh pujian. Demi Mariam Suci! Betapa beruntungnya wahyu ini. Dan saya telah melihat Tuhan sebaik saja saya sampai ke mari. Dapatkah tuan lihat betapa wahyu Mirano telah membenarkan perkataan saya?” “Apa dia yang lagi satu, yang dikatakan Roh Kudus?” tanya ketua rahib lagi memotong kata-kata Arkia. “Perkara yang lagi satu?” Mirano berpura-pura kehairanan. “Ya!” Mirano menggeleng-gelengkan kepala dengan lembut. “Perkara yang lagi satu saya tidak boleh beritahu di sini. Begitu saya diperintah.” “Apakah Roh Kudus tidak benarkan anda memberitahu perkara itu di sini?” Ketua rahib seperti kecewa. “Ya! Dia tidak membenarkan saya memberitahunya di depan orangramai.” “Sekurang-kurangnya anda memberitahu saya kalau hal itu ada kena mengena dengan orang atau tentang suatu usaha.” kata ketua rahib tanpa berputus asa. Setelah diam sejurus. Mirano lalu berkata “Hanya sekadar ini saja saya boleh memberitahu tuan. Saya tidak begitu banyak mengetahui tentang tuan. Bapa Suci, bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu tinggi di hadapan Tuhan?” Oleh sebab para rahib dan orang-orang Kristian Roman Katolik sangat percaya pada ketahyulan dan amat mudah mempercayainya maka rahib itu pun begitu juga. Dia melompat-lompat kegembiraan dan mengulang-ulangi ucapan Mirano. “Bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu tinggi di hadapan Tuhan.” Arkia, Puteri Perancis, bersujud di kaki ketua rahib dan menggosok-gosok dahinya di atas kaki itu. Ketua rahib membiarkan sambil berdiri tegak kerana terlalu gembira. Dia hanya berkata kepada Arkia “Anakku, sabarlah! Engkau juga akan ikut bersamasamaku di dalam syurga.” Hampir dua jam lamanya suasana riang gembira itu berlangsung. Akhirnya, Arkia berkata kepada ketua rahib itu. “Apa yang harus kita buat sekarang?” “Untuk menemui Tuhan, kita harus pergi ke tempat yang diberitahu Mirano.” kata ketua rahib. Kemudian dia berpaling kepada Isabella. “Lihat, wahai gadis yang baik! Kerana engkaulah maka Roh Kudus telah turun ke atas kami hari ini. Sudah tentu pertemuanmu dengan Tuhan nanti akan menjadikan engkau seorang wali. Raja-raja akan datang meminta berkat dari kakimu.” “Apakah kita perlu pergi ke gereja buruk seperti yang diarahkan oleh Roh Kudus itu?” tanya Mirano. “Sudah tentu!” kata ketua rahib. “Apakah anda masih ragu-ragu apabila Roh Kudus sudah arahkan kita ke sana? Kita mesti sampai di situ sebelum menjelang pagi.” “Baiklah.” Kurungkan Isabella di dalam ruang bawah tanah itu dan bersiaplah untuk bertolak.” kata Mirano. “Kenapa?” tanya ketua rahib kehairanan. “Anda mahu tinggalkan orang yang kerananya Roh Kudus turun ke mari dan memberi penghormatan kepada kita untuk bertemu dengan Tuhan? Dengar! Isabella telah menerima hidayat istimewa dari Tuhan. Seperti juga dengan Paulus Suci meskipun menjadi musuh ketat Tuhan telah menerima berkat yang istimewa. Jadi, bangun semua. Bawa Isabella bersama-sama anda. Mari kita pergi ke gereja itu.” “Bagaimana kalau Isabella melarikan diri dalam perjalanan kita nanti?” tanya Hanana. Ketua rahib tertawa besar. “Hairan! Adakah Tuhan panggil kita ke hadapannya kerana sesuatu yang tidak berfaedah. Seolah-olah dia tidak tahu orang yang dipanggilnya akan melarikan diri.” “Saya fikir kita tidak boleh berlengah-lengah lagi.” kata Arkia. “Kerana Roh Kudus telah mengarahkan kita sampai ke sana segera.” Arkia memandang ke angkasa. “Saya sudah mulai nampak Roh Kudus. Oh Tuhan! Puji-pujian untuk namamu!” “Puji-pujian untuk namamu, Tuhan!” Semua ikut mengucapkan serentak. “Baiklah,” ujar ketua rahib “saya akan mengarahkan mereka membawa keluar keldaikeldai dan kalian berkemaslah. Keldai-keldai larinya cepat, sekejap saja kita boleh sampai ke sana.” Ketua rahib keluar dan memanggil pekerja-pekerja biara lalu menyuruh mereka mengeluarkan keldai-keldai. Waktu berangkat dirahsiakan dari pengetahuan rahibrahib lain. Ketua rahib sangat gembira kerana Isabella akan melihat Tuhan di gereja buruk dan akan memikul Salib Suci Kristus. Bapanya, ketua paderi, tentu akan terperanjat besar melihat mukjizat itu. Mereka sekarang sudah siap untuk bertolak. Isabella, Hanana, Catherine, Mirano, Martha, Arkia dan ketua rahib menunggang keldai seorang seekor. Atas arahan Mirano, Isabella diletakkan di tengah-tengah sebagai satu tindakan keselamatan. Dalam masa empat puluh lima minit, mereka sampai ke Gereja Saint Peter. Di dalam gereja itu, terdapat tulang-tulang para martir yang terkenal di dalam agama Kristian dan perempuan-perempuan Kristian dari tempat-tempat yang jauh datang ke gereja ini berziarah untuk mendapat berkat. Masa masih ada lagi sebelum menjelang fajar dan keadaan gereja yang mengerikan itu menimbulkan semacam perasaan takut di dalam hati. Sebaik saja mereka masuk ke dalam gereja, Arkia dan ketua rahib terus bertelut di hadapan satu rangka manusia yang besar. Kedua-duanya mula menangis dengan kuat kerana mengharapkan dapat melihat Tuhan sebelum pagi dan Roh Kudus akan memeluk mereka. Ketika ini, Isabella dan sahabat-sahabatnya membincang satu rancangan sulit yang sudah mereka atur sebelum bertolak ke tempat itu. Tiba-tiba dengan suatu gerakan yang cepat, kelima-lima orang kawan itu menyerang ketua rahib yang sedang meniarap dan menangis. Dua orang memegang kuat tangannya sementara dua orang lagi menangkap kaki. Seorang mengeluarkan tali dan kain buruk yang disembunyikan di dalam kocek baju. Mereka menyumbat kain buruk itu ke mulut ketua rahib dan mengikat tangan serta kakinya. Ketua rahib malang itu amat terkejut dan tidak sempat menjerit meminta tolong. Arkia meniarap di hadapan satu rangka manusia yang lain yang mengharap dapat melihat Tuhan telah dibisikkan di telinganya oleh Isabella. “Marilah saudaraku yang salih! Saya mahu menunjukkan Tuhan kepada anda.” Dengan penuh bersemangat, Arkia bangun segera dan apabila dia menghampiri ketua rahib yang terikat tangan dan kaki dan dalam keadaan tidak terdaya, dia lalu memekik “Apa ini?” “Inilah Tuhan yang anda datang untuk melihatnya di sini.” jawab Isabella. Anak-anak gadis itu lalu memberi amaran kepada Arkia tentang hari depannya. Mereka mendakwah agama Islam kepadanya. “Kalau anda mahu melihat sinar kebenaran dan menjadi manusia yang sempurna, mengucaplah lah ilaha illallah, Muhammad-your Rasulullah. Kalau tidak anda tidak akan dapat melihat Tuhan khayalan anda itu sampai ke hari kiamat.” Setelah berpesan, kelima-lima gadis itu pun menunggang keldai seorang seekor serta membawa bersama dua ekor keldai lagi lalu meninggalkan gereja tua segera. Arkia diam tegak seperti patung kerana terkejut. Akhirnya, dalam cahaya lilin yang suram, dia melihat ketua rahib terkial-kial mahu melepaskan diri sambil memberi isyarat memerlukan bantuan untuk melepaskan dirinya. Arkia baru tersedar akan keadaan yang telah berlaku. Dia segera menarik keluar kain yang tersumbat di dalam mulut ketua rahib. Kemudia dibuka ikatan tangan dan kakinya. Setelah itu, ketua rahib memekik sekuat hatinya. Mendengar pekikan yang kuat di pagi hari di dalam gereja yang sedang riuh dengan tangisan para ziarah itu, barulah orang-orang yang ada di situ sedar apa yang telah berlaku. Isabella dan sahabat-sahabatnya sudah tidak kelihatan lagi. Mereka telah jauh meninggalkan gereja tersebut. Tidak lama kemudian, kelima-lima gadis itu tiba di rumah Umar Lahmi. Umar Lahmi dan orang-orang Islam yang lain baru saja selesai menunaikan solat Subuh ketika itu. Mereka mendengar peristiwa yang baru dialami kelima anak gadis itu. Berita itu disampaikan kepada Ziad bin Umar dengan segera. Semua orang Islam merasa gembira dan mengucapkan syukur ke hadhirat Allah Subhanahu Wa Taala dan mengucapkan tahniah serta pujian kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya yang telah berjaya membebaskan Isabella. Setelah itu mereka semua berkumpul di satu perkumpulan sesudah Subuh. Semua alim ulama, ahli filsafah, doktor, penulis, penyair, penafsir Al-Quran dan Hadis, serta ahli sejarah hadir bersama. Hampir semua orang di situ tahu tentang peristiwa Isabella ditawan dan diserahkan kepada inquisisi. Selama Isabella di dalam tawanan, Umar Lahmi kerap menerima laporan tentang keadaan diri Isabella yang disampaikan oleh para pengintip rahsia. Beritaberita itu disampaikan oleh Umar Lahmi kepada hadirin di setiap perkumpulan yang diadakan di rumah Ziad bin Umar. BAB 13 Pertemuan Sulit Di gereja Saint Peter, sepeninggalan Isabella dan sahabat-sahabatnya, telah timbul kekecohan besar. Walaupun telah ditolong oleh Arkia melepaskan diri dari ikatan, ketua rahib yang tadinya memekik meminta tolong tiba-tiba terdiam. Sejurus lamanya dia terdiam tanpa berkata-kata seperti seorang yang dalam kebingungan dengan apa yang telah menimpa dirinya. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan ramai orang yang datang mengerumuninya. Penziarah-penziarah lain yang berada di dalam bilik yang berasingan seolah-olah tidak menghiraukan teriakan meminta tolong dari ketua rahib. Mereka sebaliknya semakin khusyuk dengan doa dan sembahyang di hadapan tulang-tulang kerangka orang yang dianggap wali. Mereka semakin kuat menggenggam jari-jemari tangan masing-masing sambil menangis sementara menunggu dengan penuh sabar kedatangan Tuhan yang dijanjikan. Setelah keadaan kembali reda, ketua rahib dan Arkia terburu-buru keluar dari gereja kerana mahu mengejar Isabella dan sahabat-sahabatnya yang sudah terlepas dari tawanan. Sekali lagi, mereka termanggu dalam keadaan bingung kerana keldai-keldai mereka telah tiada lagi di situ. Mereka lalu meminjam keldai penziarah lain untuk pulang ke biara. Waktu sampai kembali di biara, mereka disambut dengan perasaan terperanjat oleh rahib lelaki dan perempuan kerana Isabella dan sahabat-sahabatnya tidak kelihatan. Walaupun pemergian ke gereja buruk di Selatan Cordova dirahsiakan namun semua rahib biara telah mengetahuinya. Mereka telah mendengar kisah Mirano pengsan dan Tuhan mengarahkan mereka pergi ke gereja tua itu. “Mana Isabella?” tanya seorang rahib lelaki. “Sudahkah dia memikul kembali salib Tuhan kita?” tanya seorang rahib perempuan kepada Arkia. Ketua rahib terlalu susah hati sehingga dia tidak dapat mengangkat muka. Di wajahnya terbayang kehinaan, penyesalan dan kekalahan. Kemudian salah seorang daripada rahib-rahib memberanikan diri untuk tampil ke depan. “Tuan yang dihormati,” kata rahib lelaki itu “bapa suci, ketua paderi, telah mengirim surat ini waktu tuan tiada. Tuan disuruhnya menjawab segera.” Ketua rahib memandang muka rahib yang sedang menghulurkan surat dengan mata terbelalak. Tangannya sedikit menggeletar. “Oh, bagaimana aku mahu menunjukkan mukaku kepada bapa suci itu?” katanya membisik. “Oh, syaitan terkutuk itu telah menipu aku. Syaitan yang tidak pernah melepaskan peluang untuk mencuba walaupun kepada Tuhan Jesus Kristus. Celaka Isabella! Oh, perempuan sial. Aku benci kepadamu oh anak syaitan! Kau yang murtad, kami pula yang mendapat malu. Oh, Tuhan! Lihatlah betapa aku yang taat kepadaMu diperlakukan.” Walaupun ucapannya amat perlahan tetapi para rahib yang sedang mengelilinginya dapat mendengar dengan jelas dan mereka sangat terperanjat. Lalu masing-masing bertukar pandangan antara satu dengan yang lain dengan diselubungi suatu perasaan yang cukup aneh. Ketua rahib lalu membuka surat dari ketua paderi dengan tangan yang terketar-ketar. Dengan tujuan untuk memujuk Isabella, kawan-kawannya yang empat orang itu telah datang ke mari seperti yang telah anda maklum. Saya fikir memasukkan kembali Isabella ke dalam agama Kristian tidak semudah seperti yang kita fikirkan. Andainya keadaan Isabella masih tidak berubah, saya minta diserahkan saja kepada inquisisi. Saya akan mengirim beberapa orang untuk mengambil Isabella pada petang nanti. Sekarang, suruh anak-anak gadis itu kembali dan berjumpa saya. Jangan sampai syaitan dapat menyeleweng mereka pula dan masuk ke dalam perangkap Isabella. Selesai saja dia membaca surat itu, dia pun menangis dengan suara kuat hingga memeranjatkan orang-orang yang berada di situ. Sejurus lamanya dan ketika tangisannya mula reda, dia berkata dalam keadaan masih teresak-esak ” Bagaimana aku akan menjawab surat ini. Aku akan pergi sendiri berjumpa bapa suci dan menceritakan kepadanya betapa orang-orang salih dapat juga diperdaya oleh syaitan.” Setelah berkata begitu, ketua rahib pun bangun dari duduk dan mengajak Arkia pergi bersama-sama menghadap ketua paderi di rumahnya. Dalam perjalanan, mereka tidak banyak berkata-kata. Ketua rahib terlalu runsing memikirkan hukuman yang akan diterima di atas ketelidurannya. Arkia, Puteri Perancis, pula merasa kesalihannya telah terpukul dengan kejadian itu. Dia yang mengaku selalu mendapat wahyu dan boleh melakukan mukjizat telah dapat dikalahkan oleh Isabella yang dituduh murtad. Perkara yang paling mengganggu fikirannya ialah nasehat Isabella yang menyuruhnya membaca kalimah syahadat dan masuk Islam jikalau dia benar-benar mahu berjumpa dengan Tuhan yang dikhayalkannya selama ini. Ketua paderi sangat terperanjat apabila melihat ketua rahib datang bersama Arkia. Dalam keadaan tenang, dia mempersilakan mereka duduk. Dengan perasaan terhina dan rasa rendah diri, ketua rahib pun menceritakan tipu muslihat sahabat-sahabat Isabella yang berjaya menipu dia dan Arkia. Ketua paderi terdiam kaku mendengarnya. Kemudian dia berkata “Saya telah memerintah anda menjaga dengan berhati-hati, Kenapa masih boleh ditipu oleh anak-anak gadis itu? Kenapa wahyu palsu itu boleh membuat anda meninggalkan biara? Kenapa tidak diberitahu kepada saya terlebih dulu?” “Bagaimana saya menjawab lagi? Saya mengaku bersalah dan saya telah jatuh ke dalam perangkap syaitan.” kata ketua rahib. “Apakah ada rahib-rahib lain yang bersengkokol dengan anak-anak gadis itu?” “Tidak ada. Sebagai menjaga keselamatan, saya tidak memberitahu kepada sesiapapun kecuali rahib perempuan ini yang memang sudah terkenal dengan kesalihannya.” Ketua paderi lalu memanggil seorang pesuruh dan menyuruhnya pergi ke rumah Michael dan Peter. “Panggil mereka ke mari sekarang juga. Kalau mereka ada urusan lain, suruh ditinggalkan dulu. Mereka mesti datang ke sini kerana ada urusan penting.” Tidak lama kemudian, Michael dan Peter hadir bersama tiga orang paderi lain. Mereka meletakkan tangan kanannya di dada tanda memberi hormat kepada ketua paderi. “Silakan duduk.” kata ketua paderi. “Anak anda, Mirano, telah minggat bersamasama anak saya, Isabella.” “Apa? Apa yang anda telah katakan?” Michael bertanya dalam keadaan terperanjat. “Bukan saja Mirano, Hanana, Martha dan Catherine juga telah meloloskan diri dari pengawalan di biara.” ujar ketua paderi lagi. “Bapa suci! Cuba ceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi?” desak Michael. “Bertanyalah kepada ketua rahib ini.” kata ketua paderi. “Nah, ceritakan kepada mereka dari mula.” Ketua rahib pun menceritakan kisah kejadian itu dari awal hingga akhir dengan linangan airmata kerana merasa malu dan kesal yang amat sangat. Michael dan Peter turut menangis sama. “Kenapa menangis?” kata ketua paderi. “Kutuklah roh-roh yang kotor itu. Sesalan kalau pun ada ialah kerana Isabella telah terlepas dari genggaman inquisisi.” “Bapa suci! Ini bukan perkara kecil.” ujar Michael. “Orang-orang Kristian seluruh Cordova seakan terhina dengan kejadian ini.” Ketua paderi tidak mengacuhkan ucapan Michael itu. Sebaliknya, dia berkata “Bagaimanapun, usahakan mencari anak-anak gadis itu sekarang. Kita akan mencari ikhtiar menghadapi masalah ini.” Tiga hari telah berlalu dan pada suatu malam ketika menjelang dinihari, semua paderi di Cordova telah datang berkumpul di dalam gereja besar Cordova. Mereka telah diarahkan secara sulit datang berkumpul di situ. Pada lahirnya, tidak kelihatan tanda-tanda dipasang lampu yang terang-benderang, tidak ada hamparan permaidani dan tidak pula ada perarakan salib dan sebagainya. Orang-orang datang secara berasingan dan dengan tenang masuk lalu mengambil tempat duduk di dalam ruang gereja berhadapan dengan altar suci. Perhimpunan istimewa ini dihadiri oleh orang-orang yang dijemput secara rahsia saja. Sebuah salib besar terpasang di atas altar bertepatan dengan patung Kristus tergantung. Di bawahnya, terdapat Mariam Perawan duduk bertelut di atas lutut, memperlihatkan pembaktiannya kepada Jesus Kristus. Semua dinding gereja besar itu dilukis dengan figura wali-wali dan pengikut-pengikut Jesus, kelihatan seperti gambar di dalam mitologi Roman dan Mesir. Semua yang datang duduk dikelilingi dinding-dinding itu. Rahib wanita, perawan yang menjadi penghibur paderi-paderi juga kelihatan di dalam kumpulan para paderi. Ketua pada, bapa Isabella, menyambut kedatangan semua dengan penuh kemesraan. Mereka berjalan masuk dalam keadaan senyap dan khusyuk sehingga orang-orang yang lewat di luar gereja tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalamnya. Tetapi orang-orang Islam telah pun mengetahui tentang perhimpunan rahsia itu. Ketua paderi dan Michael berdiri di muka pintu memberi arahan dengan isyarat tangan kepada orang-orang Kristian yang datang berbondong-bondong penuh bersemangat itu supaya jangan membuat bising. Beberapa ribu orang sudah berada di dalam gereja besar namun ketua paderi dan Michael masih berdiri di muka pintu di bawah patung Kristus yang disalib. Tidak jauh di hadapan gereja, seorang lelaki yang di dalam kumpulan orang yang sedang berbaris hendak masuk memegang bahu seorang lelaki lain di depannya seraya berkata “Saudara, puji-pujian kepada nama Tuhan. Ini ada satu envelop yang mesti saya sampaikan kepada bapa suci, ketua paderi, tetapi saya telah terlupa pesanan Bapa Michael yang telah memerintah saya mengambil satu barang penting di rumahnya untuk ketua paderi. Saya terpaksa pergi sekarang sebelum pertemuan ini bermula. Bolehkan saudara tolong sampaikan kepadanya sesudah sampai di dalam nanti?” Envelop diserahkan sebelum orang itu sempat menjawab. Setelah menerimanya, dia berkata “Dengan segala senang hati. Saya akan sampaikan envelop ini kepada bapa suci. Tuan jangan bersusah hati.” “Terima kasih.” jawab orang lelaki itu lalu meninggalkan barisan. Orang yang menerima itu memegang surat itu dengan kuat. Dia gembira kerana menerima amanah yang begitu besar. Ruang gereja telah penuh dengan orang-orang Kristian dan para paderi duduk di tempat yang disediakan untuk mereka. Ada beberapa paderi pula berjalan berkeliling, memerhati setiap orang untuk memastikan tidak ada orang Islam yang dapat menyusup masuk. Setelah mereka yakin orang-orang yang tidak diingini tidak ada di dalam gereja, pintu besar pun ditutup. Beberapa orang disuruh berjaga di luar supaya tidak ada orang yang cuba mencuri mendengar. Sebagai langkah menjaga keselamatan, ketua paderi dan Michael serta dua belas orang paderi pilihan duduk di atas suatu tempat yang agak tinggi letaknya di bahagian hadapan. Suasana di dalam gereja tidak terlalu bising walaupun beribu-ribu orang menempatinya. Ia juga adalah arahan keras dari ketua paderi. Tiba-tiba, ketika perhimpunan akan dimula, seorang lelaki yang duduk di bahagian hadapan bangun berjalan mendapatkan ketua paderi lalu menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya. Surat itu, dalam suatu envelop besar, diterima Michael. Ketika itu, ketua paderi sedang berada di atas podium mahu memberi ucapan. Ketua paderi bercakap dengan suara yang agak gementar. “Anak-anakku, lelaki dan perempuan! Malam ini kalian disusahkan dengan arahan supaya datang berkumpul di dalam gereja besar ini. Perhimpunan ini amat penting yang nanti akan disampaikan oleh Bapa Michael. Kalian mesti mendengar baik-baik ucapan yang bakal diberikan beliau. Dengar dengan tenang dan sabar.” Waktu ketua paderi mahu duduk, Michael menyerahkan envelop besar kepadanya. Setelah itu, dia menuju ke podium untuk menyampaikan ucapan. Ketua paderi membuka envelop itu lalu mengeluarkan sepucuk surat dari dalamnya. Dia membaca dengan cepat beberapa baris ayat lalu memekik dengan kuat sehingga mengejutkan semua orang, lebih-lebih lagi Michael yang baru saja mahu berucap. Tubuh ketua paderi terketar-ketar kerana menahan marah. Semua orang yang memandang ke arahnya kehairanan. Michael segera mendekatinya. “Ada apa bapa suci?” Setelah ketua paderi tenang kembali, dia pun berkata “Ini surat dari Isabella. Dia menjemput kita semua memeluk agama Islam. Siapa yang memberikan surat ini tadi?” “Saya yang memberinya, bapa suci.” ujar seorang lelaki dengan jujur. Belum sempat dia menyambung kata-katanya, beberapa orang yang duduk berhampiran telah memukul dan menumbuknya dengan kuat. Lelaki itu masih juga berusaha mahu menjelaskan perkara sebenar tetapi tidak seorang pun yang mengendahkannya. Dia terus dipukul dan ditumbuk hingga terjatuh dan tidak sedarkan diri. Tubuhnya diheret dan dicampakkan ke dalam bilik kecil di sudut gereja. Kekacauan telah berlaku. Agak lama baru keadaan kembali reda. Dalam keadaan payah, ketua paderi maju ke hadapan untuk bercakap. “Orang yang membawa surat ini ialah seorang Islam yang menyamar sebagai salah satu dari kita dengan memakai pakaian suci kita.” Dia berhenti sejenak. “Bagaimanapun, besok kita akan periksa orang ini. Sekarang, anak-anak perempuan itu telah mendakwah kepada kita tentang agama Islam yang biadab dan terkutuk itu. Sekarang, mari kita fikirkan cara untuk mendapatkan kembali anak-anak perempuan itu. Apa yang patut kita buat?” sambungnya lagi. Michael lalu tampil di atas podium. “Saudara-saudara! Nampaknya tujuan kita mengadakan perhimpunan rahsia ini menjadi sia-sia dengan kehadiran surat Isabella. Apa yang dapat kita lakukan sekarang? Kita baca dan dengar isi surat itu dan kita semua mesti mendengarnya dengan sabar. Berdoalah kepada Tuhan agar dia dapat dikembalikan ke dalam pelukanNya ataupun dimasukkan ke dalam neraka segera.” Ketua paderi lalu berkata “Bawalah orang itu ke mari. Kita boleh memaksanya bercerita tentang perkara-perkara lain yang perlu kita ketahui walaupun kita tahu orang-orang Islam itu keras kepala dan tidak mudah membuka rahsia. Dia sekarang dalam genggaman kita. Dengan mengancamnya, kita pasti berhasil mendapatkan sesuatu.” Orang lelaki yang malang itu pun dibawa keluar dari bilik dan diletakkan di atas pentas di hadapan orangramai. Keadaannya amat parah. Badannya luka-luka dan pakaiannya koyak-rabak. Apabila ketua paderi melihatnya dengan teliti dari dekat, dia lalu menjerit dengan kuat “Oh, ini paderi dari gereja sebelah utara. Dia anak saudaraku sendiri!” Sekali lagi, orangramai terperanjat. Michael segera mendekati orang itu. “Dia masih bernafas.” Semua orang merasa amat dukacita. Mereka seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Esoknya, apabila paderi yang malang sudah sedarkan diri, dia pun menceritakan kisah sebenar bagaimana dia mendapat surat itu. Setelah mendengarnya, semua yang ada sependapat mengatakan itu adalah perbuatan khianat daripada orangorang Islam. Harapan mereka kepada Isabella dan sahabat-sahabatnya pun lenyap begitu saja. Perhimpunan rahsia mereka telah gagal malahan telah menimbulkan kekecohan besar sehingga tidak dapat dikawal lagi. Surat Isabella yang ditulis kepada bapanya berbunyi:Semua puji-pujian kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Yang telah menciptakan langit dan bumi dan segala isi yang ada di dalamnya dengan kekuasaanNya yang mutlak dan Dia di samping menyusun sistem lahiriah juga menyusun sistem batiniah melalui wahyu dan nabi-nabi dan salawat serta salam kepada Junjungan yang telah datang melepaskan dunia dari kemungkaran dan kegelapan serta membawanya ke dalam cahaya keimanan dan memimpin kita ke jalan yang benar yang telah diterokai oleh nabi-nabi yang terdahulu dan membawa kita kepada Allah yang menjanjikan kedamaian dan keselamatan abadi. Bapaku yang dihormati. Ketahuilah bapa bahwa aku telah menerima Islam yang menurut penyelidikanku ialah satu-satunya agama yang bebas daripada kemungkaran dan kebatilan, yang membimbing kita ke jalan keselamatan. Saya telah menolak agama Kristian kerana ia penuh dengan ketahyulan dan kekufuran dan bertentangan dengan ajaran semua nabi. Secara ringkas maka di bawah ini saya perturunkan perbandinganperbandingan untuk menunjukkan kebenaran Islam kepada bapaku : 1. Dalam Islam, Allah itu Esa dan tidak bersekutu dengan apa pun juga. Dia unik dengan segala kebaikan dan kesempurnaanNya. Al-Quran menyebut Allah itu tunggal. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada suatu pun yang sama denganNya. Dia wujud, tidak mati, tidak tidur, tidak mengantuk dan tidak letih ataupun berhajatkan kepada semua yang dihajatkan oleh manusia. Kalau kita akan menyebut satu persatu semua kesempurnaanNya maka hendaklah kita mempelajari Kitab Suci Al-Quran. 2. Sebaliknya, agama Kristian percaya bahwa Tuhan itu bukan satu tetapi tiga: bapa, anak dan Roh Kudus. Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera Tuhan’ dan dia juga pencipta dan abadi seperti bapanya juga meskipun Injil mengatakan Jesus itu makan dan minum, tidur dan jaga dan sangat bergantung kepada air, udara dan tiap-tiap benda yang diperlukan oleh manusia dan di dalam dirinya terkumpul semua keinginan duniawi. Seandainya Tuhan juga bergantung kepada semua perkara seperti manusia maka bagaimana dia layak menjadi Tuhan dan apakah ada perbedaan lagi antara Tuhan dan manusia? Kitab Suci Al-Quran dengan tegas mengatakan bahwa sesiapa yang mengatakan Kristus itu Tuhan atau Putera Tuhan maka dia telah menyekutukan Allah dan menjadi kafir. Orang-orang Kristian dengan menjadikan Kristus sebagai putera Tuhan telah memfitnah Tuhan. Al-Quran telah mengajar bahwa Kristus serupa Musa, Daud, Sulaiman, Yahya, Hud, Nuh dan lain-lain nabi. Sebagai utusan dan nabi, mereka juga adalah manusia, makhluk dan bukan pencipta. Nah, cuba bapa fikirkan sendiri betapa jelas dan munasabah ajaran Kitab Suci Al-Quran ini dan betapa agama Kristian mengusutkan dan tidak masuk akal. 3. Menurut Islam, tiap-tiap manusia dilahirkan dalam keadaan suci dan bebas dari dosa. Apabila dia beransur dewasa, pengaruh-pengaruh luar telah menyesatkannya. Allah telah memberikan akal kepada manusia supaya mematuhi hukum-hukumNya dan menjauhi benda-benda yang terlarang. Al-Quran mengatakan bahwa Adam tidak melakukan dosa. Semua nabi adalah suci dan bersih dari dosa. Masalah dosa yang diwarisi adalah tipuhelah syaitan. Agama Kristian mengatakan tiap-tiap orang berdosa sejak dilahirkan sehingga dengan demikian, nabi-nabi juga melakukan dosa dan dosa Adam adalah penyebab manusia menjadi berdosa. Nyata sekali betapa kepercayaan ini tidak ada logiknya, tidak munasabah dan bertentangan dengan bukti-bukti intuisi yakni kerana Adam melakukan dosa, dosa yang sebenarnya tidak pernah dapat dibuktikan, semua manusia menderita seksaan. Jadi, dalam masalah ini juga Kitab Suci Al-Quran adalah benar dan adil dan ketetapannya logik, munasabah dan menurut sunah nabi-nabi. 4. Keutamaan yang diberikan oleh Al-Quran ke atas akhlak dan guru-guru ialah tentang betapa mulia dan tingginya moral itu, hal yang serupa tidak diketemui di dalam lain-lain agama. Islam mengatakan bahwasanya manusia itu tidak memperoleh selain dari apa yang diusahakannya dan usahanya itu kelak pasti akan dilihatnya. Kemudian diberikan kepadanya balasan yang cukup sempurna terhadap usahanya* dan yang demikian itu adalah ajaran dari semua nabi. Tidak ada orang yang akan memikul beban orang lain tetapi tiap-tiap orang memikul tanggungjawab di atas perbuatannya. Maka dengan ajaran suci serupa inilah yang memberikan manusia ajaran-ajaran kemuliaan dan menggesanya berbuat kebajikan. Tetapi agama Kristian sebaliknya mengajarkan bahwa Jesus Kristus telah memikul beban dosa semua orang lalu disalibkan dan menjadi penebus semua orang yang berdosa. Perbuatan dosa telah dilakukan oleh beribu bahkan berjuta manusia tetapi hukumannya telah dikenakan ke atas seorang manusia suci, satu-satunya ‘Putera Tuhan’. Ajaran ini di satu pihak membuat manusia tidak berguna dan memalukan sementara di pihak lain menjadikan seseorang hilang kepercayaan kepada dirinya sendiri dan dengan demikian harga dan nilai dirinya jatuh di matanya sendiri selain daripada itu kepercayaan ini merupakan satu pelanggaran kepada kesucian Tuhan. 5. Apabila Kitab Suci Al-Quran diturunkan ke dunia, ia telah menerangkan semua kebenaran. Kebenaran yang telah lama dilupakan dan punca-punca kebenaran yang telah dicemarkan. Islam meletakkan semula kemuliaan semua nabi-nabi dan membantah semua tuduhan palsu yang ditimpakan kepada mereka. Ia mendedahkan penyisipan-penyisipan palsu yang telah dilakukan di dalam kitab-kitab wahyu dan membuat penjelasan akan keadaan yang sebenarnya melalui pendedahan itu. Islam membantah tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Nabi Isa yang telah dibuat oleh sebahagian musuh-musuhnya dan juga kawan-kawannya. Islamlah dengan usaha baiknya telah meletakkan Nabi Isa pada tempatnya yang sebenar dan telah membersihkannya daripada segala tohmahan orang-orang Yahudi dan juga orangorang yang menamai diri mereka Kristian. Orang-orang Kristian pula telah menuduh semua nabi dengan tuduhan-tuduhan palsu, perzinaan dan pembunuhan dan mengetengahkan Jesus Kristus dalam bentuk yang tidak sempurna sehingga kalau tidak kerana kedatangan Islam yang mendedahkan kebenaran maka tidak seorangpun yang mahu menganggapnya sebagai manusia bermoral juga. Ini merupakan satu obligasi Islam yang tidak akan dapat dibayar oleh Kristian. Orangorang Kristian tidak saja memanipulasi kitab-kitab Injil, juga telah menyusun beratusratus Injil atas nama Kristus. Sekarang, Injil-Injil palsu dan gelap yang disusun telah diletakkan di hadapan kita yang sedikitpun tidak ada kena-mengena dengan Kristus. Dalam Kitab Suci Al-Quran terkumpul dan tersimpan dengan baik semua kitab yang diwahyukan. Olehsebab itu saya menjemput semua orang Kristian membaca Kitab Suci Al-Quran ini yang menjunjung kehormatan agama Kristian dan yang memberikan kepada kita pengajaran dari semua nabi sepanjang zaman. 6. Islam menyebut secara terperinci akan hak-hak kaum wanita dan memerintahkan pembebasan semua hamba-abdi, meniupkan semangat persamaan dan persaudaraan di kalangan umat manusia dan menetapkan perhubungan antara manusia dengan Tuhan. Tetapi dalam agama Kristian tidak ada secebis tanda pun tentang hak-hak wanita. Hanya kepada orang lelaki diberitahu bahwa mereka boleh menceraikan isterinya yang melakukan zinah tetapi tidak menyebut sedikitpun tentang apa yang boleh dilakukan oleh si isteri ke atas ketidak-setiaan suaminya. Tidak ada sepatah perkataan pun dalam agama Kristian tentang pembebasan hamba abdi. 7. Islam menyuburkan moral manusia dan menyediakan tatasusila yang tetap bagi kemanusiaan. Dengan mematuhi peraturan itu manusia boleh mengawal nafsu secara sederhana. Di dalam Al-Quran ada disebutkan ”Barangsiapa mengerjakan kejahatan maka tidak dibalasnya melainkan dengan seumpamanya dan barangsiapa beramal salih baik lelaki ataupun perempuan, sedang dia seorang yang beriman maka orang-orang itu masuk ke dalam syurga; mereka diberi rezeki di dalamnya dengan tidak ada hingganya.* Tetapi dalam agama Kristian ditekankan kepada satu aspek saja iaitu melakukan kesalahan tidak boleh dihukum dan kalau dia menampar pipi kiri mesti menyerahkan pipi kanan pula untuk ditampari. Betapa pengajaran serupa itu boleh diikuti manusia di dunia ini? Betapa keamanan dan ketenteraman dunia dapat dipertahankan dengan pengajaran serupa itu? Andaikata mahu memperlihatkan kemaafan dan baiksangka dalam semua perkara maka mengapa Dia menciptakan nafsu amarah di dalam diri manusia dan kemudian membiarkan bahagian dari naluri itu menjadi kering? Ini adalah beberapa perkara sebagai satu illustrasi tentang pengertian yang menyebabkan saya menerima Islam dan bagi bapa juga, kalau ada satu jalan kebenaran yang mesti diikuti maka bapa mestilah menerima Islam seberapa cepat yang boleh dan menyatakan taubat segera di atas keragaman ketuhanan di dalam agama Kristian yang benar-benar bertentangan dengan sifat-sifat Tuhan lalu menjadi penghalang kepada jalan manusia mencapai kemajuan. Mudah-mudahan Tuhan menganugerahkan kepada bapa jalan istimewa untuk menerima iman. Saya juga mendoakan bapa ke jalan benar dan moga-moga Tuhan menyegerakannya. Amin! Anak bapa, Isabella * Al-Quran S 5:39-41 **Al-Quran S 40:40 BAB 14 Tugas-Tugas Kerajaan Islam Orang-orang islam telah mengetahui secara terperinci perhimpunan sulit yang telah diadakan oleh orang-orang Kristian dan peri surat Isabella yang telah menyebabkan cita-cita mereka jadi terbantut. Setelah lima hari berada bersama-sama Ziad bin Umar dan cendekiawan Islam, Isabella dan sahabat-sahabatnya semakin dalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. Dalam salah satu pertemuan, salah seorang yang hadir telah memberi pandangan. “Tuan yang dihormati. Orang-orang Kristian secara sulit cuba menipu Isabella supaya kembali kepada agama Kristian tetapi nampaknya Kerajaan Islam sedikitpun tidak berbuat apa-apa dalam hal ini. Apabila Isabella telah menjadi orang Islam maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan Islam untuk melindunginya dari ancaman orang-orang Kristian dan membebaskannya dari bahaya yang mungkin menimpanya.” Ziad bin Umar tersenyum kecil mendengar kata-kata orang itu. Dengan tenang dia menjawab “Sebegitu jauh semua usaha-usaha orang-orang Kristian itu dalam keadaan sulit, jadi bagaimana kerajaan akan mengambil tindakan dari segi undang-undang? Selain daripada itu, memang benar iaitu apabila seseorang telah menjadi Islam maka menjadi tanggungjawab kerajaanlah memberi perlindungan kepadanya daripada tindasan orang-orang bukan Islam dan berdiri teguh di belakang orang yang telah menganut agama Islam. Tetapi kita sengaja mencegah kerajaan Islam mengambil tindakan serupa itu kerana kami berpendapat pengajaran yang dialami Isabella dan kawan-kawannya akan memperkukuh moral mereka. Kalau tidak, kita memang boleh campurtangan dan mengambil tindakantindakan tegas ke atas mereka.” Orang itu masih belum berpuas hati dengan jawaban Ziad bin Umar. “Tetapi bagi orang-orang Kristian yang akan datang harus diberi peringatan supaya jangan terlalu lancang mengikut perasaan dalam perkara-perkara serupa ini?” katanya. “Tuan tidak usah khuatir,” jawab Ziad bin Umar “pada masa akan datang kerajaan akan lebih aktif menyokong kebebasan beragama. Dalam soal ini kita sudah memberitahu paderi-paderi Kristian secara terperinci tentang keadaan Isabella dan di mana dia berada dan sebagainya. Juga, telah diberitahu bahwa kerajaan cukup mengambil berat tentang keselamatan Isabella dan kawan-kawannya dan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas diri mereka maka kerajaan tidak akan berdiam diri.” “Tuan yang dihormati,” Umar Lahmi mencelah “kawan-kawan Isabella meminta agar mereka diislamkan secara rasmi dan diajar hukum-hukum Islam.” “Baiklah! Lakukan dengan nama Allah. Islamkan mereka segera.” kata Ziad. Umar Lahmi lalu mendekati sahabat-sahabat Isabella sambil berkata “Mirano, Martha, Hanana dan Catherine, apakah kalian masih ragu-ragu tentang dasar kepercayaan Islam?” Mirano mengangkat telunjuk kanannya lalu berkata “Saya ingin mendapat penjelasan tentang beberapa perkara.” “Baiklah,” kata Ziad “kami tidak keberatan memberi penjelasan. Memang benar begitulah caranya setelah mendapat penjelasan yang memuaskan hati barulah baik menerima agama ini. Nah, ajukan pertanyaan dan saya wakilkan Umar untuk menjawabnya.” Mirano tersenyum lebar. Dia kemudian berkata “Tuan yang saya hormati. Mula-mula sekali kami ini diislamkan dulu. Setelah itu barulah saya akan bertanya satu atau dua masalah. Meskipun saya boleh menutup mulut orang-orang Kristian dengan hujah saya tetapi dijauhkan Tuhan! Saya sedikitpun tidak ragu tentang Islam.” Keempat-empat anak gadis itu pun diislamkan secara rasmi, mengucapkan dua kalimah syahadat, mengakui dengan setulus hati akan keEsaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad sallallah alaihisalam. Semua yang hadir menadah tangan memanjat doa kesyukuran kepada Allah Yang Maha Kuasa. Mereka lalu menutup kepala masingmasing dengan kain selendang yang memang sudah dibawa dari awal. Mirano mengemukakan pertanyaan. “Menurut orang-orang Kristian, Kitab Taurat itu ialah hukum dan Injil merupakan penyempurnaan hukum-hukum itu. Nyatalah apabila telah ada hukum dan penyempurnaan maka tidak perlu lagi ada perkaraperkara lain termasuk juga Kitab Suci Al-Quran. Al-Quran tidak perlu lagi kerana ia telah membenarkan Taurat dan Injil maka sesuatu bantahan menjadi semakin beralasan.” “Andaikata penganut-penganut Kristian menyifatkan sesuatu kebaikan di dalam kitab-kitab mereka,” ujar Umar Lahmi “maka itu bukan satu kemestian bagi kita mempercayainya. Dakwaan itu mesti dibuktikan dengan hujah-hujah. Tetapi dengan hanya menganggap sebagai satu kemestian bahwa Taurat itu hukum dan Injil penyempurnaannya, maka sebagai lawannya Kitab Suci Al-Quran ialah pembenaran. Pembenaran yang mencakupi kedua-duanya sekali, hukum dan kesempurnaan. Pembenaran itu telah disebutkan di dalam Al-Quran di dalam Surat Al-Ma’idah ayat 48 yang maksudnya kira-kira begini : Dan Kami telah turunkan Al-Quran kepada engkau dengan benar bahwa ia daripada Allah sedangkan ia pula membenarkan Kitab-Kitab Ketuhanan - yang terdahulu daripadanya serta menguasainya.“ “Tetapi,” Umar Lahmi berkata lagi “Injil itu sendiri tidak pernah menggunakan perkataan kesempurnaan. Dengan demikian, Kitab Suci Al-Quran telah terbukti mencakupi kedua-duanya, hukum dan kesempurnaan.” “Taurat dan Injil ada disebutkan di dalam Al-Quran dan sudah satu kemestian bagi orang-orang Islam untuk menerimanya.” kata Mirano. :Kenapa orang-orang Islam tidak mempercayainya?” “Kerana orang-orang Kristian tidak mempunyai Taurat dan Injil yang tulen.” jawab Umar Lahmi. “Jikalau Taurat dan Injil tidak wujud Kenapa pula Al-Quran mengakuinya?” tanya Mirano lagi. “Al-Quran mengakui Taurat dan Injil asli bukan yang dipalsukan dan dibuat-buat.” jawab Umar Lahmi. “Kata orang-orang Kristian Taurat dan Injil mereka yang ada sekarang itulah yang diakui Al-Quran.” kata Mirano. “Baiklah,” kata Umar Lahmi “saya akan bertanya kepada Kitab Suci Al-Quran apakah ia mengakui Taurat dan Injil yang wujud sekarang ini ataupun menganggapnya palsu. Al-Quran berkata menurut Surat Al-Ahqaf ayat 33 : Bahwasanya Allah telah menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak pernah merasa lemah. Tetapi di dalam Kitab Taurat Kejadian 2:2-3 ada dikatakan bahwa ”menjelang hari ketujuh Tuhan telah menyelesaikan apa yang sedang dilakukannya dan berhenti bekerja. Dia memberkati hari ketujuh dan telah memperuntukkannya sebagai hari yang istimewa kerana pada hari itu dia telah menyempurnakan penciptaannya dan berhenti bekerja.” “Berhenti bekerja,” sambung Umar Lahmi “bererti berehat dan bila seseorang itu berehat dari bekerja bererti dia penat. Jadi, dari yang disebutkan oleh Taurat itu ternyatalah bahwa Tuhan itu merasa penat. Kitab Suci Al-Quran berkata Allah tidak pernah penat. Nah, apakah Al-Quran menyetujui atau menolak kenyataan itu? Taurat mengatakan Sulaiman menyembah berhala tetapi Al-Quran menyangkal dakwaan itu. Nabi Sulaiman tidak akan melakukan perbuatan orang-orang kafir. Nah, apakah Al- Quran menyetujui atau menolat Taurat? Sekarang, ambil Kitab Injil. Keempat-empat kitab itu ada mengatakan tentang Jesus Kristus mati sambil menangis di atas salib, bahwa dia benar-benar telah disalibkan tetapi Kitab Suci Al-Quran menafikan bahwa Jesus dibunuh oleh orang-orang Yahudi dan tidak pula disalibkan. Kemudian Injil mengatakan Jesus Kristus mengaku menjadi Tuhan tetapi Al-Quran dalam Surat Al- Ma’idah ayat 72 berkata: Demi Allah telah kafir segala mereka yang berkata :Sesungguhnya Allah itulah Al-Masih anak Mariam, sedang Al-Masih berkata: Hai Bani Israil, sembahlah olehmu akan Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Sesungguhnya siapa yang mensyariatkan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya Allah mengharamkan ke atasnya syurga dan tempat kembalinya adalah neraka dan sekalikali penzalim-penzalim itu tiada mendapat penolong.” Nah, sekarang dipersilakan siapa saja paderi Kristian tampil mengatakan secara jujur dan adil, apakah Kitab Suci Al-Quran mengakui atau menolak Injil?” Mirano dengan gembira terus menjawab “Tidak syak lagi bahwa dengan bukti-bukti itu Kitab Suci Al-Quran tidak mengakui Taurat dan Injil yang ada sekarang tetapi telah menolaknya.” “Sekarang jelaslah,” kata Umar Lahmi “bahwa Kitab Suci Al-Quran tidak mengakui Taurat dan Injil tetapi menolak dengan keras dan menuduh semua keterangan, fakta dan kepercayaan di dalamnya sebagai mensyarikatkan Allah dan murtad. Sekarang saya akan memberikan satu prinsip umum daripada Kitab Suci Al-Quran dan dengan prinsip itu, buku apa saja boleh diuji, seolah-olah Kitab Suci Al-Quran seperti batu ujian yang dengannya kita boleh menguji semua kitab yang lain. Dalam Al-Quran Suran An-Nisa’ ayat 82 ada disebutkan: Maka mengapakah mereka tidak memperhatikan dan memikirkan tujuan-tujuan dan maksud-maksud Al-Quran? Sekiranya Al-Quran itu dari sisi selain Allah seperti yang mereka katakan tentulah mereka dapati padanya perselisihan yang banyak. Ayat Kitab Suci Al-Quran ini menegaskan bahwa kecuali Kitab Allah maka tidak ada kitab lain yang bebas dari pertentangan (contradiction), kerana manusia tidak kalis dari kesilapan dan kekeliruan dan bagaimanapun kepekaan seseorang itu dalam menulis sesebuah buku namun kesalahan dan kekeliruan tetap tidak dapat dielak. Dan buku yang ada kesalahan bukanlah dari Allah karena Allah tidak pelupa dan tidak berbohong. Nah, bolehkah sesiapa menolak prinsip ini?” “Prinsip ini cukup wajar dan adil.” jawab Mirano setuju. “Sudah tentu kitab yang ada pertentangan di dalamnya tidak boleh datang dari Tuhan Yang Sempurna. Tetapi apakah ada pertentangan di dalam Taurat dan Injil?” “Banyak sekali,” jawab Umar Lahmi “kerana terlalu banyak sangat pertentangannya maka pembaca-pembaca menjadi bingung. Sekarang mari saya cubakan dengan prinsip-prinsip tadi. Saudara akan melihat kenyataannya. Nah, berapa umur saudara Mirano, cuba beritahu saya.” Mirano teragak-agak sebentar. “Antara 21 atau 22, katakanlah saja 22.” jawab Mirano kemudian. “Bagus. Kalau saudara katakan umur saudara 22 dan satu jam kemudian 42, apakah kedua-dua keterangan itu betul?” “Bagaimana boleh kedua-duanya itu betul?” Kalau saya katakan umur saya 42 tentu kenyataan itu salah. Bolehkan kedua-dua itu dikatakan benar?” MIrano agak kebingungan sedikit dengan kata-kata Umar Lahmi. “Nah, sekarang cuba lihat di dalam kitab 2 Tawarikh 22:2-3 di mana disebutkan bahwa ketika Ahaziah ditabalkan menjadi raja menggantikan bapanya, dia berumur 42 tahun. Tetapi di dalam kitab 2 Raja-Raja 8:25 ada disebutkan bahwa waktu Ahaziah menjadi raja, umurnya sudah 22 tahun.* Bolehkah kedua-dua keterangan ini diterima sebagai benar?” “Tidak!” jawab Mirano. “Satu saja daripada kedua-dua keterangan itu yang benar dan yang satu lagi tentu salah.” “Masalahnya,” kata Umar Lahmi “mana satu di antara kedua keterangan itu yang benar tidak dapat dipastikan dan dengan demikian kedua-dua kitab dari Inji itu menimbulkan keraguan. Tanda keraguan telah dibubuhkan ke atas keduanya.” * pada 2 Tawarikh 22:2-3 disebut 42 tahun dan pada 2 Raja-Raja 8:26 Ahaziah berumur 22 tahun. Dalam Good News Bible kedua-dua Injil itu menyebut 22 tahun. “Dan cuba kita selidiki lebih lanjut. Dalam Al-Kitab Samuel 24:9 ada dituliskan bahwa Yoab memberitahukan kepada raja hasil pendaftaran rakyat, Israel ada delapan ratus ribu daripadanya orang-orang Yahudi yang memikul senjata tetapi di dalam Injil 1 Tawarikh 21:5 dituliskan jumlah orang-orang Israel ialah sejuta seratus ribu yang dapat memegang pedang dan orang Yahudi ada empat ratus tujuh puluh ribu yang dapat memegang pedang. Nah, apakah kedua-dua keterangan ini benar?*” kata Umar Lahmi lagi. “Tentulah salah satu daripadanya benar.” jawab Mirano. “Kitab yang menyebutkan angka-angka yang salah serupa itu tidak mungkin dari Tuhan.” sambung Umar Lahmi. “Tidak mungkin.” ulang Mirano. “Allah melindungi namanya dari dicemarkan serupa itu, jadi lebih baiklah jangan dikatakan kitab-kitab itu dari Allah.” “Dengan adanya pertentangan serupa ini bolehkah orang menyebut Taurat dan Mazmur itu wahyu Tuhan? Bolehkah kesalahan-kesalahan serupa ini dikatakan dari Allah?” tanya Umar Lahmi. “Subhanallah!” keluh Mirano. “Ini adalah hujah-hujah yang terang tentang betapa lemahnya Kitab-Kitab Kristian.” * dalam Good News Bible ditulis pada Injil 2 Samuel 24:9 ‘Mereka melaporkan kepada raja jumlah orang yang layak berkhidmat sebagai askar: 800,000 di Israel dan 500,000 di Judah’. Dalam Injil 1 Tawarikh 21:5 pula disebutkan: ‘Dia melaporkan kepada Raja Daud jumlah orang yang layak berkhidmat dalam tentera: 1,100,000 di Israel dan 470,000 di Judah’. (Penterjemah) “Di dalam Kitab 2 Samuel 23 ayat 8 ada disebutkan tentang tiga orang perajurit Nabi Daud yang gagah berani. Seorang daripadanya bernama Josheb Basshebeth dari suku Tacheman, ia dengan bersenjatakan tombak saja telah dapat membunuh delapan ratus orang musuh. Tetapi di dalam Kitab 1 Riwayat 10 ayat 11, yang menceritakan tentang peristiwa yang sama, nama perajurit itu bukan Josheb Basshebeth tetapi Joshobeam dari suku Hachmon dan dia hanya membunuh sebanyak tiga ratus orang saja dengan tombaknya.’* “Oh, terlalu jauh perbedaannya.” kata orang-orang yang hadir. “Agak aneh,” bersungut Mirano “orang-orang Kristian tidak melihat kesalahan yang begitu menjolok.” * dalam Al-Kitab pada Injil 2 Samuel 23:8 nama perajurit itu ialah Isybaal orang Hakhmoni dan pada Injil 1 Tawarikh 11:11 namanya ialah Yasobam bin Hakhmoni. “Mereka boleh melihat kesalahan-kesalahan itu jika mereka mahu membuat penyelidikan dan mereka boleh menolak keterangan-keterangan yang tidak betul dan membuat penentuan mana yang betul.” kata Umar Lahmi. “Tetapi mereka terus berpegang kepada kesalahan-kesalahan itu seperti orang yang tertalu patuh kepada kebenaran. Cuba lihat di dalam Kitab 1 Raja-Raja 4 ayat 46. Di dalamnya tertulis Sulaiman memiliki empat puluh ribu kandang untuk kuda-kuda keretanya serta dua belas kuda tentera tetapi di dalam Kitab 2 Tawarikh 9:25 ditulis cuma empat ribu kandang untuk kereta dan kuda dan dan dua belas kuda tunggangan yang dipunyai oleh Sulaiman. Lihat, betapa jauh perbedaannya antara empat ribu dengan empat puluh ribu. Sebuah kitab mengatakan empat puluh ribu sementara kitab yang satu lagi mengurangkan tiga puluh enam ribu daripadanya dan merasa puas hati dengan empat ribu saja. Yang ajaibnya, kedua-dua kitab ini didakwa sebagai wahyu daripada Tuhan. Nah, salahkan kalau Al-Quran mengatakan tidak ada pertentangan di dalam kitab Allah?” “Subhanallah!” sahut Isabella “betapa agungnya Al-Quran. Andaikata Al-Quran tidak diturunkan tentulah tembelang kitab-kitab agama Kristian tidak akan diketahui.” “Sekarang cuba kita lihat satu perkara lain yang juga cukup menarik.” kata Umar Lahmi. “Di dalam Kitab 2 Samuel 10 ayat 18 ada dikatakan bahwa Daud telah membunuh tujuh ratus orang pemandu kereta kuda dan empat puluh ribu penunggang kuda. Ingat baik-baik, tujuh ratus dan empat puluh ribu penunggang kuda. Dalam Kitab 1 Tawarikh 19 ayat 18, Daud telah membunuh tujuh ribu orang pemandu kereta kuda dan empat puluh ribu orang tentera berjalan kaki. Kedua-dua kitab ini dikatakan dari wahyu Tuhan dan kedua-dua kitab ini dikira adalah hasil daripada manipulasi manusia dan ada campur tangan syaitan. Sebuah kitab mengatakan pemandu tujuh ratus kereta kuda dan empat puluh ribu penunggang kuda sementara dalam kitab lain pula berkata bukan begitu. Tujuh ribu orang pemandu kereta dan empat pulu ribu bukan penunggang kuda tetapi tentera berjalan kaki. Kitab-kitab ini dikatakan sebagai wahyu dan kitab-kitab inilah yang disuruh orang-orang mempercayainya. Betulkah kitab-kitab ini telah diwahyukan Tuhan kepada nabi-nabi?” “Hah!” kata Mirano. “Terlalu banyak pertentangan di dalamnya. Bagaimana dapat diterima oleh Islam? Yang nyatanya ialah tabir yang dilabuhkan untuk melindungi hikmah, kata batin dan kasih orang-orang yang tak beriman itu terlalu tebal sehingga mereka ada mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar, mudahmudahan Allah memberi petunjuk kepada mereka.” Setelah mendengar kata-kata Mirano, Umar Lahmi lalu menyambung “Setelah begitu banyak pertentangan di dalam Taurat dan Kitab Perjanjian Lama yang tidak pernah mahu berkompromi, sekarang mari kita lihat pula kepada Kitab Injil. Nampaknya, setelah kita membuat penelitian yang saksama maka keempat-empat Kitab Injil yang wujud sekarang adalah lebih parah lagi. Yang pertama Injil telah disusun dan ditulis dalam berbagai-bagai bahasa. Kitab Injil yang pada zaman dulu dianggap sebagai wahyu Tuhan maka sekarang ini tidak lebih daripada satu apocyphal atau sumber yang diragukan. Di samping Injil-Injil itu ada Injil lain pula yang digunakan seolaholah Injil itu tidak lebih daripada buku-buku teks sekolah yang boleh ditukar-tukarkan menurut keadaan yang berlaku. Persidangan telah sering diadakan untuk memilih Injil-Injil yang berbagai-bagai itu seolah-olah wahyu dan kalam Allah bergantung kepada ketetapan gereja.” “Ya,” ujar Mirano “pernah sekali saya mendengar dari bapa saya bahwa di salah satu persidangan itu, setengah daripada kitab-kitab disingkirkan dari daftar kitab-kitab yang diwahyukan.” “Sekarang mari kita cuba uji Injil dengan Kitab Suci Al-Quran tentang prinsip dan standardnya dengan demikian dapatlah kita membuat ketetapan tentang betapa goyahnya dan betapa palsunya Injil-Injil itu.” kata Umar Lahmi kepada Mirano, Isabella dan sahabat-sahabat mereka yang diam tidak bergerak, terpesona dengan kedalaman ilmu Umar Lahmi dan tentang pengetahuannya mengenai kitab Injil yang selama ini tidak pernah terfikirkan oleh mereka. “Dalam Kitab Matius 27 ayat 3, salah seorang pengikut Jesus Kristus yang bernama Yudas telah menerima rasuah sebanyak tiga puluh keping wang perak. Yudas meraka sangat menyesal kerana telah menyerahkan Jesus Kristus kepada kerajaan untuk dibunuh di atas salib. Lalu dia pergi kepada imam-imam kepala dan tua-tua dan berkata ‘Aku telah berdosa kerana menyerahkan darah orang yang tak bersalah’. Yudas lalu mencampakkan duit itu, pulang ke rumah dan membunuh dirinya sendiri. Tetapi di dalam Kitab Kisah Para Rasul bab1 ayat 18, ada disebutkan bahwa Yudas dengan wang yang diperoleh dari perbuatan khianatnya telah membeli sebidang tanah dan di sana dia jatuh tertelungkup, perutnya terbelah sehingga semua isiperutnya terburai keluar. Nah, di dalam Kitab Matius, Yudas dikatakan telah memulangkan balik wang rasuahnya kepada imam-imam ketua dan kemudian menggantungkan dirinya sementara dalam Kitab Kisah Para Rasul pula dikatakan Yudas membeli kebun dengan wang itu dan mati terjatuh sehingga isiperutnya terkeluar. Inilah dua keterangan yang berbeda dari dua buah Kitab Injil yang berbeda pula yang kedua-duanya didakwa sebagai wahyu menurut orang-orang Kristian atau Roh Kudus menyuruh mereka menulisnya menurut wahyu yang disampaikan. Jadi bererti ketika Roh Kudus pergi kepada penulis Kitab Matius, dia mengatakan begini kemudian apabila dia pergi kepada penulis Kitab Para Rasul, dia mengatakan yang lain pula. Sekarang, samaada kita membuat anggapan Roh Kudus sebagai pembohong dan penipu ataupun kita menolaknya secara total. Adalah lebih bijaksana kita menyatakan bahwa semua Kitab Injil itu palsu dan salah daripada kita meletakkan tuduhan kepada Roh Kudus. Kalau tidak, Tuhan dan Roh Kudus juga ikut berbuat dosa.” “Nyatalah bahwa semua Kitab Injil yang wujud sekarang ini palsu dan salah belaka dan tentulah musuh-musuh Kristus yang telah memalsukannya untuk mencapai sesuatu maksud.” sampuk Mirano. “Itu pertentangan daripada dua buah Injil yang berlainan,” kata Umar Lahmi “mari kita tengok pula pertentangan yang terdapat di dalam sebuah Injil yang sama. Saint Paulus yang telah menyusun syahadat trinitas yang menyebabkan semua penganut Kristian sesat sebab menyekutukan Tuhan telah diceritakan tentang bagaimana dia masuk Kristian. Ada tiga tempat dalam Kitab Kisah Para Rasul yang menyebutnya dan ketiga-tiganya berbeda, tidak sama. Betapa aneh bahwa Roh Kudus telah berbohong di tiga tempat di dalam kitab yang sama tentang peristiwa yang sama pula. Dalam bab 9 ayat 3 Injil Kisah Para Rasul ada disebutkan bahwa Paulus sedang dalam perjalanannya ke Damsyik dengan sahabat-sahabatnya ketika sudah dekat dengan kota, tiba-tiba cahaya memancar dari langit mengelilingi dia. Dia rebah ke tanah dan mendengar suatu suara yang berkata: ‘Kenapa menganiayai aku?” Sementara sahabat-sahabatnya terus termangu-mangu. Mereka ada mendengar suara itu tetapi tidak melihat seorang jua pun. Di dalam bab 22 ayat 6-7, kitab yang sama menceritakan sahabat-sahabat ada melihat cahaya di langit tetapi tidak mendengar suara dan dalam bab 26 ayat 13 mengatakan Saint Paulus dan sahabatsahabatnya dikelilingi oleh cahaya dan mereka semua terjatuh ke tanah. Nah, cuba fikirkan dalam sebuah Injil, peristiwa yang sama telah diceritakan dalam tiga versi di tiga tempat. Bolehkah kita membenarkannya?” tanya Umar Lahmi. “Tidak mungkin,” jawab Mirano cepat “ketiga-tiganya palsu dan kalaupun salah satunya itu betul agak sukar mahu dipastikan.” “Nah, saudara sudah mendengar tentang pertentangan antara dua buah Kitab Injil yang berbeda dan pertentangan di dalam sebuah Injil yang sama.” kata Umar Lahmi. “Sekarang cuba perhatikan keanehan pertentangan yang terjadi di dalam satu ayat yang sama pula. Di dalam Kitab Injil Lukas bab 21 ayat 16-18 ada disebutkan tentang peringatan Jesus kepada pengikut-pengikutnya: ‘Dan kamu akan diserahkan juga oleh orangtuamu, saudara-saudaramu, kaum keluargamu dan sahabat-sahabatmu dan beberapa orang di antara kamu akan dibunuh dan kamu akan dibenci semua orang oleh kerana namaku. Tetapi tidak sehelai pun dari rambut kepalamu akan hilang’. Ini bererti bahwa musuh akan membunuh pengikut-pengikut Jesus tetapi tidak sehelai rambut pun akan hilang yakni tidak terjadi apa-apa seolah-olah pembunuhan itu tidak ada kaitannya dengan kecederaan. Kena bunuh tetapi pengikut-pengikutnya tidak kena bunuh. Kita akan merasa hairan betapa tidak berakalnya penyusun Injil itu sehingga dalam ayat yang sama ada pertentangan yang boleh menimbulkan ketawa.” Isabella yang sejak lama diam mendengar lalu menyampuk “Bagaimana agaknya orang-orang Kristian yang malang itu mahu menjelaskannya?” “Apa penjelasan yang boleh mereka berikan?” tanya Umar Lahmi. ‘Mereka selalu mengelak dengan percakapan yang tidak relevan dan menimpakan kesalahan itu kepada jurutulis yang tidak mengambil berat. Meskipun jawaban mereka kita terima sebagai satu kebetulan, pertanyaan itu masih tetap belum berjawab tentang kalimat yang sebenarnya dan yang mana pula kesalahan jurutulis? Sebagai contoh umur seseorang dalam satu waktu ada yang 22 dan ada yang 42 tahun. Mana satu kesalahan jurutulis dan mana satu pula yang benar? Tidak ada orang-orang Kristian sekarang ini yang boleh berkata bahwa ayat sebenar ialah begini dan jurutulis telah menulis begitu. Selagi kesalahan jurutulis tidak dapat dikesani maka penerangan dan jawaban apa pun juga hanyalah nonsense semata-mata. Jadi, hal ini membuktikan bahwa menurut orang-orang Kristian sendiri kitab-kitab ini diragukan sementara di tempat lain kesalahan jurutulis pula diakui maka dengan sendirinya kitab-kitab itu telah kehilangan kewibawaannya dari sudut mana pun jua.” “Tidak mungkinkah kesalahan-kesalahan ini diperbaiki dengan membuat bandingan dengan yang asli?” tanya Isabella. “Jikalau kitab-kitab yang tulen ada mengapa pula kita bersusah-susah mahu membuat perbandingan lagi.” kata Umar Lahmi. “Masalahnya kitab yang tulen tidak wujud, hanya bergantung dari terjemahan demi terjemahan dari salinan demi salinan. Dan yang ajaibnya ialah sampai sekarang belum lagi dapat dibuat kepastian tentang Injil-Injil ini bila ditulis, dalam bahasa apa atau siapa penulisnya. Setengah pula mengatakan ditulis serentak pada satu waktu di dalam dua bahasa iaitu bahasa Greek dan bahasa Yahudi. Tetapi dalam bahasa apapun yang ditulis, Injil asli tentu dapat diperoleh. Malangnya, tidak pernah diketemui di mana-mana pun jua. Hanya terjemahan dari terjemahan yang ada yang tidak dapat dipercayai. Kemudian timbul pula berbagai-bagai pendapat tentang zaman Kitab-Kitab Injil ditulis dan tentang penulisnya tidak sesiapa pun yang mengetahuinya. Setengah mengatakan pengikut Jesus, Jonah telah menulis Injilnya sendiri dan ada yang mengatakan ia ditulis oleh orang lain yang juga bernama Jonah. Yang paling menyedihkan ialah tidak ada keterangan di dalam kitab-kitab itu tentang penulisnya, di dalam Kitab Injil Matius namanya juga tidak ada.” “Orang-orang Kristian berkata apa saja kitab yang telah disahkan oleh gereja maka itulah saja kitab Tuhan dan kitab yang diwahyukan.” jawab Mirano. “Jadi untuk dapat dianggp sebagai diwahyukan kita mesti bergantung kepada gereja sementara kitab-kitab itu sendiri pekak dan bisu dalam soal ini.” kata Umar Lahmi. Isabella lalu mencelah “Orang-orang Kristian mempertahankan bahwa keputusan gereja adalah bebas daripada kesilapan. Dengan demikian, keputusan itu pun sebagai wahyu pula.” “Jikalau keputusan gereja itu bebas dari kesilapan maka mengapa pula ada berbagaibagai keputusan dari gereja-gereja yang berbeda? Dalam Sidang Synodes di Nicia 325 Masihi dan sidang yang diadakan di Konstantinopel 381 Masehi kitab-kitab yang dianggap wahyu ole persidangan itu telah ditolak setengahnya oleh Sidang Niqawiy. Malah diperintah membakr sekalian kitab yang isinya berlawanan dengan keputusan dalam Sidang Synodes di Nicia. Sementara sebahagian daripada kitab yang dikeluarkan daripada daftar-daftar wahyu kembali diterima sebagai kitab-kitab wahyu di dalam sidang yang lain. Seolah-olah kitab-kitab wahyu itu seperti hidung patung lilin yang boleh diubah-ubah ke kiri atau ke kanan.” Setelah mendengar keterangan dan penjelasan Umar Lahmi tentang berbagai-bagai perkara yang bermula daripada masalah yang ditimbulkan oleh Mirano, maka pertemuan itu pun berakhir sudah agak larut malam. Semua peserta kembali ke rumah masing-masing. Isabella dan sahabat-sahabatnya ditempatkan di sebuah rumah tidak jauh dari rumah Ziad bin Umar dan dikawal dengan ketat oleh pengawalpengawal Islam yang gagah berani. Sebelum berpisah, satu rencana telah diatur supaya Isabella dan sahabat-sahabatnya mendapat latihan dan pendidikan agama secara intensif tidak saja dari Umar lahmi dan alim ulama yang lain tetapi juga dari Ziad bin Umar sendiri. Masa berjalan begitu cepat, sudah empat tahun berlalu. Dalam masa itu, Isabella dan sahabat-sahabatnya telah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik dan pengetahuan mereka tentang agama Islam juga cukup mendalam. Isabella kini telah menjadi tempat tumpuan kaum wanita di Cordova. Setelah mendalami ilmu agama maka dia telah menjadi model wanita Islam yang berhemah tinggi dan diberi gelaran sebagai muhaddisa salah seorang ahli Hadis yang ulung di Cordova. Seorang yang salih yang telah menyerah seluruh hidupnya ke jalan Allah.